Pada masa kini, terdapat banyak individu yang terdesak untuk mendapatkan duit melalui pelbagai teknik kotor antaranya melakukan rompakan, menyamun dan sebagainya. Namun, ada juga manusia yang licik dengan memperkenalkan program pelaburan dengan niat untuk menipu para pelabur.

Program sebegini juga dikenali dengan nama nama "skim ponzi" yang kebiasaannya menawarkan pulangan pada kadar yang tidak masuk akal kepada para pelabur sehingga mereka rambang mata. Setelah menerima wang daripada para pelabur, pelbagai tipu helah yang digunakan untuk memberikan kadar keuntungan yang sudah dijanjikan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pengakhiran kepada kes-kes seperti ini kebiasaannya pemilik skim ini akan menghilangkan diri dan para pelabur terpaksa menangisi kerugian berpuluh hingga berjuta ringgit. Program skim ponzi ini sebenarnya sudah banyak wujud di Malaysia. Apabila sesuatu skim penipuan itu dibongkarkan, akan wujud pula skim lain dengan modus operandi yang seakan-akan sama.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi pula tentang Bernie Madoff, iaitu individu yang pernah menipu orang ramai dengan Skim Ponzinya. Menurut rekod, jumlah kerugian yang dicatatkan oleh mangsanya adalah yang paling banyak dalam sejarah.

Seorang pakar pemerdagangan saham

bernie madoff

Dalam sejarah, satu skim ponzi pernah mencatatkan kerugian terbanyak sebanyak $65 bilion. Skim ini diperkenalkan oleh seorang individu yang bernama Bernie Madoff. Ketika artikel ini ditulis, Bernie Madoff masih lagi hidup dan berumur 81 tahun.

Lahir pada April 1938, Bernie Madoff merupakan seorang warganegara Amerika Syarikat dan lahir di Queens, New York. Keluarganya pula mempunyai pertalian darah campuran daripada Polish, Austria dan Romania. Bernie Madoff merupakan lepasan Hofstra University, Long Island.

Dia kemudiannya menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang tetapi tidak berjaya menamatkan pengajian. Berbekalkan duit $5000 yang diperolehi daripada kerjaya separuh masanya sebagai penyelamat kolam renang (lifeguard) dan pinjaman $50,000, dia telah menubuhkan sebuah firma pelaburan yang dikenali sebagai Bernard L. Madoff Investment Securities, LLC.

bernard l madoff investment securities

Daripada luar, tiada apa yang mencurigakan mengenai syarikat ini. Syarikat ini berperanan sebagai pembuat pasaran (market maker). Dalam bahasa mudahnya, syarikat ini akan membeli saham ketika mana ramai pelabur lain menjual saham dan akan menjual saham ketika mana ramai pelabur lain membeli.

Tindakan ini meningkatkan jumlah transaksi dan menjadikan pasaran lebih aktif. Jadi, bagaimanakah syarikat ini membuat keuntungan? Mereka akan mengenakan caj ekstra bagi setiap saham yang dijual. Dalam istilah kewangan, perkara ini dikenali sebagai Bid-Ask Spread (klik untuk baca penjelasan daripada laman web Investopedia).

Dalam dunia saham, Bernie Madoff merupakan seorang individu yang dihormati dan cekap menguruskan aset klien-kliennya. Antara kliennya adalah individu-individu ternama seperti Steven Spielberg dan Kevin Bacon. Malah, dia juga merupakan individu yang membantu penubuhan National Association of Securities Dealers Automated Quotations (NASDAQ) dan pernah menajadi Pengerusinya.

Secara peribadinya juga, dia juga dilihat sebagai individu yang baik dan banyak memberi bantuan bagi program kemanusiaan dan membantu ramai ahli politik. Oleh itu, bagaimanakah individu ini boleh terlibat dengan Skim Ponzi ini?

Keraguan terhadap kekayaannya

harry markopolos

Harry Markopolos

Bernie Madoff pertama kali disiasat pada tahun 1992. Namun hanyalah sehingga tahun 2000-an apabila siasatan lanjut daripada beberapa firma swasta menunjukkan terdapat sesuatu yang mencurigakan mengenai kekayaannya. Ramai penyiasat mendapati jumlah kekayaannya adalah tidak masuk akal.

Malah, selama bertahun lamanya seorang pakar analisis kewangan, Harry Markopolos telah banyak kali mendedahkan kepada orang ramai mengenai kekayaan Bernie Madoff yang tidak masuk akal. Paling mendukacitakan, pihak Securities and Exchange Commision banyak kali mengabaikan pendedahan mengenai salah laku Bernie Madoff.

