Oleh pada 14 Mar 2023 kategori

Bakat dan kesungguhan anak seni dari Perak, Tan Sri Michelle Yeoh - tidak boleh disangkal lagi. 

Anak kelahiran Ipoh ini sudah didedahkan dengan seni dan sastera sejak usia kecil telah melalui karier panjang, membawanya berhijrah ke United Kingdom bersama keluarga dan menamatkan pengajian dalam bidang seni kreatif di sana, sebelum menyertai pertandingan Miss World tahun 1983 sebagai wakil negara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penyertaan inilah yang membuka peluang kepada beliau berkenalan dengan legenda filem aksi Hong Kong, Jackie Chan. Kerjasama kedua-duanya mempopularkan nama Yeoh sebagai bintang filem aksi wanita terkenal dalam industri di sana.

Tahun demi tahun, nama beliau meniti di kalangan peminat filem, berpeluang membintangi filem-filem klasik seperti Crouching Tiger Hidden Dragon dan Memoirs of a Geisha; sebelum mencapai kemuncak kerjaya pada tahun 2023 selepas penampilan beliau dalam filem Everything Everywhere All At Once membolehkan beliau bergelar pelakon wanita terbaik anugerah Oscar.

Kemenangan ini menimbulkan perdebatan hangat di kalangan masyarakat bukan saja dunia bahkan di kebanyakan negara Asia, kerana tunjang kisah filem itu menyentuh topik kontroversi, iaitu isu gejala songsang.

Persoalannya - wajarkah kemenangan ini tidak diraikan?

Intipati 'Everything Everywhere All At Once'

pasangan michelle yeoh jamie lee curtis

Jika anda belum berpeluang menonton filem Everything Everywhere All At Once (EEAAO), premis filem ini sebenarnya ringkas.

EEAAO sebuah filem yang lebih tepat dikategorikan sebagai sebuah filem komedi yang menggabungkan pelbagai sub-genre di dalamnya. Memang ada BERMACAM-MACAM GENRE dalam filem ini menjadikan filem ini agak unik kedudukannya.

Filem ini menceritakan tentang Evelyn (Michelle Yeoh), seorang pengusaha dobi bersama suaminya Waymond, membesarkan seorang anak perempuan bernama Joy hasil titik peluh mereka meniaga. 

Malangnya, Evelyn dan Waymond berdepan banyak masalah lain. Perniagaan mereka suram dan rumahtangga mereka sedang dalam proses perceraian.

Dalam masa yang sama, Evelyn dan Waymond yang tidak lagi sehaluan terpaksa berhadapan dengan Joy yang semakin dewasa serta mahu mencari haluan sendiri; meminati seorang wanita kulit putih bernama Becky.

Pilihan hidup Joy  mengakibatkan berlakunya peningkatan konflik dalam diri Evelyn, memaksa dirinya berhadapan dengan bermacam situasi aneh selepas mengetahui rahsia sebenar suaminya.

Lelaki yang dikahwini beliau selama ini, bukanlah seorang yang dia sangka-sangka. Dari suaminya jugalah Evelyn menyedari diri dia juga bukanlah hanya sekadar seorang ibu, isteri dan wanita biasa - dia luar daripada biasa.

Apa yang menjadi asas penceritaan filem ini selain konflik di antara Evelyn dan Waymond, adalah sifat keibuan yang dimiliki Evelyn mahu melihat anaknya bahagia tetapi dalam masa yang sama sayang nilai budaya tradisional masyarakat Cina yang pasti menolak kemahuan anaknya.

Perjalanan filem ini berjalan rancak difokuskan kepada usaha Evelyn mahu memahami hati dan sanubari anaknya yang telah dewasa serta belajar menerima apa yang dahulunya tradisi dan pantang larang, harus boleh diubah dan dilentur mengikut peredaran masa.

Secara am, filem ini seolah menggambarkan orang Asia khususnya orang Cina harus belajar untuk keluar daripada stigma tradisi berkeluarga yang menghantui pemikiran mereka; perlu berani melakukan perubahan kepada institusi hubungan ibu, ayah dan anak yang telah dipegang sekian lama.

