kalkulator telefon papan kekunci berbeza 887

Zaman sekarang, kita mungkin dah jarang menggunakan kalkulator - kecuali bagi mereka yang bekerja dengan nombor, seperti akauntan ataupun jurubank bertauliah. Bagi orang kebanyakan macam kita ni, dah jadi perkara biasa untuk kita gunakan saja aplikasi kalkulator yang disediakan dalam telefon kita; mampu menggantikan kalkulator sebenar dengan murah dan segera.

Tetapi bila kita nak gunakan kalkulator sama ada berbentuk maya atau fizikal, mesti anda perasan kan - susunan butang angkanya berbeza dengan susunan angka bagi fungsi dail telefon.

Susunan papan kekunci berbentuk fizikal yang digunakan pada komputer peribadi juga mengikut susunan sama - terbalik dengan baris 1,2 dan 3 diletakkan di bawah sementara untuk telefon pula, 1,2 dan 3 nya terletak di baris atas. Kenapa perbezaan ini wujud?

Pengenalan mesin pengira pertama dunia

schwilgue mesin kira

Pada permulaannya sekitar abad ke 19, idea untuk membina mesin yang mampu mempercepatkan perkiraan mula dijalankan oleh beberapa orang pereka.

Kebanyakan daripada ciptaa pada zaman tersebut diambil daripada idea penggunaan butang yang perlu ditekan, mirip kepada alat muzik piano yang menjadi asas bagaimana interaksi pengguna dengan mesin itu akan berlaku.

Walaupun ada dua mesin sudah dicipta sebelum itu, ciptaan seorang lelaki bernama Jean-Baptiste Schwilgue dari Strasbourg, Perancis adalah yang pertama dipatenkan sebagai mesin pertama memperkenalkan kepada dunia mesin pengira secara mekanikal serta benar-benar berfungsi dengan baik.

Rekaan mesinnya ringkas saja, mampu melakukan perkiraan ringkas dengan semua nombornya diletakkan dalam satu baris sahaja, dengan angka 1 hingga 9 dipasangkan butang masing-masing tanpa nombor sifar.

Evolusi mesin pengira dan butangnya

mesin kira zaman dahulu

Idea daripada rekaan awal itu terus berkembang. Pada tahun 1879, seorang pemilik kedai bernama James Ritty mencipta sebuah mesin yang mampu merekodkan jualan, tetapi butangnya pula mempunyai tambahan beberapa butang 10-90 dan 5-95, selain daripada 1 hingga 9. Kesemua butang disusun dalam dua baris dengan butang 1-9 disusun pada bahagian kanan.

Pada tahun 1902, seorang pereka bernama James Dalton memperkenalkan kepada masyarakat ketika itu ciptaannya yang diberikan nama 'Dalton Adding Machine.' Susunannya masih lagi mengekalkan dua barisan dengan 2,4,5,7 dan 9 di baris atas, sementara 1, 3, 0, 6 dan 8 di baris bawah. Mesin beliau adalah mesin pertama yang meletakkan angka 0 pada papan kekunci.

Walaupun dicanang mampu melakukan perkiraan pantas, susunan butang pada Dalton Adding Machine masih lagi tidak semulajadi pergerakannya.

the sundstrand adding machine

Pada tahun 1914, seorang pencipta Amerika berbangsa Sweden bernama David Sundstrand mengubah susunan kekunci Dalton kepada susun atur 3x3 yang kita kenali sekarang ini, dengan kekunci 7, 8 dan 9 diletak pada bahagian atas, sementara butang angka 0 diletak pada bahagian bawah.

Perubahan ini membolehkan pengguna mengira dengan hanya sebelah tangan beroperasi sementara sebelah lagi tangan, bebas untuk memegang dokumen atau melakukan sebarang keperluan lain. Susun atur ini kekal digunakan sehingga ke hari ini, pada mana-mana kalkulator atau papan kekunci yang dibangunkan untuk tujuan pengiraan.

