Adakah anda mempunyai rakan yang berbadan sado atau berwajah bengis, tapi dalam hatinya ada taman dan sukakan benda-benda cute?
Ada segelintir orang tidak mahu mengaku bahawa mereka sebenarnya memang suka tengok anak kucing yang comel, arnab yang berbulu gebu, bayi yang sedang tidur atau gadis yang berperwatakan cute dan mengada-ngada seperti anak kecil.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa manusia sukakan benda yang comel?
Semuanya disebabkan oleh fitrah dan kelangsungan hidup. Naluri kita cenderung menyukai perkara cute kerana minda kita telah diprogram untuk menerima kewujudan bayi. Mereka dilahirkan comel, lemah dan rentan sehingga perlu diangkat dengan penuh hati-hati. Layanan dan tindak balas semula jadi manusia dewasa terhadap seorang bayi membuatkan kita berasa lebih bertanggungjawab untuk melindungi dan menjaga mereka.
Keinginan untuk menyukai bayi yang comel ini sangat kuat sehingga kita juga sukakan kesemua perkara comel yang menawan hati. Malah, ramai penyelidik mendapati manusia juga memberikan reaksi yang sama kepada bayi-bayi spesies lain seperti anak kucing atau anak beruang panda.
Perkara ini disebabkan otak kita telahpun menerima isyarat cute itu sebagai kepala yang bulat dan besar serta tidak begitu seimbang dengan saiz badan. Tanda-tanda cute yang lain termasuklah mata besar yang terletak betul-betul di bawah garisan tengah muka, pipi tembam, dahi yang luas, berbadan montel dan kulit yang gebu.
Kesan seperti menghisap dadah?
Secara kolektif, isyarat-isyarat ini dipanggil skema bayi. Apabila kita melihat saja sesuatu benda yang mempunyai ciri-ciri bayi, otak kita akan mengaktifkan sistem mesocorticolimbic yang memberikan rasa teramat gembira, sama seperti kesan penggunaan dadah jenis opioid.
Setelah otak mengaktifkan reseptor glutamat yang menyebabkan rasa inginkan ganjaran dan keseronokan, kita akan tertarik untuk melihat si cute itu dengan lebih dekat dan lebih lama. Sebab itulah kita rasa geram ingin mencium, memeluk dan menyayangi perkara-perkara yang comel.
Apa yang lebih mengejutkan, sifat sukakan perkara cute ini sangat kuat sehingga kita juga tertarik dengan benda tidak bernyawa yang memberi gambaran 'bayi'. Objek seperti pakaian, anak patung, belon, emoji, lukisan dan warna-warna lembut juga menyebabkan kita memberi tindak balas seolah-olah objek-objek ini merupakan bayi sebenar.
Jika sesuatu objek, haiwan atau manusia itu mempunyai tahap kecomelan yang lebih tinggi, maka lebih tinggi jugalah kadar tindak balas otak manusia terhadapnya.
Awwwww!
Rujukan: