Nama Elon Musk merupakan seorang individu yang tidak diperkenalkan lagi dalam dunia sains dan teknologi. Sebelum Tesla, beliau sudahpun mencipta kejayaan bersama Paypal, sistem pembayaran dalam talian yang menyokong pemindahan wang dalam talian dan berfungsi sebagai alternatif elektronik untuk kaedah tradisional seperti cek dan pesanan wang.
Bersama Tesla, namanya terus melonjak naik sehinggakan ramai yang menyangka Tesla diasaskannya walhal sebenarnya syarikat tersebut sudah lama ditubuhkan sebelum beliau memegang jawatan CEO syarikat tersebut. Kisah ini pernah kami tulis dalam artikel Kisah 2 Pengasas Syarikat Tesla dahulu.
BESARKAN TEKS A- A+
Tidak cukup dengan Tesla, Elon Musk juga muncul dengan idea-idea yang ada kalanya dianggap pemikiran di luar kotak. Dengan Tesla dan projek-projek yang dicetuskan olehnya membolehkan beliau menjadi salah seorang terkaya di dunia.
Kali ini, kami ingin kongsikan 7 daripada idea tersebut yang dianggap salah satu idea menarik dan telah mencetuskan anjakan paradigma dalam dunia sains dan teknologi.
1. Starlink
Starlink merupakan projek di bawah syarikat SpaceX, syarikat yang memfokuskan kepada eksplorasi angkasa lepas. Secara ringkasnya, ia adalah rangkaian setelit yang akan menyediakan akses internet ke seluruh dunia melalui ribuan satelit yang diletakkan di orbit rendah Bumi (low Earth orbit - LEO).
Starlink ingin menjual akses internet terutamanya kepada orang-orang di kawasan luar bandar dan bahagian lain di dunia yang belum mempunyai akses ke jalur lebar berkelajuan tinggi. SpaceX juga ingin menjual beberapa satelit ini untuk tujuan ketenteraan, saintifik, atau penerokaan.
Pembangunan produk ini sudah bermula pada tahun 2015. Dua satelit prototaip telah dilancarkan pada Februari 2018. SpaceX menyasarkan untuk meletakkan sehingga 1584 satelit dan menyediakan perkhidmatan kepada pengguna global pada akhir 2021 atau 2022.
2. Hyperloop
Hyperloop adalah sistem konseptual yang membolehkan kita melakukan perjalanan dengan kelajuan tinggi sekitar 9656 km/jam dan maksimum 12231 km/jam. Dari luar, ianya seperti kereta api tetapi penumpang akan bergerak dalam sebuah tiub bertekanan rendah.
Laluan awal yang dicadangkan untuk Hyperloop adalah perjalanan sejauh 563 km dari San Francisco ke Los Angeles, perjalanan yang dianggarkan akan mengambil masa hanya 35 minit berbanding perjalanan sekarang yang mengambil masa sekitar 6 jam.
Tidak seperti kereta api, pod pengangkutan ini dicipta untuk terapung di di laluan yang dibina, seterusnya membolehkannya bergerak dengan sangat laju kerana tiada geseran. Teknologi Hyperloop masih dalam pembangunan walaupun konsep asasnya telah wujud selama bertahun-tahun.
3. Neuralink
Neuralink Corporation adalah sebuah syarikat neuroteknologi yang membangunkan antaramuka untuk menghubungkan otak dengan teknologi. Syarikat ini dilancarkan pada tahun 2016 oleh Elon Musk dan sekumpulan pakar dalam bidang neurosains, biokimia dan robotik.
Sejak ditubuhkan, syarikat ini telah mengambil beberapa ahli sains saraf berprofil tinggi dari pelbagai universiti. Menjelang bulan Julai 2019, ia telah menerima pembiayaan $158 juta (yang mana $100 juta berasal dari Elon Musk) dan memiliki 90 orang kakitangan.
Pada bulan April 2017, Neuralink mengumumkan bahawa mereka merancang untuk mencipta alat untuk merawat penyakit otak yang serius dalam jangka pendek dan untuk jangka panjang mampu meningkatkan daya otak manusia, sesuatu yang digelar transhumanisme.
