Menurut satu kajian yang dilakukan oleh kerajaan Singapura, jumlah warga berbangsa Melayu Singapura yang kini menetap secara menyewa di kawasan perumahan pangsapuri kos rendah meningkat daripada 4.9% kepada 10.9% dalam tempoh 10 tahun. Sistem pangsapuri kos rendah HDB yang dibangunkan dihadkan kepada golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai kediaman sendiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Hasil dapatan ini menunjukkan secara rasmi, 14,600 warga Singapura berbangsa Melayu kini hidup di dalam kadar pendapatan rendah. Ini bukanlah satu statistik yang patut dibanggakan masyarakat Singapura.
Kebanjiran pekerja asing menyempitkan punca pendapatan
Tinggal di dalam pangsapuri yang mempunyai satu atau dua bilik, kenaikan peratusan keluarga Melayu yang berpendapatan rendah ini amat membimbangkan. Data ini selari dengan statistik kajian ahli Association of Muslim Professional (AMP) yang mendapati berlaku kenaikan peratusan ahlinya yang menetap di pangsapuri kelolaan kerajaan dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, dalam perspektif lain, kenaikan itu berkemungkinan juga datang daripada bekalan tambahan pangsapuri HDB (Housing and Development Board), ekoran jumlah unit yang dibuka untuk sewaan meningkat daripada 42,000 kepada 53,000. Namun itu tetap tidak menjawab mengapa berlakunya pertambahan golongan Melayu Singapura hanya layak menduduki pangsapuri HDB sebagai penyewa dan bukan seorang pembeli.
Seorang penyelidik National University Singapore (NUS) Professor Lai Ah Eng, meletakkan tanggungjawab berlakunya ketidak seimbangan pendapatan di kalangan rakyat SIngapura kepada polisi kerajaan Singapura yang membawa masuk golongan pekerja luar.
Berikutan daripada lambakan pekerja luar yang masuk, ini secara tidak langsung menutup peluang pekerjaan kepada warga Singapura sendiri dan hasilnya, semakin ramai warga Singapura yang termasuk dalam golongan miskin, ekoran ketiadaan pekerjaan seperti tukang cuci dan sebagainya. Pada beliau, ini adalah penyebab terbesar mengapa semakin ramai golongan Melayu Singapura terhimpit dalam hidup mereka.
Jurang perbezaan pendapatan yang terlalu jauh
Berdasarkan laporan oleh Organisations for Economics Co-operation and Development (OECD), sehingga Februari 2017 - Singapura mempunyai jurang perbezaan ekonomi kedua paling besar antara semua negara anggota.
Dengan statistik tersebut, ini menunjukkan berlaku ketidak seimbangan agihan pendapatan di kalangan penduduk negara Singapura, membuatkan yang kaya makin kaya dan yang susah, semakin miskin. Dengan nilai GINI Singapura berada pada tahap 0.478, kerajaan Singapura dilihat terpaksa memperkenalkan beberapa langkah yang dilihat mirip dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia menerusi BR1M.
Pada 1 November 2017, seramai 1.37 orang warga Singapura daripada jumlah keseluruhan 5.78 juta orang, layak menerima bantuan kewangan berbentuk baucar ke atas jumlah GST yang dibayar, dengan peruntukan sebanyak SGD280 juta dikeluarkan.
Ini adalah satu penambahan kepada bayaran SGD300 yang dilakukan pada bulan Ogos tahun 2017, inisiatif kerajaan Singapura untuk mengurangkan beban kewangan orang ramai.
Berlakunya gejala rasisme didokong badan tertentu
Menurut Professor Lai Ah Eng, beliau tidak dapat menafikan wujudnya perasaan memandang rendah pada minoriti Melayu Singapura di kalangan rakyat Singapura sendiri. Pendekatan perkauman yang meletakkan pembahagian setiap bangsa sebagai satu kategori melalui label 'Chinese-Malay-Indian-Others' atau CMIO terus menyebabkan wujud jurang di kalangan kaum SIngapura.
Beliau mengkritik tindakan kerajaan Singapura yang menggunakan kaum sebagai satu bentuk identiti pengenalan diri dalam pelbagai bidang, menkategorikan kaum dalam bidang kajian pembangunan polisi kerajaan, perkongsian hasil, perlantikan pemimpin politik, penanda aras pendidikan dan beberapa bidang lain.
Pendapat beliau, apabila sesuatu pencapaian dalam bidang tertentu dikategorikan mengikut kaum, ini menyebabkan minda masyarakat akan terbahagi dan 'dikategorikan' sehingga menjadi punca wujud segregasi dalam masyarakat, sehingga ada yang memandang tinggi bangsa sendiri dan memandang rendah bangsa lain.
Yang kerap menjadi mangsa, menurut Prof. Lai Ah Eng adalah orang Melayu Singapura - kerana sebagai bangsa minoriti paling besar, warga Melayu Singapura kerap dilabelkan sebagai kelompok bermasalah.
Orang Melayu dikatakan kerap terlibat dalam isu ketagihan dadah, masalah yang kerap menimpa keluarga miskin dan serta dikatakan kurang disiplin diri. Stigma sama tidak pula timbul apabila warga SIngapura bercerita tentang bangsa Cina yang menjadi majoriti, sedangkan menurut beliau - bangsa Cina Singapura mempunyai masalah ketagihan judi dan pelacuran yang kronik. Jarang isu tersebut dijadikan label atau stereotaip etnik Cina di Singapura.
