Ramai yang sedia maklum bahawa maskot berbentuk badut berambut merah ini merupakan maskot rasmi restoran McDonald's. Bagi yang tidak tahu, namanya adalah Ronald McDonald.

Dalam iklan komersial McDonald di kaca televisyen suatu ketika dahulu, Ronald McDonald hidup dalam sebuah dunia fantasi bernama McDonaldland bersama rakan-rakannya Mayor McCheese, Hamburglar, Grimace, Birdie the Early Bird dan The Fry Kids. Namun sejak 2003, iklan mengenai McDonaldland tidak lagi dipaparkan di kaca televisyen.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ronald merupakan pengganti watak Bozo

bozo the clown

Bozo the Clown, inspirasi bagi karakter Ronald McDonald

Di kawasan Washington D.C, karakter televisyen yang dikenali sebagai Bozo the Clown begitu popular dan dimainkan dalam pelbagai persembahan dan teater. Ianya juga digunakan bagi mempromosikan francais restorang makanan segera McDonald's yang dimiliki oleh Oscar Goldstein dan John Gibson.

Pada masa yang sama, muncul sebuah karakter baru yang diberi nama "Ronald McDonald" yang digambarkan sebagai badut yang gemarkan hamburger. Dengan memakai jumpsuit berwarna kuning dan baju bercorak belang, Ronald McDonald juga memakai cawan pada hidungnya dan memakai topi daripada dulang yang mengandungi makanan yang dijual oleh McDonald's.

Ketika mana watak Bozo semakin tenggelam, nama Ronald semakin meningkat naik dan berjaya membina pengaruh dan peminatnya yang tersendiri. Hanya selepas 3 kali dipaparkan dalam iklan komersial, Ronald terus diangkat sebagai watak utama McDonald di peringkat kebangsaan.

Malang bagi Bozo apabila dia bukan sahaja dilupakan sebagai pemberi inspirasi kepada watak Ronald, tetapi nama penciptanya juga sama sekali tidak pernah dikreditkan atau diberikan penghargaan oleh pihak McDonald's.

Penciptanya tidak pernah dihargai

Williard Scott memainkan watak Ronald McDonald dalam iklan komersial pertama Ronald McDonald

Walaupun dilantik sebagai pemain watak Ronald McDonald's, Willard Scott yang juga pencipta watak ini nyata kecewa namanya tidak pernah dikreditkan untuk penciptaan watak Ronald McDonald ini.

Dalam bukunya Joy of Living terbitan 1982, Willard Scott menceritakan bagaimana pemilik francais McDonald's di Washington D.C. ada menghubunginya dan menawarkannya untuk mencipta satu watak baru bagi menggantikan Bozo the Clown. Beliau yang ketika itu seorang personaliti radio telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan

Ray Kroc, salah seorang individu tertinggi di McDonald's yang bertanggungjawab mengembangkan perniagaan McDonald's ke seluruh Amerika Syarikat melihat terdapat potensi watak Ronald McDonald digunakan sebagai maskot rasmi McDonald. Malangnya, walaupun watak Ronald McDonald digunapakai, beliau mula menyisihkan penciptanya, Willard Scott.

Walaupun beberapa kali cuba menuntut agar pihak McDonald's mengiktiraf namanya sebagai pencipta watak Ronald, Willard Scott mendakwa tuntutan tersebut seringkali tidak diendahkan. Lebih menyedihkan, nama Oscar Goldstein pula dikreditkan walhal dia hanya pemilik francais McDonald's yang membayar Willard Scott untuk mencipta watak Ronald.

Tuntutan demi tuntutan Willard Scott sering diabaikan. Sehinggalah pada tahun 2000 dalam rancangan NBC bertajuk Today Show apabila Henry Gonzalez yang ketika itu merupakan Presiden McDonald's bahagian Timur Laut secara peribadianya mengucapkan terima kasih atas sumbangan Willard Scott dalam penciptaan watak Ronald.

Kawan baiknya merupakan seorang penjahat

Waktu awal kemunculan watak Grimace

Dalam dunia McDonaldland, watak Grimace merupakan sahabat baik Ronald. Grimace digambarkan sebagai watak yang sentiasa ceria dan penyayang. Walau bagaimanapun, watak Grimace pada awal kemunculannya adalah watak jahat dan namanya adalah Evil Grimace.

Evil Grimace adalah pencuri dan mempunyai 4 tangan yang gemar mencuri milkshake dan minuman soda. Namun, Ronald berjaya mengubah sifat jahatnya dan menjadikan Grimace sebagai watak baik. Watak Grimace ini diperkenalkan pada tahun 1971 dalam McDonaldland dan pihak McDonald's telah mengubahnya kepada hanya 2 tangan agar ia kelihatan normal seperti manusia lain.

Disaman oleh pemilik H. R. PufNStuf

Iklan komersial McDonald's yang didakwa mencuri idea H. R. PufnStuf

Menjelang 1970-an, pihak McDonald's mula menghidupkan watak Ronald McDonald dengan memperkenalkan dunia fantasi McDonaldland yang memaparkan watak Ronald McDonald bersama beberapa rakannya.

McDonaldland dipenuhi dengan ciptaan aneh dan pelbagai mesej subliminal yang direka untuk menggalakkan anak-anak mengidam lebih banyak burger dan kentang goreng. Pada awalnya, McDonaldland hanya dipaparkan dalam iklan komersial namun akhirnya beberapa episod rancangan kartun berlatarbelakangkan kehidupan disini turut dihasilkan.

