Oleh pada 05 Nov 2017 kategori

Sybil Kathigasu adalah seorang jururawat dan pejuang kebebasan wanita berbangsa Eurasia yang telah menyelamatkan ramai nyawa khususnya ratusan kaum Cina sewaktu abad Jepun cuba menakluki Malaya. Masyarakat Cina menganggap beliau sebagai ikon individu yang dikenali dengan keberanian dan kecekalan dalam membela nasib bangsa-bangsa Tanah Melayu dengan memberikan bantuan perubatan, termasuk kepada kumpulan Anti-Gerila semasa Perang Dunia Kedua. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Meskipun pengorbanan Sybil tidak melibatkan senjata, namun ia meletakkan perjuangannya di bawah tekanan yang tinggi dan berisiko mengancam nyawa beliau dan suami jika perkhidmatan ini dapat dikesan oleh pihak Jepun. Mereka menyokong pasukan penentang semasa penjajahan Jepun sehinggalah mereka ditangkap pada tahun 1943. 

Pasangan ini memberikan bekalan ubat-ubatan, perkhidmatan perubatan, dan berkongsi maklumat serta rahsia semasa yang diperolehi daripada Radio BBC. Ianya dibuat menerusi siaran radio gelombang pendek dengan kod 'Josephine' tanpa diketahui pihak Jepun. Beliau membantu gerila anti-Jepun dan membantu tentera bersekutu dalam pertempuran Perang Dunia Kedua. 

foto sybil kathigasu 647

Sejarah awal dan keluarga

Sybil Medan Daly dilahirkan pada 3 September 1899 di Medan, Sumatera, Indonesia. Bapanya, Joseph Daly merupakan seorang peladang berketurunan Irish-Serani/Eurasia, sementara ibunya pula, Beatrice Matilda Daly nee Martin, seorang bidan berketurunan Perancis-Serani/Eurasia. Nama tengah beliau mencerminkan bandar kelahirannya, Medan. 

Sybil membesar di Tanah Melayu. Beliau merupakan anak kelima dan satu-satunya anak perempuan. Pada umur 21 tahun, Sybil mendapat latihan sebagai jururawat dan bidan di Singapura. Tanggal 7 Januari 1919, beliau kemudiannya berkahwin dengan Dr. Abdon Clement Kathigasu, seorang doktor berketurunan India Malaysia dari suku bangsa Tamil Ceylon (kini suku Tamil Sri Lanka) di Gereja St John, Bukit Nanas, Kuala Lumpur. Mereka mempunyai tiga orang anak iaitu Michael Kathigasu, Olga Kathigasu, Dawn Kathigasu dan seorang anak angkat bernama William Pillay. 

Suami Sybil Kathigasu adalah Dr. Arumugam Kanapathi Pillay, seorang berbangsa Tamil Sri Lanka. Beliau dilahirkan pada 17 Jun 1892 di Taiping, Perak serta merupakan anak kepada pasangan Kanapathi Pillay dan Thangam. Beliau mengahwini Sybil di Gereja St. John di Bukit Nanas, Kuala Lumpur. Pada mulanya, ibu bapa Sybil tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut kerana Arumugam beragama Hindu, sementara Sybil pula beragama Katolik. Akhirnya, bapa pihak lelaki memberi keizinan supaya perkahwinan tersebut dijalankan selepas beliau menukar namanya dari Arumugam Pillay ke Abdon Clement Kathigasu. 

pingat george sybil kathigasu 231

Dendam Jepun terhadap bangsa Cina

Beliau dan suaminya menguruskan sebuah klinik di Jalan Brewster (kini Jalan Sultan Idris Shah) di Ipoh, Perak selama 15 tahun, iaitu dari tahun 1926 sehinggalah penjajahan Jepun ke atas Malaya. Sybil seorang vegetarian dan fasih bertutur bahasa Kantonis. Sewaktu penjajahan Tanah Melayu oleh Jepun pada tahun 1942, mereka bersembunyi dan berpindah ke Pekan Papan, Perak, sekitar 20 kilometer di barat bandar Ipoh. Majoriti penduduk bandar ini ialah masyarakat Cina yang terdiri daripada golongan pelombong dan peniaga. 

