Pendidikan sejarah di negara kita masih boleh dilihat mempunyai banyak lompong-lompong kosong yang boleh diisi, kerana apabila dikaji dan dikaji dengan lebih mendalam lagi - wujud terlalu banyak fakta sejarah negara kita yang tidak dapat diceritakan secara terperinci dalam buku teks matapelajaran sejarah negara kita.
Salah satu topik yang kerap kali dibangkitkan serta mampu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat kita, adalah sejarah migrasi kedatangan kaum India dan Cina ke Tanah Melayu yang mengubah pola masyarakat dan sistem sosial yang ada sebelum migrasi berlaku.
BESARKAN TEKS A- A+
Persoalan yang sering ditanya tetapi cukup takut untuk dibincangkan secara terbuka adalah berkenaan kemasukan kaum Cina ke Tanah Melayu - mengapa perkara ini berlaku dan apakah faktor yang menyebabkan jutaan warga China melarikan diri ke sini? Mari kita rungkaikan serba sedikit.
Rekod kedatangan orang Cina sejak abad ke 15
Migrasi besar-besaran masyarakat Cina ke Tanah Melayu berlaku sekitar abad ke 19. Walau bagaimanapun, ada direkodkan antara kedatangan orang Cina terawal ke Tanah Melayu sudah pun berlaku lebih awal pada abad ke 15 dengan kedatangan Laksamana Cheng Ho yang cukup terkenal namanya.
Berikutan mahu mewujudkan hubungan ekonomi yang lebih akrab dengan Kesultanan Melayu Melaka pada zaman tersebut, Maharaja China ketika itu mengahwinkan puteri beliau Puteri Hang Li Poh seterusnya memulakan kewujudan komuniti orang Baba dan Nyonya yang ada, di mana masyarakat Cina berasimilasi mengamalkan corak kehidupan orang Melayu.
Walaupun begitu, hubungan rapat dua kerajaan itu tetap tidak mewujudkan jumlah komuniti masyarakat Cina yang besar jumlahnya. Situasi ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku pada abad ke 19 apabila kumpulan-kumpulan besar orang Cina tiba di Pulau Pinang atau Singapura, sehingga menyebabkan jumlah mereka naik berkali ganda.
Dalam rekod individu Cina di Pulau Pinang pada tahun 1812, dilaporkan hanya berjumlah 7,500 orang namun angka itu naik kepada 36,000 orang pada tahun 1860. 30 tahun kemudian pada tahun 1891, sensus masyarakat ketika itu mencatatkan wujud 86,000 orang Cina di Pulau Pinang hampir menyamai masyarakat Melayu seramai 92,000 orang.
Jumlah orang Cina di negeri-negeri selat termasuklah Singapura meningkat dua kali ganda dalam tempoh 20 tahun dari tempoh 1871 hingga 1891. Ini sekaligus menunjukkan wujud situasi yang dilihat menggalakkan orang Cina berpindah ke Tanah Melayu, khasnya mereka yang tinggal di Selatan China dari daerah Guangzhou, Fujian, Foochow dan Guangdong.
Persoalannya di sini - mengapa?
Pengaruh British menggalakkan migrasi ke Tanah Melayu
Selepas perjanjian British dengan Belanda membahagikan jajahan mereka di Asia Tenggara, British berjaya menguasai dua pelabuhan penting dunia ketika itu, iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Selain itu, revolusi industri yang berlaku di England memerlukan pengumpulan sumber-sumber serta bahan mentah yang diperlukan bagi menjayakan rancangan mereka mengubah sistem ekonomi di Britain.
Ekonomi di China pula ketika itu berada dalam keadaan sangat tidak stabil. Jumlah populasi yang meningkat mendadak daripada 300 juta pada awal abad ke 19 ke 400 juta pada tahun 1850 menyebabkan aktiviti pertanian perlu dilakukan dengan banyak. Bagaimanapun, usaha membuka ladang kerap menyebabkan kawasan bukit mula diratakan sehingga menyebabkan berlakunya banjir besar di banyak kawasan di China.
