Pertumbuhan gigi, atau teething, merupakan satu peristiwa yang menyakitkan bagi seorang bayi namun ia amat penting dalam perkembangan mereka sepanjang tahun pertama kelahiran. 

Di sini kami ingin kongsikan satu panduan tipikal untuk membantu ibu bapa memantau pertumbuhan gigi anak masing-masing. Walau bagaimanapun, harus ditekankan di sini bahawa setiap anak mempunyai perkembangan yang berbeza, jadi jangan risau kalau anak anda tercepat sikit atau terlambat sikit ya?

ada bayi yang demam apabila nak tumbuh gigi geraham

Sebelum bayi dilahirkan

Perkembangan gigi bermula seawal 6-8 minggu kehamilan di mana kudup gigi akan mula terbentuk di bawah gusi. Kudup gigi ini tidak akan berubah dan akan kekal sehingga bayi dilahirkan.

Usia 4 bulan hingga 12 bulan

Bayi akan mula mengeluarkan gigi antara seawal usia 4 bulan hingga 6 bulan. Proses ini terjadi apabila akar gigi yang membesar akan mula menolak gigi keluar dari gusi. Keadaan ini akan menyebabkan rasa sakit atau kurang selesa. Pada masa ini, anda mungkin sedar apabila air liur bayi sering meleleh dan mereka seringkali meragam.

gigi kacip bayi 204

Dalam tempoh tahun pertama, bayi anda boleh mengeluarkan sekitar 6 batang gigi. Gigi pertama yang sering tumbuh dahulu adalah dua gigi bawah, di tengah-tengah gusi yang dipanggil gigi kacip pertama (central incisors). Secara umumnya gigi ini tidak menyulitkan bayi anda kerana struktur gigi yang nipis dan tajam membolehkan ia bergerak menembusi gusi dengan mudah.

Kemudian 4 batang lagi gigi di bahagian atas pula akan membuat kemunculannya iaitu gigi kacip pertama dan kedua. Pada ketika ini anda bolehlah memperkenalkan lebih banyak makanan pejal kerana anak anda sudah boleh menggunakan gigi-gigi ini sebaiknya.

pertumbuhan gigi bayi

Usia 1 hingga 3 tahun

Semasa anak mencapai umur setahun, anda disarankan untuk membawa anak berjumpa dengan doktor gigi. Selain itu, pada ketika ini juga gigi geraham akan mula tumbuh.

Proses pertumbuhan gigi geraham adalah lebih menyakitkan berbanding gigi kacip. Ini kerana permukaan gigi geraham yang lebih besar dan rata perlu menembusi gusi.

Tanda-tanda pertumbuhan gigi

Antara tanda-tanda yang boleh anda perhatikan untuk tahu sama ada gigi bayi sedang tumbuh ialah:

  • Gusi merah dan bengkak
  • Air liur meleleh
  • Bayi kerap menggigit
  • Menggosok-gosok gusi
  • Menggosok telinga di sebelah gigi yang sedang tumbuh
  • Menghisap
  • Meragam dan buat perangai
  • Kurang selera makan
  • Sukar tidur malam
  • Demam

Sekiranya bayi anda mengalami simptom teruk seperti demam panas berpanjangan atau gusi berdarah, sila bawa berjumpa doktor dengan segera. Keselamatan bayi anda harus diutamakan.

jangan lupa biasakan mengajar anak supaya gosok gigi dari kecil

Kebiasaannya seorang bayi akan mempunyai set penuh sebanyak 20 batang gigi antara usia 1 hingga 3 tahun. Jangan lupa ajar anak cara menggosok gigi dengan betul dan amalkan penjagaan kebersihan mulut dari kecil.

Seperti yang telah dipesan awal-awal tadi, jangan risau sekiranya gigi anak anda keluar lambat sikit daripada gigi anak jiran sebelah. Ok?


tags : , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)