Penguasaan Sybil dalam bahasa Kantonis melancarkan komunikasi antara beliau dengan pesakit yang tergolong daripada semua bangsa di Tanah Melayu terutamanya Cina, sepanjang perkhidmatan beliau di Papan, Ipoh. Namun, kelebihannya itu juga menjadi titik hitam dalam hidupnya setelah Jepun masuk ke tanah Melayu. 

Tentera Jepun memburu penduduk Cina dan membunuh mereka berikutan sejarah di China. Mereka dipaksa untuk membina jambatan dan 'landasan keretapi maut' di sempadan Thailand-Myanmar. Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) menetang keras terhadap kemaraan tentera Jepun di Sungai Siput, Tanjung Malim, Slim River, Papan, Pusing, Gopeng dan beberapa lokasi lain. 

rumah sybil kathigasu 68

Sambil memberikan bantuan perubatan, Sybil juga terlibat dalam menyebarkan maklumat kepada gerakan bawah tanah melalui rumah kedai dispensari Kathigasu di Pekan Papan, Perak. Ramai pesakit terdiri daripada tentera MPAJA yang cedera diantara 6000 pejuang gerila MPAJA menentang tentera Jepun. Sekolah St Michael telah dijadikan sebagai ibu pejabat polis tentera Jepun ketika itu. Dan di sekolah inilah juga ramai pemimpin Cina telah dipancung tanpa belas kasihan. 

Tembelang pecah dan diketahui pihak Jepun

Sebaik kegiatan mereka memberi bantuan kepala gerila anti-Jepun dapat dikesan oleh tentera Jepun, pasangan ini telah ditangkap dan diseksa. Pada awalnya, pihak Jepun tidak dapat menghidu kegiatan tersebut kerana Sybil bukan berbangsa Cina dan sekaligus dianggap tidak mampu berbahasa Cina.  Namun tembelang akhirnya pecah juga. Bagaimanapun, Sybil tidak membocorkan nama-nama gerila MPAJA.  

Semasa berada di dalam tahanan, penyeksaan demi penyeksaan dilakukan oleh tentera Jepun semata-mata untuk mendapatkan maklumat dari Sybil dan Dr Karthigasu kerana memberi bantuan kepada pejuang anti-Jepun ini. Namun Sybil dan Dr Karthigasu enggan mengakui apa-apa dan tidak memberikan sebarang maklumat  walaupun bakal dikenakan hukuman pancung. 

Ketika melalui proses penyeksaan, Sybil dan Dr Karthigasu langsung tidak diberikan makan dan minum. Mereka juga dipukul dengan besi panas, kuku mereka dicabut, jarum ditusuk di bawah kuku, serta banyak lagi hukuman ngeri yang lain. Jika dilihat dari mata kasar, tiada sesiapa yang sanggup untuk menanggung penderitaan seberat itu demi mengunci mulut dan berpegang teguh pada janji. 

Paling menyeksakan, Sybil turut dikenakan "ujian Wain Tokyo" di mana air akan dimasukkan melalui hidung Sybil dan penyeksa akan memijak-mijak perut untuk mengeluarkan air itu kembali dari tubuh beliau. 

jalan sybil kathigasu 80

Seksaan tanpa henti

Beliau dipukul, dibakar dan ditendang di tulang rahangnya untuk memaksa beliau menyerah kalah justeru menceritakan segala maklumat sulit. Beliau tidak dapat berjalan, kehilangan semua kuku jarinya, tengkoraknya retak, dan mengalami lumpuh pada sebahagian tubuh. Anak perempuannya, Dawn yang ketika itu berusia 5 tahun digantung di pokok dan diugut untuk dibakar hidup-hidup. 

Tidak cukup dengan itu, beliau kemudian disumbat ke dalam Penjara Batu Gajah pada tahun 1943 setelah Kempetai Jepun membocorkan maklumat berkaitan tugas beliau. Walaupun begitu, Sybil tidak pernah sesekali mendedahkan maklumat sulit mengenai gerakan anti-Jepun. Beliau menahan segala keperitan itu walaupun kesihatannya telah terjejas teruk akibat pelbagai seksaan yang dihadapinya sepanjang tempoh pemenjaraan.   