Bukan sahaja McDonaldland sangat pelik, ianya cukup dibenci oleh Sid dan Marty Krofft. Kedua beradik Krofft ini merupakan pencipta PufnStuf, program rancangan kanak-kanak yang cukup popular di Amerika Syarikat pada tahun 70-an. Pada mulanya, kedua mereka telah didatangi oleh pihak McDonald's untuk mencipta McDonaldland sebelum pihak McDonald membatalkan rancangan itu.

Tidak lama selepas itu, tiba-tiba dunia fantasi McDonaldland diperkenalkan walhal pihak McDonald's telah membatalkan perancangan tersebut selepas mengadakan perbincangan dengan kedua individu ini. Malah, rekabentuk McDonaldland juga sangat mirip dengan idea awal yang dihasilkan oleh Sid dan Marty Krofft.

Dalam erti kata lainnya, pihak McDonald's telah mencuri idea Sid dan Marty Krofft tanpa membayar mereka atas idea asal mereka itu. Kedua mereka telah bertindak membawa kes ini ke mahkamah untuk menyaman pihak McDonald's dan telah memenangi beberapa juta dollar setelah menang dalam kes saman tersebut.

Cubaan menyaman pemilik sebenar nama Ronald McDonald

mcdonald s family restaurant

Kes dengan Willard Scott (pencipta karaketer Ronald McDonald) dan Sid dan Marty Krofft (pencipta konsep McDonaldland) bukan satu-satunya kontroversi yang berkait rapat dengan maskot McDonald's ini.

Tidak lama selepas itu, McDonald's sebenarnya telah bertindak menyaman sebuah restoran yang dipanggil McDonald's Family Restaurant di Illinois, yang sebenarnya dimiliki oleh seorang lelaki bernama Ronald McDonald. Tindakan ini kononnya untuk melindungi jenama McDonald semata-mata.

Lelaki tersebut telah membuka restorannya pada tahun 1950-an, tetapi McDonald's tidak mahu ada orang menggunakan nama yang sama. Akhirnya kes tersebut berakhir apabila pemilik restoran tersebut memenangi kes tersebut di mahkamah.

Kegagalan watak Ronald McDonald dalam filem dan permainan video

Sedutan filem Mac and Me

Selama berpuluh-puluh tahun, penggunaan watak Ronald McDonald juga sudah banyak kali berubah-ubah. Pada 1980-an dan 90-an ketika mana industri permainan video sedang berkembang, watak Ronald McDonald turut digunakan dalam beberapa permainan video antaranya McDonald’s Treasure Land Adventure untuk platform Sega Genesis dan MC Kids.

Namun, permainan video paling pelik yang dihasilkan untuk karakter ini adalah sebuah permainan video yang hanya dijual di Jepun bertajuk Donald Land. Dalam permainan ini, Ronald dikehendaki untuk melawan raksasa jahat dan badut dalam usaha untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang telah dipengaruhi oleh anasir jahat.

Watak Ronald juga pernah digunakan dalam filem Mac and Me pada tahun 1988 yang dianggap sebagai antara filem terburuk sepanjang zaman. Bukan sahaja plot ceritanya ditiru bulat-bulat daripada filem Extra-Terrestrial arahan Steven Spielberg, ianya turut dipenuhi dengan paparan produk McDonald's dan Coca-Cola.

Desakan untuk menghentikan penggunaan maskot Ronald

maskot rasmi mcdonalds 921

Bagi sesetengah pihak, penggunaan maskot badut oleh McDonald's untuk menarik minat kanak-kanak terhadap restoran itu dianggap sangat tidak beretika. Hal ini disebabkan kanak-kanak secara umumnya mudah tertarik dengan badut dan perkara ini menggalakkan mereka untuk kerap datang menikmati makanan ringan di McDonald's yang semestinya tidak bagus untuk kesihatan.

Malah, pada 2011, sekumpulan 550 orang doktor di Amerika Syarikat pernah mengeluarkan kenyataan di akhbar yang mendesak penggunaan maskot Ronald McDonald's dihentikan. Pada 2010, agensi Corporate Accountability International juga mencadangkan penggunaan maskot Ronald McDonald dihentikan memandangkan masalah obesiti serius dalam kalangan kanak-kanak di Amerika SYarikat.

Walau bagaimanapun, CEO McDonald's pada ketika itu Jim Skinner menjawab bahawa pihak mereka sama sekali tidak mempunyai perancangan untuk menghentikan penggunaan maskot itu. Menurutnya, maskot tersebut hanya mempromosikan perkara yang baik dan semuanya bergantung kepada ibu bapa sama ada hendak membawa anak-anak mereka makan di restoran McDonald's atau tidak.

Watak Ronald McDonald pada masa kini

maskot mc donalds sekarang masa kini

Di zaman moden ini, peminat McDonald's pastinya perasan iklan-iklan komersial melibatkan Ronald McDonald tidak lagi dipaparkan di kaca televisyen. Namun, di sesetengah cawangan McDonald, anda mungkin dapat menyaksikan patung maskot ini masih lagi wujud berdiri atau duduk bagi membolehkan pelanggan mengambil gambar dengannya.

Antara sebab penurunan populariti Ronald pada masa kini adalah sejarah silamnya sendiri dan rekod-rekod buruk dalam filem, iklan dan permainan video yang tidak mendapat sambutan. Malah, kini karakter Ronald juga sering dipakai pada hari Holloween dengan versi lebih menyeramkan, menyebabkan kanak-kanak mula takut dengannya.

Kempen-kempen kesedaran mengenai obesiti dan bahaya makanan segera dalam kalangan kanak-kanak terutamanya turut dikatakan sebagai faktor yang menyebabkan pihak McDonald's sendiri kurang mengetengahkan lagi maskot mereka sendiri.

Kredit:

MIC

Grunge

Mashable

Business Insider




Hakcipta iluminasi.com (2017)