Perasaan 'bangga' menjadi bangsa majoriti di Singapura ini telah lama berakar umbi, sehingga membuatkan ada di kalangan warga Cina Singapura tidak mampu menyedari sendiri perbuatan memainkan stigma, sentimen sinis dan stereotaip tentang orang Melayu senegara mereka - adalah satu tindakan yang rasis dan meminggirkan bangsa lain. Pengenalan syarat keperluan berbahasa Mandarin dalam mencari pekerjaan juga dianggap sebagai sesuatu yang norma kerana sudah menjadi amalan biasa masyarakat sana, walaupun secara rasminya Singapura mengiktiraf beberapa bahasa sebagai bahasa rasmi.
Nasib pelajar Melayu - mundur dan terkebelakang
Sebagai kaum minoriti paling besar di Singapura, masa depan warga Melayu Singapura jika dilihat daripada segi statistik pendidikan agak membimbangkan.
Menurut Menteri Hal Ehwal Orang Melayu, Yaacob Ibrahim, kesedaran mengenai pentingnya pendidikan di kalangan orang Melayu sedang mengalami kenaikan namun kesedaran sahaja dilihat tidak mencukupi tanpa bantuan kerajaan mereka.
Kajian yang dijalankan oleh Yayasan Mendaki atau Council of Development of Singapore Malay Muslim Community; wujudnya perasaan malu di kalangan warga Melayu Singapura yang tidak mahu diketahui hidup dalam keadaan miskin. Mentaliti ini menyebabkan bantuan tidak sampai kepada mereka yang memerlukan. Atas perasaan malu itulah, ramai pelajar berbangsa Melayu di Singapura terlepas dana serta bantuan yang dapat membantu mereka menjadi lebih baik dalam pendidikan.
Kajian Singapore Ministry of Education (MOE) mendapati, pelajar Melayu merupakan golongan paling rendah peratusan berjaya melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi dalam bidang akademik dan juga bidang teknikal, walaupun mereka mewakili 13.4% jumlah populasi penduduk Singapura jika dibandingkan dengan masyarakat India yang hanya berjumlah 9.0%.
Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu paling rendah antara semua kaum. Bagi penguasaan matematik pula, hanya 60.2% pelajar Melayu berjaya mendapatkan gred A hingga C dalam ujian peringkat kebangsaan berbanding bangsa Cina (90.7%), India (80.3%) dan lain-lain (85.4%). Keputusan sama dapat dilihat dalam penguasaan subjek Sains di mana pelajar Melayu jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum utama lain.
Dalam peperiksaan peringkat O-Level pula, pelajar Melayu Singapura tetap berada dalam kedudukan paling belakang dalam jumlah pelajar yang lulus 5 mata pelajaran, hanya mampu mencatatkan 64.8% tahap kelulusan berbanding bangsa India yang mencatatkan 78.4%, Cina 86.7% dan lain-lain iaitu 79.9%.
Harus diingatkan, rakyat Melayu Singapura adalah golongan minoriti terbesar di negara itu.
Mencorakkan masa depan Melayu
Sehingga kini tidak dapat dikenalpasti mengapa masyarakat Melayu di Singapura secara statistiknya jauh ketinggalan berbanding masyarakat Cina dan India yang menetap di sana.
Apa yang jelas, jurang ekonomi di antara masyarakat Singapura semakin meningkat sehingga membuatkan masyarakat Melayu Singapura terus memencilkan diri mereka, yang ketika ini sudah berada dalam keadaan tersepit.
Keperluan untuk memberi kesedaran pada masyarakat Melayu Singapura tentang kepentingan pendidikan adalah satu proses jangka masa panjang, yang memerlukan masa bertahun-tahun tanpa jaminan perubahan akan benar-benar berlaku.
Persoalan yang belum mampu dijawab setakat ini - mengapa situasi itu berlaku pada minoriti Melayu di Singapura sehinggakan dalam bidang pendidikan, golongan Melayu berada dalam kedudukan paling akhir?
Jika dilihat kembali ke belakang, perbezaan pendapatan di antara masyarakat Melayu Singapura dan purata negara tersebut berada pada tahap seimbang pada era 1970-an sebelum berlaku lonjakan, apabila masyarakat bukan Melayu di Singapura secara amnya mendapat pendidikan yang lebih tinggi dan kemahiran lebih baik pada tahun 90-an, meninggalkan warga Melayu Singapura.
Kemasukan pekerja asing berkemahiran tinggi dan rendah memburukkan lagi keadaan, dengan jurang pendapatan antara bangsa Melayu dan bangsa lain menjadi lebih besar. Sehingga kini tidak ada jawapan konkrit dapat diberikan mengapa orang Melayu Singapura semakin lama semakin ketinggalan.
Bagi mereka yang percaya dengan sistem meritokrasi SIngapura - jawapannya mudah; orang Melayu Singapura tidak dapat bersaing dalam persekitaran yang terbuka secara am. Namun kita semua tahu jawapan kepada isu itu bukanlah seringkas dan sesingkat itu.
Hanya kajian yang lebih menyeluruh dapat menjawab mengapa nasib orang Melayu di Singapura tidak sekata dengan masyarakat sana.