Oleh pada 16 Jun 2019 kategori

Perkataan 'kafir' kebelakangan ini kerap mendapat reaksi hangat daripada masyarakat negara kita, berikutan stigma yang dibawa istilah tersebut kepada golongan bukan Muslim.

tatu kafir paling bangang 9gh71

Banyak pihak merasakan perlunya penggantian istilah itu kepada istilah yang lebih lunak bunyinya, bagi menjaga sensitiviti mana-mana individu yang kurang senang dengan penggunaan terma tersebut. Walau apapun langkah yang akan diambil, penulis melihat masih ramai ahli masyarakat kita yang tidak mengerti makna sebenar di sebalik istilah 'kafir' sehingga menimbulkan polemik masyarakat.

Jadi untuk hari ini, mari kita pelajari berkenaan lima jenis golongan kafir daripada perspektif Islam. Ada lima sebenarnya, tetapi kita hanya dibiasakan dengan dua iaitu kafir harbi dan kafir zimmi, kan?

1. Kafir dhimmi/zimmi

rakyat malaysia harmoni 9gh15

Istilah kafir dhimmi atau zimmi merupakan istilah yang akan diberikan kepada golongan bukan Muslim yang bernaung atau berlindung dengan negara-negara Islam, mirip dengan status seorang warganegara atau dalam istilah lainnya - 'muwatin.'

Seorang zimmi atau muwatin mempunyai hak yang sama rata di sisi undang-undang serta dilindungi secara saksama. Walaupun bukan beragama Islam, seorang zimmi adalah haram daripada dicederakan atau dibunuh tanpa sebab yang membolehkannya.

Walau demikian, umat Islam tetap diminta untuk menjaga batasan sempadan dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama khasnya agama lain, walau serapat mana pun hubungan mereka dengan individu berlainan agama.

Dari segi maknanya, dhimmi membawa makna 'mereka yang aman'  dandiperuntukkan dengan janji yang bersifat memberikan keamanan pada mereka.

2. Kafir musta'min

masjid putrajaya pelancong

Kafir musta'min merujuk kepada golongan bukan Muslim yang memohon keamanan daripada pemerintah Islam, untuk sementara. Mereka boleh ditakrifkan sebagai kumpulan individu yang mendapat keizinan pemerintah Islam untuk hadir ke sebuah negara bagi memenuhi tujuan yang baik.

Golongan ini boleh dipecahkan kepada tiga kelompok kecil mengikut tujuan mereka hadir ke negara Islam tersebut. Kumpulan pertama adalah mereka yang bertugas sebagai utusan atau pegawai diplomat yang mendapat kebenaran pemerintah. Kumpulan kedua pula mewakili mereka yang mahu masuk untuk melakukan aktiviti perdagangan atau perniagaan.

Kelompok ketiga dinamakan sebagai golongan mustajir, di mana golongan ini pula hadir untuk mempelajari dengan lebih dalam lagi ajaran Islam. Golongan ini perlu dilindungi daripada dipaksa menerima sebarang bentuk ajaran Islam secara paksa serta diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menerima atau tidak apa yang telah mereka pelajari.

Selain itu, golongan pelarian dan pelancong bukan Muslim juga dikategorikan dalam kategori ini.

3. Kafir mu'ahad/mu'ahid

kafir yang bekerjasama

Kumpulan ini pula wujud dalam beberapa situasi tertentu, seperti kumpulan tentera bukan Muslim yang telah menawarkan perdamaian atau bersetuju untuk melakukan gencatan senjata  sebagai usaha awal menuju jalan keamanan. Ini kerana umat Islam perlu senantiasa berusaha memilih jalan kedamaian, dengan perintah ini disebutkan dalam surah al-Anfal ayat ke 61.

Sekiranya wujud kelompok mu'ahad, jatuh kepada tanggungjawab pemerintah negara melindungi mereka daripada bahaya yang mungkin muncul dari kalangan rakyat mereka sendiri, tak kiralah orang Muslim atau bukan Muslim.

Walaupun begitu, sekiranya ada pihak ketiga cuba menyerang atau membunuh kumpulan kafir mu'ahad ini, pemerintah tidak mempunyai kewajipan untuk terus kekal melindungi mereka kerana perjanjian kemanan yang ada hanyalah di antara pihak pemerintah dan kumpulan kafir mu'ahad.

4. Kafir muhayid

kafir harbi

Kafir muhayid hanya akan wujud dalam bentuk perjanjian sementara, melibatkan golongan kafir yang memilih untuk bersikap berkecuali dalam perkara seperti peperangan atau politik yang menggugat keamanan mereka.

Golongan ini boleh dikatakan sebagai golongan kafir yang mengamalkan pendekatan neutral tatkala masyarakat di sekeliling mereka berada dalam sengketa.

Sebagai contoh, wujud peperangan di antara sebuah negara Islam dengan sebuah negara lain bukan Islam - jadi mana-mana negara yang tidak mahu terkesan dengan peperangan itu boleh melakukan perjanjian sementara dengan negara Islam itu untuk mengelakkan wujud ancaman yang tidak dijangka-jangka.

5. Kafir harbi

tshirt bangga kafir

Label paling popular yang selalu disebut masyarakat kita. Bagaimanapun, tafsiran berkenaan istilah kafir harbi ini sebenarnya lebih luas berbanding tanggapan yang biasa kita dengar. Golongan kafir harbi sebenarnya merujuk kepada kelompok masyarakat bukan Muslim yang langsung tidak ada hubung kait dengan negara Islam.

Mereka juga tidak mendapat keizinan untuk hadir atau melakukan sebarang bentuk aktiviti perniagaan dengan mana-mana negara Islam, ekoran ketiadaan sebarang perjanjian di antara dua buah negara.

Ini bermakna, mereka yang tiada sebarang hubungan dengan negara Islam juga akan digelarkan 'kafir harbi', bukan hanya terhad pada kelompok kafir yang memusuhi orang Islam.

Bagaimanapun, seandainya golongan kafir harbi ini mula mengambil langkah yang dianggap memerangi masyarakat Muslim, ini akan menyebabkan mereka layak diperangi. Kumpulan ini dinamakan sebagai 'harbi al-muharib' merupakan pihak bukan Muslim yang menyumbangkan tenaga dalam usaha menjatuhkan sebuah kerajaan atau masyarakat Islam, dengan sokongan dari segi monetari, kemahiran malahan semangat sekalipun.

Kita sebagai umat Islam, memang mudah melabelkan orang lain sebagai harbi, cuma persoalannya sekarang - adakah benar pihak yang dituduh itu layak dikategorikan kafir harbi?

Penulis yakin majoriti sebenarnya memilih untuk terus hidup dalam damai dan tenang, sebagai seorang kafir dhimmi atau muwatin yang selamat di negara kita.



Hakcipta iluminasi.com (2017)