Pastinya semua orang sudah tahu bahawa restoran makanan segera menguasai pasaran makanan di seluruh dunia. Burger King mempunyai lebih daripada 16,000 lokasi di lebih 100 negara dan McDonald's mempunyai lebih daripada 36,000 buah cawangan.

Malah, terdapat sebuah cawangan McDonalds di New Zealand yang beroperasi dalam sebuah pesawat yang tidak lagi digunapakai dan terdapat juga di Vatican City.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perniagaan makanan segera bernilai lebih daripada RM2 trilion setiap tahun, namun ada satu tempat di mana rangkaian makanan segera tidak mendapat sambutan dan tempat tersebut tak lain dan tak bukan adalah Vietnam.

Iluminasi.com kongsikan mengapa McDonald’s dan Burger King gagal mendapat pengikut di Vietnam.

Menjadi kegilaan ketika mula dibuka

mcdonalds dibuka di vietnam

Ketika McDonalds pertama kali membuka cawangan mereka di Vietnam pada tahun 2014, restoran ini menjadi kegilaan ramai. Penduduk tempatan berpusu-pusu beratur untuk tempoh berjam-jam hanya untuk mendapatkan Big Mac.

Namun jika kita percepatkan masa ke hari ini, kegilaan itu sudah tidak lagi wujud. Sejak dilancarkan pada tahun 2014, cawangan McDonalds di Vietnam kini hanyalah sebanyak 17 buah.

Manakala Burger King yang mula masuk ke pasaran negara ini pada tahun 2011 hanya mempunyai 13 buah cawangan di seluruh Vietnam sehingga tahun 2018.

Kegagalan kedua-dua syarikat ini untuk menarik perhatian pasaran Vietnam adalah tersangat pelik kerana rangkaian makanan segera ini telah berjaya mengembankan sayap mereka ke negara-negara Asia.

McDonald's telah melihatkan pertumbuhan luar biasa di negara-negara seperti China dan Jepun di mana terdapat beribu-ribu cawangan di kedua-dua negara dan Burger King telah mengembangkan francaisnya di Jepun dari 12 buah restoran pada 2008 kepada 98 buah sehingga tahun 2017.

burger king di vietnam

McDonald's menduduki tempat kedua daripada semua rangkaian makanan segera asing di tanah besar China, di belakang KFC manakala Burger King menduduki tempat keempat.

Malah, McDonalds adalah rangkaian makanan segera yang paling popular di Malaysia. Namun, lain ceritanya di Vietnam.

Rancangan terbantut

mcdonald di vietnam diserbu ketika pertama kali dibuka pada tahun 2014

Apabila McDonalds akhirnya berjaya memasuki pasaran Vietnam pada tahun 2014, mereka merancang untuk membuka 100 buah cawangan dalam masa 10 tahun. Mengejutkan, hanya terdapat 17 buah cawangan sahaja sehingga kini.

Jumlah ini tersangat sedikit jika dibandingkan dengan cawangan di Malaysia iaitu sebanyak 273 buah.

Perkara yang sama berlaku kepada Burger King di mana syarikat ini melaburkan RM160 juta di Vietnam pada tahun 2012 dengan sasaran membuka 60 cawangan menjelang tahun 2016.

Namun, sehingga tahun 2018, hanya terdapat 13 cawangan Burger King di Vietnam.

Apabila ditanya oleh CNBC mengapa mereka menghadapi masalah serius untuk memecah pasaran Vietnam, kedua-dua McDonalds dan Burger tidak memberikan sebarang respon.

Nilai "makanan segera" diatasi oleh peniaga jalanan

penduduk tempatan menikmati makanan di gerai jalanan

Menurut Hao Tran, pengasas Vietcetera, makanan segera mendapat sambutan di Amerika Syarikat kerana anda boleh mendapatkan makanan dengan kadar yang pantas.

Namun di Vietnam, anda juga boleh menikmati hidangan dengan pantas jika anda makan di gerai-gerai di tepi jalan.

Malah, penjual makanan jalanan mampu menyediakan makanan dengan lebih pantas daripada rangkaian makanan segera. Jadi, rangkaian makanan segera telah ditewaskan oleh penjual jalanan, menjadikan ianya nilainya jatuh.

Namun, sebahagian daripada masalah adalah gergasi makanan segera ini memandang rendah terhadap saingan tempatan.

Penduduk tempatan dan pengunjung Vietnam dimanjakan dengan pilihan makanan di bandar-bandar seperti Hanoi atau Ho Chi Minh yang mana menyukarkan rangkaian makanan segera antarabangsa untuk bersaing.

penjual makanan tepi jalan di vietnam viral

penjual makanan tepi jalan di vietnam 2 976

“Bagi warga Vietnam, kami mempunyai sandwic bahn mi dan makanan ini dijual di tepi jalan dengan harga yang tersangat murah berbanding McDonald’s dan Burger King,” kata pengarang dan chef, Andrea Nguyen.

Menurut Suruhanjaya Eropah, pengguna Vietnam membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka terhadap makanan. Daripada jumlah tersebut, 70 hingga 80% dibelanjakan dengan membeli makanan daripada gerai-gerai jalanan dan kios.

