Setiap benda ciptaan manusia akan tamat riwayatnya satu hari nanti. Contohnya kereta, selepas beberapa lama digunakan ia akhirnya akan dibuang ke kedai besi buruk dan mana-mana bahagian yang masih elok biasanya boleh dijual kepada kedai alat ganti atau kedai kereta potong.

Begitu juga nasib yang menimpa kapal-kapal besar seperti kapal kargo, kapal persiaran dan tongkang. Selepas 25 hingga 30 tahun (atau lebih) biasanya kapal-kapal ini tidak lagi boleh digunakan kerana telah usang dan juga atas alasan keselamatan. Pernahkah anda tertanya-tanya, dimanakah kapal-kapal lama ini akan dilupuskan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

pekerja melupuskan kapal

Mengikut NGO Shipbreaking Platform, pada tahun 2015 sahaja 768 kapal lama didapati terdampar dan dilupuskan di pelabuhan-pelabuhan sekitar Bangladesh, India, Pakistan, China dan juga Turki. Shipbreaking Platform merupakan satu organisasi bebas yang berperanan mewujudkan kesedaran mengenai kesan kegiatan ini kepada alam sekitar dan memperjuangkan nasib para pekerja di industri pelupusan kapal ini.

Pada 2016 pula, organisasi ini telah mengeluarkan laporan bahawa kejatuhan harga minyak dan gas dunia telah mendorong peningkatan jumlah kapal-kapal industri minyak dan gas seperti platform, kapal gerudi minyak dan kapal tangki yang dilupuskan.

Sumber besi dan ekonomi Bangladesh

Setelah dilupuskan, besi dan bahagian-bahagian daripada kapal ini kemudiannya akan dijual dan dikitar semula. Kegiatan pelupusan ini bukanlah dimonopoli oleh individu tertentu sebaliknya terdapat berpuluh syarikat yang menjalankan kegiatan ini. Kebanyakan aktiviti pelupusan ini berlaku di Chittagong, iaitu bandar kedua terbesar di Bangladesh.

tempat pelupusan kapal

Industri ini juga merupakan penyumbang besar kepada sumber besi di Bangladesh. Dianggarkan 80 - 90% dari sumber besi di Bangladesh datangnya daripada industri pelupusan kapal besa ini. Besi yang diambil daripada kapal-kapal ini biasanya akan dileburkan dan dikitar semula, dimana kebanyakannya digunakan dalam pembinaan bangunan.

Kerja yang sangat berisiko

memotong kapal

Kerja memotong dan melupuskan kapal ini merupakan satu kerja yang berisiko tinggi. Para pekerja biasanya perlu menggunakan tali untuk memanjat kapal-kapal besar ini yang ada kalanya setinggi 20 - 30 meter. Kerja-kerja pemotongan pula kebanyakannya dilakukan secara manual dan tanpa pemakaian pakaian perlindungan keselamatan yang sempurna.

Selain itu, para pekerja juga biasanya akan terdedah kepada pelbagai sisa bahan kimia yang merbahaya seperti asbeston, polychlorinated biphenyl (PCB) dan minyak pelincir, bergantung kepada jenis kapal yang dilupuskan. Bahan-bahan kimia ini juga biasanya dibuang ke dalam laut dan tidak mengikut piawaian dan prosedur standard untuk melupuskan sisa buangan terjadual.

pelupusan kapal

Bagi negara yang miskin seperti Bangladesh, rakyatnya terdesak untuk mencari pekerjaan bekerja dalam bidang yang berisiko ini walaupun gaji yang dibayar tersangatlah rendah. Untuk kerja yang berisiko tinggi seperti ini, pekerja hanya dibayar purata RM1.10 sejam dan biasanya bekerja dalam tempoh yang lama, 12 hingga 16 jam sehari.

Mengikut kajian juga, didapati 25% tenaga kerja dalam industri ini dikatakan daripada golongan yang berada di bawah umur 18 tahun. Mengikut rekod juga, secara purata 2 orang pekerja terbunuh di tempat kerja setiap bulan dan banyak kecederaan dilaporkan pada setiap hari. Malangnya, tiada pihak yang memberikan pembelaan yang sewajarnya kepada para pekerja ini.

Kesan buruk kepada alam sekitar

Selain hak kepada pekerja yang diabaikan, kritikan terbesar terhadap industri pelupusan kapal ini biasanya disebabkan kesan buruknya kepada alam sekitar terutamanya kepada air laut. Tiada undang-undang tempatan yang membendung perkara ini. Bahan-bahan kimia daripada kapal-kapal yang hendak dilupuskan ini biasanya dibuang begitu sahaja ke laut tanpa mengikut prosedur yang betul.

Kesan pencemaran ini dapat dilihat dengan jelas lebih-lebih lagi ketika air surut dimana akan kelihatan mendapan bahan-bahan kimia ini terutamanya di kawasan berhampiran pelabuhan. Lebih menyedihkan, para pekerja yang terlibat ini biasanya hanya berkaki ayam apabila melakukan kerja, menyebabkan mereka terdedah kepada bahan buangan kimia ini.

pekerja industri pelupusan kapal 590

Buat masa ini, tiada tanda-tanda bahawa aktiviti pelupusan kapal di Bangladesh ini akan berkurang. Kritikan terhadap industri ini yang mengeksploitasi pekerja dan mencemarkan alam sekitar tidak langsung memperlahankan aktiviti ini memandangkan desakan hidup para pekerja ini untuk menyara hidup dan terdapat permintaan yang berterusan daripada orang ramai dari seluruh untuk melupuskan kapal mereka dengan cara yang murah.

Sekiranya anda mempunyai masa, sila tonton dokumentari berdurasi 15 minit dibawah mengenai kegiatan pelupusan kapal di Bangladesh.

Kredit:

  1. Shipbreaking Platform
  2. National Geographic
  3. The Atlantic



Hakcipta iluminasi.com (2017)