Kenapa susun atur kekunci telefon berbeza?

rotary telephone telefon jenis lama

Tak lama dahulu, sekitar 20 ke 30 tahun lepas, negara kita masih banyak menggunakan telefon yang perlu didail menggunakan sistem rotari, di mana kita perlu memusingkan cakera untuk 'menekan' nombor.

Walaupun begitu, telefon yang menggunakan sistem butang tekan sudah pun dicipta lebih awal, dengan ciptaan terawalnya diperkenalkan pada tahun 1887 lagi dengan pengenalan 'micro telephone push button.' 5 tahun kemudian, barulah telefon jenis rotari diperkenalkan yang akhirnya menjadi alternatif popular untuk berdekad lamanya.

kenapa butang kekunci telefon kalkulator tak sama susunan 804

Pada tahun 1919, usaha untuk menghasilkan produk telefon butang bertaraf komersial dilakukan oleh sebuah syarikat bernama Western Electric, namun fungsinya yang terhad menyebabkan produk itu gagal dipasaran.

Jadi telefon rotari mula digunakan secara meluas sehinggalah era 1950-an di mana teknologi panggilan jarak jauh mula diperkenalkan kepada orang ramai.

Ketika mula, operator-operator telefon menggunakan mesin penyambung panggilan yang menggunakan papan kekunci menegak, tetapi aduan berkenaan kesukaran menggunakannya seringkali kedengaran. Namun apabila panggilan jarak jauh dikomersialkan, aduan berkenaan kesukaran mendail naik mendadak di mana banyak kes kesilapan semasa mendail berlaku.

Apatah lagi nombor telefon semakin lama menjadi semakin panjang.

Penyelidikan tentang susun atur nombor yang optimum

susun atur kajian penyelidikan

Syarikat AT&T pada tahun 1955 melakukan kajian bagi mengenalpasti susun atur yang terbaik untuk produk terbaru mereka yang bakal dilancarkan. Perubahan teknologi ke teknologi yang kita gunakan sekarang iaitu 'touch tone' atau 'tona sentuh' memerlukan AT&T memperkenalkan peranti telefon baru yang mesra pengguna, serta meminimakan ralat semasa mendail.

Kajian yang dilakukan selama dua peringkat berjalan dalam tempoh 5 tahun, membangunkan prototaip 15 susun atur kekunci telefon yang dirasakan sesuai termasuklah bentuk piramid, bulat (seperti susunan rotari), melintang, separa bulatan dan pelbagai lagi susunan lain.

Salah satu susunan yang turut sama digunakan AT&T dalam kajian mereka, adalah susunan papan kunci kalkulator. Malangnya, susunan itu didapati kurang sesuai untuk penggunaan telefon. Namun kajian mereka menunjukkan susunan yang digunakan David Sundstrand pada kalkulator ciptaan beliau mudah digunakan, cuma susunan angkanya tidak sesuai untuk telefon.

Daripada kesemua susunan yang ada, ada dua yang didapati sangat berkesan : susunan 3x3 dengan 1, 2 dan 3 dibaris atas sementara 0 dibawah nombor 8 mirip kalkulator atau 2 baris melintang, dengan baris pertama 1 hingga 5 dan 6-0 untuk baris kedua.

keputusan kajian susun atur nombor

Kajian selanjutnya diteruskan bagi menentukan rekaan mana yang terbaik, daripada segi astetik dan rekaan fizikal pada peranti telefon yang bakal dikeluarkan. Dengan mengambil kira ruangan di antara butang, saiz butang yang akan digunakan serta kadar kesilapan dalam mendail, AT&T akhirnya mengambil keputusan menggunakan susun atur butang telefon yang ada sekarang - mirip dengan kalkulator tetapi susunannya diterbalikkan.

Sebab itulah susun atur kalkulator dan telefon berbeza - ini kerana kedua-duanya mempunyai fungsi yang nyata berbeza kehendak dan tatacara penggunaannya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)