Bagi melemahkan ekonomi masyarakat China ketika itu, orang Eropah menggunakan satu taktik yang sangat licik. Berikutan larangan bahan candu di China yang bermula sejak abad ke 18, orang British mula mengeksport lebih banyak candu melalui pelabuhan di Selatan China secara haram, sehingga menyebabkan jumlah candu yang ada terlalu banyak dan pemerintah China hilang kawalan.
Ekonomi China yang pada awalnya kukuh, mula berdepan defisit selepas candu menguasai masyarakat mereka ekoran permintaan yang tinggi, menyebabkan wang perak yang digunakan di China mula mengalir keluar ke negara Eropah. Kesan daripada pengaliran keluar perak dalam usaha mengimport candu masuk ke China, ekonomi China mula mengalami penyusutan ketara sehingga menyebabkan pengangguran di kalangan rakyat mereka berlaku.
Pengangguran menyebabkan terlalu ramai warga selatan China hidup dalam keadaan susah, terpaksa menyara hidup menjual hasil pertanian mereka pada harga yang rendah sambil mencari jalan mendanai ketagihan candu mereka.
Usaha kerajaan China menghentikan ketagihan candu di kalangan masyarakat mereka berdepan kegagalan. Selepas pemerintah China merampas kotak-kotak candu daripada kapal milik orang Eropah, tindakan itu dilihat sebagai satu bentuk pengisytiharan peperangan. Berdepan dengan kuasa Eropah yang mempunyai kemampuan senjata api lebih baik, pemerintah China memilih jalan diplomasi.
Perjanjian Nanjing dimeterai pada tahun 1842 yang memberikan British kuasa kepada Hong Kong seterusnya membenarkan pedagang barat masuk ke lima pelabuhan di daerah-daerah selatan China. Ini adalah langkah terpenting yang membuka migrasi orang Cina ke Tanah Melayu.
Didesak tekanan ekonomi
Masyarakat selatan China mula mencari sumber pendapatan lain bagi menyara keluarga mereka. Berikutan pemberontakan Taiping yang berlaku pada tahun 1840 mengorbankan lebih 20 juta orang tempatan, semakin ramai orang Cina mencari jalan keluar dari negara sendiri didesak oleh tekanan ekonomi dan juga politik.
British mula membuka pejabat-pejabat pengambilan pekerja di lima pelabuhan yang kini semakin dikuasai mereka, dengan peluang pekerjaan di negara luar ditawarkan beserta gaji yang baik. Pengambilan pekerja Cina ini juga didorong oleh pemansuhan undang-undang perhambaan di benua Afrika, menyebabkan kuasa-kuasa Eropah mula mencari sumber lain bagi memenuhi kekosongan tenaga buruh.
Melihat peluang menjadi pekerja di lombong timah yang dibuka British dengan kerjasama Raja-Raja Melayu, pekerja-pekerja dari China ini mula datang ke Tanah Melayu untuk menjadi pelombong. Habuan yang bagus dijanjikan kepada mereka sebagai insentif dan peluang bekerja dengan syarikat perlombongan milik orang Cina di Tanah Melayu dilihat sebagai jaminan masa depan yang lebih baik, berbanding di tanah sendiri.
Kebanyakan pekerja Cina dibawa ke Tanah Melayu dengan cara hutang. Majikan yang menggajikan mereka akan membayar dahulu kos pengangkutan bagi membawa mereka jadi ramai pekerja sanggup datang, kerana mereka tahu mereka tidak mampu mengeluarkan belanja sendiri untuk pergi bekerja.
Rancangannya, kos yang ditanggung majikan itu perlu dibayar semasa mereka bekerja dan selepas mula mendapat untung, pekerja-pekerja Cina ini akan pulang kembali ke China memulakan hidup baharu, selepas kontrak perjanjian mereka dengan majikan berjaya ditebus.
Walau bagaimanapun, ramai melihat Tanah Melayu mampu memberikan mereka kehidupan yang lebih baik berbanding di China, jadi dianggarkan hanya separuh daripada jumlah yang dibawa masuk British pulang.
Selebihnya terus menetap di Tanah Melayu sebagai warganegara Britain, sebelum diberikan status kewarganegaraan Malaya/Malaysia selepas negara kita memperolehi kemerdekaannya.