Mereka yang takut berubah, tidak akan jadi berani. Mereka yang tidak berani, kekal ditampuk sama menjalani rutin yang perlu dilakukan Evelyn setiap hari, menguruskan kedai dobi sehingga mengisi rasa benci dalam hati.

Kemenangan orang Asia?

everything everywhere michelle yeoh malaysia

Berdasarkan kepada gambaran dan sinopsis di atas, pasti anda sudah boleh membayangkan tema utama yang ingin dipaparkan bukan? 

Selain kemenangan Yeoh, EEAAO juga dinobatkan sebagai filem terbaik anugerah Oscar tahun 2023, mencatat rekod sebagai filem pertama dengan watak wanita utama berorientasi seksualiti songsang memenangi anugerah tersebut. 

Apa yang ironi pada pandangan penulis, penggiat filem di Hollywood memilih untuk mengangkat sebuah filem pertama yang berlatarbelakangkan masyarakat Asia dengan watak utama berorientasi songsang, sebagai pemenang.

Ini seakan-akan mengulangi kejayaan filem 'Moonlight', pemenang anugerah filem terbaik Oscar tahun 2016, menjadi pemenang pertama memaparkan watak lelaki kulit hitam songsang dalam persekitaran masyarakat kulit hitam.

Seolah-olah Hollywood sengaja mahu menghantar mesej meraikan kesongsangan dalam budaya masyarakat yang berbeza, tidak hanya melibatkan golongan kulit putih semata-mata.

Jadi apabila media termasuklah media tempatan di Malaysia mengangkat kemenangan Michelle Yeoh sebagai 'kebanggaan Asia' - timbul satu persoalan besar pada diri penulis; di manakah nilai Asia-nya filem yang dilakonkan beliau?

Majoriti negara Asia bukan saja mengecam bahkan menghukum apa saja bentuk hubungan seksualiti songsang, termasuklah di negara kita.

Hanya beberapa negara seperti Taiwan Filipina dan Thailand mempunyai dasar lebih terbuka, membolehkan pasangan sama jantina mempunyai hak sama rata atau secara separa jika kita bandingkan dengan pasangan normal.

Amat memalukan untuk membaca media tempatan kita, khususnya media berbahasa Inggeris yang mengangkat kemenangan Michelle Yeoh sebagai kemenangan untuk Malaysia dan Asia, tanpa mengambil kira faktor watak dan latar belakang mesej filem yang dimainkan beliau.

Oh ya, kenapa kami kata EEAAO menjadi pemenang anugerah filem pertama yang memaparkan watak wanita utama berseksualiti songsang? Ini kerana dalam filem itu....kami akan bocorkan penamat filem ini.....

.....

.....Watak yang dimainkan Michelle Yeoh iaitu Evelyn akhirnya menyedari dan mengakui dia sebenarnya pun menyukai seorang wanita kulit putih lain, sama seperti anaknya.

Pengaruh songsang dijulang tanpa banyak soal

black mirror san junipero

Sekiranya anda gemar mengkaji trend hiburan dan anda sensitif serta cakna tentang pengaruh elemen kesongsangan dalam media, pasti anda menyedari betapa kuatnya sokongan media barat terhadap apa saja bentuk penerbitan yang memaparkan elemen luar tabii ini.

Sejak dahulu, filem seperti My Own Private Idaho, Boys Dont Cry, Mysterious Skin dan Call Me By Your Name sedikit sebanyak berjaya memecahkan stigma peminat filem dalam meneliti hubungan songsang. Filem Brokeback Mountain pula menjadi filem paling berprofil tinggi berani memaparkannya tanpa lagi segan silu.

Siri drama TV popular seperti Will and Grace, Orange Is the New Black, Buffy the Vampire Slayer, Glee, Brooklyn Nine-Nine dan Black Mirror pula bertanggungjawab mempopularkan elemen songsang secara sisipan untuk tatapan harian kita. 

