Ada ibu bapa yang sering berasa resah dan gelisah apabila anak sedang melalui proses pertumbuhan gigi. Ada sesetengah bayi yang melalui waktu yang dianggap sukar ini dengan mudah tanpa rasa sakit. Namun ramai bayi yang terpaksa berhadapan dengan ketidakselesaan dan rasa sakit ketika gigi ingin keluar dari gusi.

bayi menangis sebab tak selesa akibat gigi nak tumbuh

Ada yang demam. Ada yang meragam selama berhari-hari, malah berminggu lamanya pun ada sebelum gigi betul-betul muncul. Sebagai ibu bapa, anda mesti tak sanggup tengok anak menangis dalam kesakitan kan. Jadi, apa yang anda boleh lakukan untuk bantu redakan penderitaan anak?

#1 Kain sejuk

Ambil sehelai tuala atau sapu tangan kecil yang bersih dan masukkan dalam peti sejuk beku buat seketika. Kain yang sejuk ini akan membantu mengurangkan rasa sakit gusi anak apabila digigit.

bagi kain yang disejukkan untuk anak gigit 514

#2 Makanan sejuk

Berikan makanan yang sejuk (sejuk ya, bukan beku!) kepada anak. Anda boleh sejukkan potongan buah seperti pisang, puri buah-buahan atau berikan yogurt kepada anak. Makanan yang sejuk ini boleh membantu mengalihkan perhatian anak dengan melupakan kesakitan yang dialami.

#3 Beri jari anda

Pastikan anda telah memotong kuku dan cuci tangan dengan bersih sebelum menghulurkan jari anda untuk di'kerja'kan oleh anak anda. Kebiasaannya bayi suka menggigit jari orang dewasa kerana struktur dan tekstur yang sesuai untuk dijadikan teether. Jangan risau, tak putus punyalah jari anda.

kalau anak kecil ada abang dan kakak boleh selamatkan jari anda dan gantikan dengan jari mereka haha ok lawak je

#4 Teether silikon

Berikan teether yang diperbuat daripada silikon kepada anak anda. Material ini lebih bagus berbanding teether getah yang diisikan dengan air. Selain itu, silikon juga boleh disterilkan.

Masukkan teether silikon ke dalam freezer selama lebih kurang seminit sebelum diberi kepada anak untuk digigit. Tujuan ini dibuat adalah untuk memberikan suhu sejuk kepada silikon itu sahaja. Pastikan silikon itu tidak mengeras sampai beku pula kerana ia boleh membahayakan gusi anak anda.

#5 Ubat tahan sakit

Menurut Baby Center UK dan NHS, anda boleh memberikan paracetamol atau ibuprofen dos kanak-kanak sekiranya simptom yang dialami amat teruk. Diulang, atau ya. Maknanya beri salah satu sahaja. Jangan beri kedua-dua ubat pada masa yang sama.

Apa-apapun, kami nasihatkan agar anda berjumpa doktor terlebih dahulu untuk mendapat pandangan daripada yang lebih pakar sebelum menggunakan kaedah ini.

jangan beri anak rantai teether seperti ini kerana sangat bahaya

ELAKKAN MEMBERI "TEETHING NECKLACE" YANG DIPAKAIKAN PADA LEHER ANAK. Ini boleh menyebabkan kemalangan seperti leher terjerut.

Kepada mak ayah semua, jangan risau sangat ok. Ini proses semulajadi yang mesti dilalui oleh semua bayi. Memang kejadian normal kalau dia meragam teruk apabila gigi nak keluar.

Apa-apapun, semoga bermanfaat dan selamat mencuba!


tags : , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)