Akhirnya, Sybil menyerah kalah juga dengan seksaan Jepun tetapi dengan hanya berpura-pura mengatakan kononnya beliau tidak tahu langsung yang mereka bantu selama ini adalah anggota gerila anti-Jepun. Sybil menegaskan mereka memberikan bantuan kepada semua orang tanpa mengira bangsa. Atas kenyataan itu, Dr Karthigasu terus dikenakan hukuman gantung, manakala Sybil pula masih dipenjarakan. 

Sybil berjaya bertahan menempuhi era Perang Dunia Kedua yang berakhir pada Ogos 1945. Tidak lama selepas itu, Kapten David (dari tentera British) kembali ke Tanah Melayu dan mencari beliau kembali di Penjara Batu Gajah. Sybil dibebaskan dan dibawa semula ke Papan, Perak. Beliau kemudiannya diterbangkan segera ke England untuk menerima rawatan lanjut. 

Perginya seorang wirawati tanah air

Pada 4 Jun 1948, Sybil disahkan meninggal dunia ketika berumur 49 tahun di Hospital Lanark, Scotland akibat keracunan darah atau septisemia yang berpunca daripada sepakan but penyeksanya, Ekio Yoshimura, sehingga menyebabkan keretakan pada tulang rahangnya. Glasgow City Medical Center telah menjalankan bedah siasat terhadap mayat beliau dan mendapati organ dalamannya mengalami kerosakan teruk.

Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Lanark, Scotland. Pada tahun 1949, jenazah beliau dibawa semula ke Ipoh dan dikebumikan semula di tanah perkuburan Roman Katolik bersebelahan Gereja St. Michael yang bertentangan dengan Main Convent of the Holy Infant Jesus (kini SMK Convent) di Brewster Road (kini Jalan Sultan Idris Shah) di Ipoh. 

Sebelum meninggal dunia, Sybil telah menjalani pelbagai pembedahan untuk memulihkan kesihatannya tetapi gagal. Beliau juga berkesempatan menerima Pingat King George IV di Istana Buckingham pada Jun 1948. Sybil berusaha berjalan sendiri tanpa pertolongan dan menghadiri upacara dimana Raja George VI menganugerahkannya Pingat George, iaitu satu penghormatan terhadap sumbangan berani Kathigasu kepada pergerakan anti-penjajah.

Kerajaan British juga menjadikan beliau sebagai wanita tempatan tunggal yang menerima pingat tersebut. Malah, sebuah jalan utama di Fair Park, Ipoh iaitu Jalan Sybil Kathigasu mengabadikan nama beliau selepas kemerdekaan bagi memperingati jasa dan keberaniannya.

Sehingga kini, tiada wanita di Malaysia yang memberi perkhidmatan perubatan dan kesihatan seperti yang dilakukan oleh Sybil. Kini, rumah kedai di 74, Jalan Utama, Papan, telah dijadikan sebagai khazanah peringatan untuk Sybil yang terletak berhampiran Rumah Raja Bilah. 

buku sybil kathigasu no dram of mercy 183

Adaptasi Drama

Kisah hidup beliau telah diabadikan dalam siri drama "Suatu Ketika : Sybil Apa Dosaku?" berdasarkan buku tulisannya sendiri, "No Dram Of Mercy" yang diterbitkan pada tahun 1954. Drama siri dokumentari 10 episod ini telah ditayang di saluran Astro Citra pada tahun 2010. Watak Sybil dilakonkan oleh Elaine Daly, iaitu cucu saudara kepada Sybil Karthigasu sendiri. Drama ini diarahkan oleh Bernard Chauly dan menerima anugerah pada tahun 2010. 

Sesungguhnya, jasa Sybil tidak banyak diketahui oleh masyarakat zaman kini. Ternyata, Sybil merupakan salah seorang wirawati yang kurang dikenali, tidak setimpal dengan sumbangannya terhadap kebebasan Malaysia yang merupakan sebahagian penting dalam sejarah tempatan.

Rujukan & sumber imej:

1.    Wikipedia

2.    Marini Kamal: Marini Berbicara

3.    Domba2domba

4.    Nabilapandi: Biography of Sybil Kathigasu

5.    Hornbill Unleashed 




Hakcipta iluminasi.com (2017)