Sebenarnya, bukan sahaja Harry Markopolos yang mencurigai Bernie Madoff tetapi ramai lagi individu yang turut mencurigai pendapatannya sehinggakan mereka menolak untuk melakukan sebarang urus niaga dengannya.

Skim Ponzi terbesar dalam sejarah

ponzi scheme madoff

Bagaimanakah Bernie Madoff mampu memperoleh kekayaan yang tidak masuk akal ini? Apa yang dilakukannya adalah memperkenalkan sebuah syarikat pelaburan dengan konsep Skim Ponzi.

Dalam bahasa mudah, Skim Ponzi merupakan sebuah skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang sangat lumayan. Nama skim ini diberi sempena nama Charles Ponzi, individu yang menjanjikan pulangan keuntungan 50% dalam tempoh 90 hari. Bagi kebanyakan orang, ianya sangat lumayan tetapi ramai yang tidak tahu bahawa realitinya ia tidak logik sama sekali.

Bagaimanakah skim ini mampu menarik ramai orang atau mangsa untuk menyertainya? Kebiasaannya, mana-mana Skim Ponzi akan membayar keuntungan tersebut kepada beberapa orang terawal yang menyertainya. Kemudian, mereka yang mendapat keuntungan ini kebiasaannya akan menceritakan pula mengenai skim ini kepada orang sekeliling.

Secara tidak langsung, promosi dari mulut ke mulut ini akan menarik lebih ramai individu untuk turut sama menyertai skim ini. Bagi menutup mulut pelabur-pelabur lama dan memastikan mereka tidak mengeluarkan wang pelaburan mereka, mereka akan diberikan sedikit wang yang didakwa sebagai keuntungan yang diperolehi syarikat walhal sebenarnya ia adalah wang yang dibayar oleh para pelabur baru.

Antara penipuan lain yang dibuat oleh syarikat Bernie Madoff adalah mengubah laporan-laporan kewangan palsu untuk memberi gambaran baik mengenai prestasi syarikatnya. Daripada Skim Ponzi ini, dia dikatakan telah mendapat $65 bilion daripada duit yang dilaburkan oleh mangsa-mangsanya.

Jumlah wang yang dikautnya melalui program scammnya ini menjadikan ianya sebagai yang terbanyak dalam sejarah.

Dikenakan hukuman penjara 150 tahun

keluarga bernie madoff

Bernie Madoff bersama 2 orang anaknya

Seperti mana-mana Skim Ponzi, ianya tidak dapat bertahan lama apabila para pelabur mula naik marah apabila mereka tidak mendapat bayaran keuntungan seperti yang dijanjikan. Lama-kelamaan, mereka sedar telah ditipu dan sepakat untuk mendapatkan kembali wang yang telah dilaburkan.

Andrew dan Mark, iaitu dua orang anak lelaki Bernie Madoff telah menemui bapa mereka untuk mendapatkan penjelasan sebenar mengenai kekayaan luar biasa yang diperolehi bapa mereka. Tanpa berselindung, Bernie Madoff memberitahu bahawa dia sebenarnya melakukan penipuan Skim Ponzi.

Kedua-dua anaknya ini sama sekali tidak mengetahui bahawa program yang dijalankan itu adalah scam. Sebaliknya, Peter iaitu adik Bernie Madoff telah turut sama terlibat secara langsung dengan abangnya melakukan penipuan ini. Kerana kecewa, Mark telah membunuh diri sementara Andrew pula meninggal dunia tidak lama kemudian kerana limfoma.

Malangnya, hampir kesemua pelabur yang telah ditipu tidak memperoleh wang mereka kembali. Kerajaan Amerika Syarikat walau bagaimanapun pada tahun 2017 telah berjanji untuk memberikan $772.5 juta yang akan dibahagikan kepada 24,000 mangsa yang telah ditipu.

Bernie Madoff telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan menipu pelaburan pada 11 Disember 2008. Mahkamah telah menetapkan bayaran jaminan sebanyak $10 juta kepadanya dan dia mampu membayarnya. Dia telah dikenakan tahanan di rumahnya selama beberapa bulan sebelum pihak mahkamah mengambil keputusan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepadanya.

Pada tahun 2009, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 150 kepadanya yang pada ketika itu sudah berusia 71 tahun. Sekiranya dia berkelakuan baik, dia akan dilepaskan pada tahun 2139 pada usia 201. Mungkin kita boleh mengandaikan dia akan hidup sehingga akhir hayatnya dipenjara itu.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Business Insider



Hakcipta iluminasi.com (2017)