Zina. Apabila perkataan itu disebutkan, dalam kepala secara automatik akan terbayang perlakuan seks yang melibatkan dua individu (atau lebih) bukan mahram tak kisahlah sama ada secara tertutup atau tersembunyi.
Walaupun demikian, pengertian zina ini sebenarnya agak besar dalam konteks Islam serta bukan terhad kepada kelakuan hubungan seksual semata-mata. Mari kita pelajari serba sedikit tentang zina daripada kaca mata Islam.
BESARKAN TEKS A- A+
Zina menurut perspektif al-Quran dan hadis
Kedudukan perbuatan zina ini amat jelas disebut sebagai satu perbuatan yang sangat-sangat dilarang demi memelihara kemuliaan dan maruah diri setiap manusia.
Ayat al-Quran yang menerangkan tentang larangan zina ini terkandung dalam surah al-Mu'minun yang memberi penerangan tentang sifat-sifat seorang mukmin sejati - haruslah dia menjaga kehormatannya.
Larangan lebih jelas pula terkandung dalam surah Al-Isra ayat ke 32 yang menyifatkan hubungan di luar pernikahan itu adalah sesuatu yang patut dihindari, digelarkan tidak bermoral serta termasuk dalam perbuatan-perbuatan keji.
Salah satu hadis Rasulullah saw. yang menjelaskan larangan zina adalah hadis yang berbunyi; Dari Abdullah dia berkata,
"Aku bertanya Rasulullah s.a.w, "Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Kamu membuat tandingan bagi Allah (syirik), sedangkan Dialah yang menciptakanmu."
Aku berkata, "Sesungguhnya dosa demikian memang besar. Kemudian apa lagi?" Beliau bersabda: "Kemudian kamu membunuh anakmu kerana khawatir dia makan bersamamu." Aku bertanya lagi, "Kemudian apa lagi?" Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kamu berzina dengan isteri tetanggamu." (Sahih Muslim 124)
Jenis-jenis zina
(gambar sekadar hiasan)
Ada tiga kategori perbuatan zina dalam Islam. Yang pertama adalah zina al-laman, membawa maksud zina yang dilakukan menggunakan panca indera sendiri.
Zina al-lama pula boleh dibahagikan kepada lima jenis perbuatan iaitu :
Zina ain (mata) di mana seseorang itu memandang individu lain dengan perasaan bernafsu, zina qalbi (hati) yang membuatkan seseorang berimaginasi tentang perbuatan seksual, zina yadin (tangan) bila seseorang itu dengan sengaja memegang individu lain dengan nafsu, zina lisan apabila seseorang sengaja berkata sesuatu yang menaikkan nafsu dirinya atau individu bukan mahramnya serta zina luar apabila seseorang itu memegang alat kelamin individu lain dengan syahwat.
Zina al-laman berbeza dengan konsep zina yang kita biasa dengari kerana perbuatan itu adalah perbuatan-perbuatan kecil yang dilakukan secara seksual, tanpa melibatkan persetubuhan.
Bagi zina yang melibatkan persetubuhan pula, ada dua kategori zina ditakrifkan mengikut jenis pelakunya. Yang pertama adalah zina ghairu muhsan atau zina melibatkan individu yang belum menikah. Kebiasaannya zina ghairu muhsan terjadi pada pasangan-pasangan yang bercinta yang terlanjur kerana terlalu asyik nak membuktikan kasih sayang masing-masing.
Zina muhsan pula adalah perbuatan bersetubuh yang melibatkan sekurang-kurangnya seorang individu yang masih lagi sedang bernikah dengan seorang individu lain. Sebagai contoh, seorang suami yang masih lagi menyimpan teman wanita atau seorang isteri yang tetap mahu bersetubuh dengan bekas teman lelakinya walaupun selepas berkahwin.
Syaratnya untuk jatuh zina muhsan, pelakunya telah bernikah dan berjimak dengan pasangannya, sudah baligh dan berakal serta melakukan perbuatan terkutuk itu dengan rela hati tanpa dipaksa.
Mengapa zina berlaku?
(gambar sekadar hiasan)
Untuk mengulas mengapa berlakunya sindrom perzinaan di kalangan umat Islam khasnya, wujud terlalu banyak sebab yang mendorong individu-individu serta pasangan dalam melakukan zina tak kiralah zina al-laman atau zina muhsan.
Kita tidak boleh menafikan salah satu punca utama berlakunya zina adalah disebabkan masih ramai individu di luar sana yang kekurangan ilmu berkenaan isu ini, apatah lagi kita sebagai umat akhir zaman ini. Dalam sebuah hadis yang diceritakan, Rasulullah saw. menyifatkan salah satu tanda akhir zaman adalah apabila manusia semakin bodoh dan zina berleluasa tanpa sekatan.
Selain itu, tidak mempedulikan perintah solat lima waktu menjadi antara punca paling besar berlakunya perzinaan kerana amat jelas sekali janji Allah swt.; solat sekiranya didirikan dengan tekun dan sabar akan menjauhkan individu itu daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Janji ini disebut dalam surah al-Ankabut ayat ke 45.
Kesukaran untuk menjaga pandangan juga menjadi salah satu penyebab kenapa zina semakin lama semakin kerap diamalkan masyarakat dunia. Dalam kitab 'Bahaya Zina' tulisan Ibnu Qayyim, hujah beliau dalam kitab tersebut menyarankan supaya manusia membiasakan diri menundukkan pandangan terlebih dahulu berbanding mana-mana perbuatan lain, dalam menjauhi dosa. Ini kerana pandangan seseorang itu adalah pemula kepada banyak dosa-dosa lain sama ada kecil ataupun besar.
Hukuman bagi kesalahan zina
Di dalam al-Quran, dinyatakan dengan jelas bentuk hukuman yang perlu dijatuhkan kepada pesalahlaku zina ghairu muhsan dan zina muhsan.
Untuk zina ghairu muhsan melibatkan individu yang belum berkahwin, Allah swt. memerintahkan agar kedua-duanya disebat sebanyak 100 kali kemudian diasingkan kedua-duanya. Perintah ini terkandung dalam surah An-Nur ayat 2 yang bermaksud :
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman."
Manakala bagi hukuman rejam yang selalu diperkatakan oleh orang ramai layak dijatuhkan kepada golongan zina muhsan, hukuman tersebut tidak dinyatakan dalam al-Quran tetapi melalui hadis berbunyi;
Ibnu Mas’ud RA, ia berkata : "Rasulullah saw bersabda : ‘Tidak halal darah seorang muslim kecuali kerana salah satu di antara tiga perkara : orang yang telah kahwin tetapi berzina, orang yang membunuh nyawa orang lain dan orang yang meninggalkan agamanya sehingga merosakkan jemaah." [Bukhari no. 6878, Muslim no. 1676]
Amat jelas sekali, bagi seorang Muslim peliharalah diri kita daripada perbuatan zina tak kiralah zina jenis apa sekalipun, walaupun kecil. Kerana yang kecil itulah akan menjurus kepada perlakuan keji yang lebih besar.