Semua tahu bahawa rangkaian restoran paling terkenal di dunia ialah McDonald's. Kebanyakan orang pada hari ini mungkin pernah merasai hidangan McDonald's yang beroperasi di lebih daripada 100 negara.

Apabila memikirkan tentang McDonald's, anda pasti terbayangkan kentang goreng dan burgernya. Namun, ada lagi perkara yang begitu sinonim dengan rangkaian makanan segera ini iaitu maskotnya, badut yang bernama Ronald McDonald.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Imej Ronald McDonald dikenali di seluruh dunia sebagai wajah kepada restoran McDonald's. Namun, adakah anda perasan bahawa semakin sukar untuk melihat wajah maskot ini.

Mungkin ramai yang tidak tahu atau menyedari bahawa maskot Ronald McDonald ini telah "bersara". Lebih tepat lagi, rangkaian McDonald's telah menamatkan penggunaan maskot ini secara rasmi. Berikut adalah kisahnya.

Sejarah ringkas Ronald McDonald

Maskot badut Ronald McDonald sebenarnya telah wujud sejak tahun 1960-an lagi untuk membantu McDonald mempromosi burger mereka. Pada tahun 1963, pemilik kepada rangkaian di Washington, D.C. mengiklankan restoran mereka di saluran televisyen tempatan.

ronald mcdonald dan bozo

Ronald McDonald dan Bozo

Iklan televisyen pertama McDonald's itu memaparkan badut bernama Bozo yang menyuruh dua orang kanak-kanak meminta ibu bapa mereka membawa mereka ke restoran itu.

Pada pertengahan tahun 60-an, maskot Bozo semakin popular dan banyak diiklankan. Pada 1965, McDonald's memperkenalkan pula maskot baru bernama Ronald McDonald.

Badut Ronald McDonald kali pertama muncul di siaran TV kebangsaan dalam satu iklan sempena Hari Perarakan Thanksiving. Ronald juga muncul ketika iklan Super Bowl pertama pada Januari 1966. Populariti Ronald McDonald telah menggantikan Bozo yang kemudian tidak lagi digunakan oleh McDonald's.

Pada tahun 70-an, komik Ronald McDonald telah diterbitkan di mana beberapa lagi watak maskot McDonald's diperkenalkan. Watak-watak sokongan seperti Mayor McCheese, Grimace dan Hambuglar yang tinggal di McDonaldland menjadikan maskot Ronald McDonald lebih menarik minat kanak-kanak.

mcdonaldland

Kempen McDonaldland telah berakhir pada tahun 2003 apabila restoran itu memperkenalkan kempen "I'm Lovin' It". Namun, watak Ronald McDonald masih dikekalkan walaupun semakin kurang dipaparkan di dalam iklan.

Kontroversi berkaitan Ronald McDonald

Selain popular dan disukai ramai, Ronald McDonald juga berhadapan dengan beberapa kontroversi. Memandangkan tujuan utama Ronald McDonald adalah untuk memasarkan makanan segera kepada kanak-kanak, ia mengundang pelbagai masalah terutamanya apabila kadar obesiti di kalangan kanak-kanak semakin meningkat.

Pada tahun 2011, sekumpulan 550 orang doktor dan pengamal perubatan mengkritik iklan maskot itu di pelbagai akhbar tempatan dan menggesa agar McDonald's menghentikan penggunaan Ronald McDoland. Mereka tidak mahu maskot itu menjadi penyumbang kepada generasi yang tidak sihat.

McDonald's memberikan respon dengan menyatakan Ronald McDonald tidak pernah mengiklankan makanan tidak sihat kepada kanak-kanak. Bahkan, McDonald's turut mendakwa bahawa ibu bapalah yang memainkan peranan untuk memilih apakah yang menjadi makanan anak-anak mereka.

kontroversi ronald mcdonald

Selain kontroversi mengiklankan makanan tidak sihat, maskot Ronald McDonald berhadapan juga dengan isu lain. Watak badut yang sepatutnya melucukan semakin lama menjadi semakin ditakuti.

Ia berikutan trend terkini kisah seram yang sering memaparkan badut sebagai watak jahat. Salah satu watak badut popular yang menyeramkan ialah Pennywise the Clown dalam filem IT.

Malah, trend menakut-nakutkan orang atau melakukan prank dengan menjadi badut juga popular sejak kebelakangan ini sehingga menjadi fenomena di Barat terutamanya di Amerika Syarikat.

Persaraan rasmi Ronald McDonald

Ironiknya, trend badut inilah yang menjadi punca utama mengapa watak maskot Ronald McDonald dihentikan, bukannya disebabkan kesihatan kanak-kanak. Walaupun semakin jarang diiklankan sejak 2010, maskot ini dihentikan secara rasminya pada tahun 2016 apabila prank "badut menyeramkan" tersebak di seluruh Amerika.

Pada mulanya, prank badut ini kelihatan seperti satu jenaka tetapi semakin lama semakin ramai orang menjadikan trend itu menakutkan. Ada badut yang dilihat memegang senjata dan cuba menakut-nakutkan orang awam.

McDonald's dalam kenyataannya menyebut bahawa mereka telah mempertimbangkan untuk menghentikan penggunaan maskot Ronald McDonald dalam pasaran kerana trend badut seram yang semakin berleluasa. Sebenarnya, trend itu sedikit sebanyak menjejaskan imej Ronald McDonald.

trend badut seram

Walaupun maskot Ronald McDonald secara rasminya ditamatkan, salah satu organisasi McDonald's iaitu Ronald McDonald House Charities masih menggunakan nama badut itu.

Mungkin rangkaian makanan segera McDonald's akan bertahan untuk satu jangka masa yang panjang tetapi generasi akan datang mungkin tidak lagi mengenali maskot badut Ronald McDonald yang popular di seluruh dunia suatu ketika dahulu. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)