Hanya 1% sahaja peruntukan wang tersebut digunakan untuk menikmati makanan segera di Vietnam. Sektor perkhidmatan makanan di Vietnam mempunyai lebih daripada 540,000 kedai.

Lebih daripada 430,000 merupakan gerai jalanan dan kios. Terdapat hampir 80,000 restoran tempatan dan hampir 22,000 kafe dan bar tempatan.

Namun bagi restoran makanan segera pula, jumlah keseluruhan kedai di Vietnam hanyalah sekitar 7,000 buah, atau 1.6% sahaja.

Kesan daripada perang 

perang vietnam 122

Sebahagian daripada sebab mengapa jumlah rangkaian makanan segera di Vietnam terlalu kecil adalah kerana hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat dan negara ini yang rosak.

Selepas AS mengundurkan diri dari Vietnnam berikutan perang pada tahun 1973, semua hubungan diplomatik terputus di antara kedua-dua negara pada tahun 1975.

Sehinggalah tahun 1995 di mana AS dan Vietnam memperbaiki hubungan mereka dan membuka jalan perdagangan di antara satu sama lain.

Sebelum itu, penduduk tempatan menggunakan tingkat atas rumah sebagai kediaman dan menjadikan bahagian bawah sebagai pilihan untuk berniaga makanan.

KFC jenama Amerika Syarikat pertama di Vietnam

kfc di vietnam

Pada tahun 1997, KFC adalah jenama Amerika Syarikat yang pertama membuka kedai di Vietnam namun ia sudah memasuki pasaran makanan yang sangat sesak.

KFC mengambil masa 7 tahun untuk hanya membuka 10 buah cawangan, membuatkan mereka terpaksa menukarkan menu mengikut selera tempatan.

Jenama ini memperkenalkan Nasi Ayam KFC dan Burger Udang KFC untuk penduduk tempatan. Kini, KFC mempunyai 130 buah cawangan di 21 bandar Vietnam.

Dengan harga KFC yang mahal, ia seolah-olah berbaloi untuk pelanggan.

Harga terlalu mahal untuk penduduk tempatan

street food di vietnam

Namun harga yang mahal ini bukanlah dikenakan oleh KFC sahaja. Harga McDonalds dan Burger King juga dianggap sebagai premium berbanding makanan jalanan.

Di gerai jalanan, anda boleh mendapatkan hidangan 2 kali ganda berbanding di McDonalds dan Burger King, dengan separuh harga.

Menurut pemilik restoran Restoran Royal Saigon, orang biasa akan membelanjakan 2 hingga 3 dolar untuk makan tengahari dan ia dikira sebagai jumlah yang besar.

Mereka biasanya cenderung untuk makan dalam kumpulan dan kadang-kala sahaja mereka akan makan di McDonalds. Dan pada hari-hari lain, gerai jalanan menjadi pilihan utama.

Budaya makan di Vietnam berbeza

hidangan makanan di vietnam

Malah, harga yang mahal hanyalah sebahagaian daripada masalah rangkaian makanan segera. Cara makanan dihidangkan di Vietnam juga memainkan peranan penting menyukarkan kedua-dua syarikat ini.

Apabila orang Amerika pergi ke restoran, mereka biasanya memesan makanan yang mereka suka untuk diri sendiri.

Di Vietnam, ia lebih kepada pengalaman makan bekeluarga dan menu yang ditawarkan oleh rangkaian makanan segera tidak menepati apa yang biasa dalam budaya di Vietnam di mana mereka suka berkongsi.

burger mcdonalds 655

Makanan segera seperti burger kurang mendapat sambutan di Vietnam kerana ia bukanlah makanan yang anda mahu kongsikan bersama orang lain.

Ketika ini, ia tidak kelihatan suasana pasaran bagi rangkaian makanan segera akan bertambah baik. Lebih ramai pelanggan Vietnam memilih untuk tidak mengunjungi restoran makanan segera setiap tahun.

Populariti makanan segera di Vietnam medurum

Kunjungan ke rangkaian makanan segera merudum 31% dari tahun 2016 hingga 2018. Manakala kunjungan ke gerai jalanan melonjak sehingga 70% dalam tempoh 2 tahun tersebut.

Walaubagaimanapun, tak semua rangkaian makanan segera gagal untuk menarik selera penduduk tempatan, sebagai contoh KFC dan Pizza Hut.

McDonalds dan Burger King merangkumi 2.8% daripada jumlah rantaian makanan segera asing di Vietnam namun KFC merangkumi 11.4% manakala Pizza Hut pula sebanyak 21.3%.

penjual makanan tepi jalan di vietnam 801

Meskipun tidak mendapat sambutan, kedua-dua nya masih tidak berputus asa. Syarikat-syarikat gergasi ini telah melakukan usaha untuk menyesuaikan menu bagi mencerminkan pengaruh kebudayaan masakan Vietnam.

Pakar-pakar mengatakan bahawa lebih banyak usaha yang harus dilakukan selain daripada menyusun semula menu bagi bersaing dengan pilihan makanan tempatan yang terlalu banyak di pasaran.

Dengan populariti makanan segera yang semakin menurun di Vietnam, McDonalds dan Burger King mempunyai masa depan yang agak kabur dalam memuaskan selera penduduk Vietnam.

Rujukan:

1. CNBC

2. Wiley

3. Reddit




Hakcipta iluminasi.com (2017)