Apa yang aneh dan sangat konsisten berlaku, mana-mana filem atau siri drama yang berani membawakan elemen songsang akan diberikan liputan menyeluruh oleh media serta mendapat ulasan yang sangat baik. 

the last of us episode 3 hubungan songsang

Situasi sekarang berbeza jika dibandingkan dengan satu atau dua dekad terdahulu, di mana paparan adegan songsang masih dilihat sebagai sesuatu yang perlu ditutupi.

Kini produser-produser baik di Hollywood, Hong Kong atau Eropah sudah semakin selesa memasukkan unsur sebegini untuk dijadikan watak utama dalam filem atau drama perdana.

Semua kritikan menentang penataan elemen songsang, biasanya dijawab dengan satu jawapan universal oleh media-

'Apa yang mahu dipaparkan dan dipopularkan bukanlah kesongsangan, sebaliknya perasaan semulajadi yang timbul di antara dua hati yang terhubung.'

Mesejnya jelas mahu mengajak kita berhenti melihat kesongsangan sebagai sesuatu yang berbeza, sebaliknya mahu kita menerimanya sebagai sesuatu yang berlaku secara semulajadi.

Kemenangan untuk Malaysia, kekalahan untuk budaya masyarakat kita

pemimpin dan menteri malaysia rai kemenangan michelle yeoh

Kemenangan besar EEAAO dalam anugerah Oscar pasti akan mengundang lebih ramai penonton akan cuba menyaksikan apa yang 'bestnya' tentang filem tersebut. Jika anda akan menontonnya, tontonlah dengan berhati-hati.

Impak hasil kemenangan Michelle Yeoh dan filem ini sudah dapat kita lihat sekarang.

Pihak berpaksikan gerakan liberal telah mula bangkit mempersoalkan kenapa pemimpin yang menentang gerakan songsang di Malaysia, meraikan pula kemenangan Michelle Yeoh secara terbuka. Tindakan sebegitu dilabelkan ibarat hipokrit. 

Penggiat filem yang beraliran serupa sudah bersuara menggesa kerajaan kita meminda akta penapisan negara, membenarkan lebih kebebasan dalam berkarya dek inspirasi yang hadir daripada kemenangan anak jati Malaysia ini.

Kemenangan Yeoh dilihat sebagai bukti kukuh dasar penerbitan berteraskan budaya dan norma masyarakat kita dalam membentuk karya dan penerbitan, hanyalah satu kekangan yang membantutkan kreativiti anak muda mencipta karya lebih bertaraf antarabangsa. 

Kejayaan Yeoh dikatakan bermula kerana dia berjaya keluar daripada kekangan budaya kita. Hasilnya hari ini dia bergelar terbaik di dunia. Jika dia kekal di Malaysia yang didakwa lebih gemar bergelut dengan isu agama, nilai tradisi masyarakat dan budaya, di mana agaknya pencapaian beliau?

Penulis berpandangan pendapat sebegini walaupun ada benarnya khususnya dalam bab mengekang kreativiti, adalah satu kekangan yang perlu diwujudkan. Memang sukar untuk berkarya apabila ada banyak 'ini tak boleh, itu tak boleh' yang menjadi lumrah penerbitan di negara kita.

Tetapi kita tidak boleh meninggalkan elemen serta nilai asal masyarakat kita.

Bersetuju untuk melakonkan watak yang menerima kesongsangan seksualiti, bukanlah satu tindakan yang sepatutnya kita terima berlaku dalam masyarakat kita, semalam, hari ini, esok dan selamanya.

Adakah kemenangan Michelle Yeoh ini kemenangan untuk Malaysia dan Asia? Tidak. Yang menang hanyalah kuasa liberal barat yang mahu menyemarakkan agenda keterbukaan dan propaganda kesamarataan mereka.

Meraikan kemenangan ini seolah mengagungkan penerbitan isi kandungan yang menjulang perbuatan luar tabii manusia. 

Malang bagi kita kini satu dunia dah tahu, Malaysia mampu berbangga ada anak kelahiran mereka menang anugerah kerana memainkan watak yang merobohkan rumahtangga, demi kesongsangan diri sendiri.

 




Hakcipta iluminasi.com (2017)