4. Roket guna semula
Ini merupakan sebuah lagi projek hebat dibawah SpaceX. Program penciptaan sistem pelancaran SpaceX yang dapat digunakan semula adalah program yang dibiayai secara peribadi untuk membangunkan sekumpulan teknologi baru untuk sistem pelancaran orbit yang dapat digunakan berulang kali dengan cara yang serupa dengan penggunaan semula pesawat.
Program ini diumumkan secara terbuka pada tahun 2011. SpaceX pertama kali berjaya mencapai pendaratan dan pemulihan tahap pertama pada bulan Disember 2015. Penerbangan semula tahap pertama yang berjaya mendarat kembali berlaku pada bulan Mac 2017 dan yang kedua berlaku pada bulan Jun 2017, hanya 5 bulan selepas itu.
Sehingga 2020, SpaceX secara aktif mengembangkan sistem Starship, dengan tujuan untuk menjadikannya kenderaan pelancaran dua tahap yang dapat digunakan semula dan bertujuan untuk menggantikan semua kenderaan pelancaran dan kapal angkasa yang ada yang digunakan untuk penghantaran satelit dan pengangkutan manusia.
5. Percutian ke angkasa lepas
Melancong ke angkasa lepas? Kedengaran menarik bukan? Tapi sudah pasti hanya yang benar-benar berani dan mempunyai wang yang banyak sahaja berpeluang. Namun, idea ini nampaknya semakin menjadi realiti. Secara keseluruhan, penumpang akan menghabiskan masa selama lapan hari di ISS dan dua hari perjalanan ke dan dari sana.
Perjalanan sepuluh hari ini akan menyaksikan pelancong persendirian dibawa ke makmal sains yang mengorbit untuk menghabiskan masa dengan angkasawan di stesyen antarabangsa dan merasai sendiri pengalaman hidup di tempat sifar graviti.
Tujuh pelancong pernah berkunjung ke stesen ISS sebelum ini tetapi misi SpaceX ini menandakan perjalanan pertama sepenuhnya secara persendirian ke ISS. Perjalanan ini akan menjadi yang pertama ke ISS yang sepenuhnya dikendalikan oleh Axiom Space, sebuah entiti komersial.
6. Eksplorasi ke Marikh
Antara idea tergila Musk adalah ekplorasi ke plane Marikh. Bukan setakat menghantar manusia ke sana, malah beliau bercita-cita mahu membina penempatan manusia di planet merah ini. Mengapakah planet Marik menjadi pilihannnya?
Menurut info dari laman sesawang SpaceX, pada jarak rata-rata 140 juta batu, Marikh adalah salah satu jiran terdekat yang dapat dihuni di Bumi. Marikh terletak kira-kira separuh lagi jauh dari Matahari dengan Bumi, jadi ia masih menerima cahaya matahari. Cuacanya agak sejuk, tetapi mereka merancang boleh memanaskannya.
Atmosferanya terdiri daripada gas karbon dioksida dengan nitrogen dan argon dan beberapa unsur lain yang bermaksud bahawa kita dapat menanam tumbuhan di Marikh hanya dengan memampatkan atmosferanya. Graviti di Marikh adalah sekitar 38% dari bumi dan jumlah harinya cuma terdapat sedikit perbezaan dengan Bumi.
7. SolarCity
SolarCity, anak syarikat Tesla mempunyai cita-cita untuk menggoncang pasaran elektrik dan membantu peralihan dunia ke arah tenaga bersih. Dengan menggunakan panel solar dan unit simpanan Powerwall Tesla, Elon Musk ingin memastikan tenaga elektrik yang dijanakan sepenuhnya dari panel solar mencukupi untuk sesebuah rumah menjadi kenyataan.
Selepas pengambilalihan SolarCity pada tahun, semua produk dan perkhidmatannya dijual melalui laman web Tesla. Syarikat ini bekerjasama dengan Panasonic, mengeluarkan komponen modul solar di kilang giga Tesla di New York, sebuah kilang di Buffalo, New York.
Pada tahun 2008, SolarCity memasuki pasaran penyewaan solar dengan pilihan sewa panel baru untuk pemilik rumah. Pelanggan tidak perlu membayar panel tersebut sebaliknya perlu membayar selama 20 tahun untuk kuasa yang dihasilkan oleh panel-panel tersebut. Sistem ini membolehkan beberapa pemilik rumah membayar kurang setiap bulan daripada sebelumnya jika mereka membayar elektrik dari syarikat utiliti.
Kredit: