Apabila memperkatakan tentang kereta api laju, kita pastinya terbayangkan Shinkansen, iaitu kereta api terlaju di dunia yang ada di Jepun. Berapa kelajuan yang mampu dicapai oleh Shinkansen? Secara purata kereta api laju ini bergerak pada kelajuan 320 km/j.

Walaupun teknologi Shinkansen sudah cukup laju, itu tidak bermakna evolusi sistem pengangkutan terhenti setakat itu sahaja. Beberapa tahun lepas, timbul idea untuk mewujudkan sistem pengangkutan baru yang dikenali sebagai Hyperloop.

Pengangkutan masa depan - Konsep Hyperloop

BESARKAN TEKS     A-  A+

Konsep Hyperloop diumumkan secara rasminya oleh Elon Musk pada tahun 2012 dimana beliau mendapat inspirasi daripada konsep vactrain yang dibangunkan oleh Robert Goddard. Kemudian, sekumpulan saintis dan jurutera daripada SpaceX dan Tesla telah bekerjasama membangunkan konsep awal Hyperloop ini.

Kedua-dua syarikat ini adalah syarikat milik Elon Musk dimana Tesla memfokuskan mengenai penghasilan kereta elektrik dan teknologi kereta pandu sendiri sementara SpaceX pula memfokuskan tentang teknologi eksplorasi angkasa lepas. Konsep awal dan rekabentuk Hyperloop ini ada dimuatkan dalam blog syarikat ini untuk bacaan umum.

Sekali tengok, rekabentuk Hyperloop ini seakan-akan kereta api biasa. Walaupun seakan-akan sama, ianya menggunakan konsep berlainan daripada kereta api. Dalam sistem Hyperloop, penumpang akan berada dalam gerabak yang dipanggil sebagai pod. Pod ini akan bergerak dalam laluan khas yang dibina daripada tiub tertutup.

konsep hyperloop

Pergerakan pod dalam tiub tertutup ini akan dikuasakan oleh tarikan magnet dan tekanan udara. Keadaan ini membolehkan ianya bergerak tanpa sebarang geseran dan pod dikatakan mampu bergerak sepantas kelajuan bunyi. Menurut Elon Musk, sistem Hyperloop yang dibinanya akan lebih cekap tenaga, senyap dan lebih pantas daripada mana-mana mod sistem pengangkutan sedia ada.

Menariknya, Elon Musk telah meletakkan rekaan konsep Hyperloop ini sebagai sumber terbuka. Ini bermakna, mana-mana pihak boleh mengguna pakai konsep ini untuk membina sistem Hyperloop versi mereka sendiri. Tindakannya ini harus dipuji memandangkan banyak aspek dalam konsep Hyperloop ini boleh dikaji dan dipertingkatkan.

Bagi menggalakkan lebih ramai pengkaji turut sama membangunkan konsep Hyperloop ini, syarikat SpaceX juga telah membina sebuah trek sepanjang 1.6km yang digunakan untuk pertandingan yang dianjurkan. Tahun 2018 menyaksikan edisi ketiga pertandingan ini diadakan dan disertai oleh berpuluh kumpulan pengkaji daripada pelbagai universiti seluruh negara.

Kritikan terhadap teknologi dan konsep Hyperloop

hyperloop one

Mana-mana konsep atau teknologi baru yang diperkenalkan pastinya mendapat kritikan pihak luar kerana pelbagai persepsi atau andaian dan konsep Hyperloop ini juga tidak terkecuali. Terdapat pihak yang mengatakan bahawa penumpang yang menaiki Hyperloop mungkin tidak berada dalam keadaan selasa memandangkan pod yang membawa mereka adalah sempit, tertutup dan tidak mempunyai tingkap.

Terdapat juga pihak yang mendakwa penumpang yang berada dalam pod akan merasa tekanan kuat dan bunyi bising akibat pergerakan pod yang terlalu laju. Walau bagaimanapun, dakwaan ini disangkal oleh syarikat Virgin Hyperloop One dimana mereka mengatakan penumpang yang berada dalam pod akan merasai pengalaman yang sama sepertimana ketika mereka menaiki kapal terbang.

Seterusnya, terdapat juga pihak yang menyatakan kebimbangan mengenai kos pembinaan Hyperloop dan caj yang bakal dikenakan kepada penumpang. Elon Musk mengatakan bahawa beliau mempunyai perancangan untuk membangunkan laluan daripada Los Angeles ke Francisco pada kadar $20 sahaja.

Bagi syarikat Virgin Hyperloop One pula, buat masa ini mereka tidak menyatakan kebarangkalian harga tiket yang bakal dikenakan tetapi mengatakan ianya adalah mampu milik. Terdapat pelbagai faktor yang akan mempengaruhi harga tiket kelak antaranya jarak perjalanan, kos membangunkan sistem dan kadar keuntungan syarikat.

Masa depan konsep Hyperloop

hyperloop bawah laut

Masa depan Hyperloop nampaknya cerah apabila banyak syarikat mula turut sama membangunkan teknologi ini. Antara syarikat ini adalah Virgin Hyperloop One, Hyperloop Transportation Technologies, Transpod, DGWHyperloop dan banyak lagi. Buat masa ini, syarikat-syarikat ini banyak memfokuskan kepada pembangunan teknologi ini bagi memastikan ianya lebih efisyen dan dapat dioperasikan pada harga yang rendah.

Selain itu, kebanyakan syarikat ini juga sedang mengkaji tentang kemungkinan laluan-laluan trek Hyperloop ini di sekitar Amerika Syarikat dan Eropah. Dijangkakan menjelang 2021, kita akan dapat melihat teknologi ini menjadi realiti.

Kredit:

WikiPedia

Hyperloop One

Business Insider




Hakcipta iluminasi.com (2017)