Oleh pada 24 Dec 2021 kategori

Hubungan diplomatik antara negara adalah penting bagi menjamin kesejahteraan, mengukuhkan kedudukan serta meningkatkan sektor ekonomi sesuatu negara itu. Boleh dikatakan kebanyakan negara menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara lain untuk tujuan ini.

blue diamond

Namun, hubungan diplomatik sesuatu negara itu juga boleh terjejas disebabkan sesuatu isu atau salah faham. Salah satu hubungan diplomatik yang terjejas adalah seperti yang berlaku antara kerajaan Thailand dan Arab Saudi.

Hubungan kedua-dua negara itu sememangnya keruh sehingga hari ini. Ia berikutan satu kejadian yang dikenali sebagai "Blue Diamond Affair" yang bermula sejak tahun 1989. Berikut adalah kisahnya.

Blue Diamond Affair

Kriangkrai Techamong adalah seorang warga Thailand yang bekerja di Arab Saudi. Dia adalah salah seorang yang bertuah diterima bekerja di istana Putera Faisal, anak sulung kepada Raja Arab Saudi, Raja Fadh.

kriangkrai techamong

Kriangkrai Techamong

Pada tahun 1989, Kriangkrai melakukan sesuatu di luar dugaan apabila dia mencuri barangan kemas milik Putera Faisal yang keluar bercuti bersama keluarganya selama tiga bulan.

Pekerja itu dikatakan telah mencuri puluhan kilogram barangan kemas bernilai USD 20 juta ketika itu. Ia termasuk beberapa batu permata bernilai milik putera diraja Arab Saudi itu.

Kriangkrai menyembunyikan barangan kemas itu dan menghantarnya ke Thailand melalui kargo sebelum pulang ke negara asalnya beberapa hari kemudian. Di Thailand, Kriangkrai telah merasuah penguat kuasa kastam supaya barangan kargo yang dihantarnya tidak diperiksa.

Lebih rumit daripada kes biasa

Kriangkrai telah ditahan pihak berkuasa Thailand pada Januari 1990 setelah kes kecurian itu dilaporkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Namun, kebanyakan hasil curinya itu telah dijual kepada seorang peniaga barangan kemas bernama Santhi Sithanakan.

kriangkrai techamong curi

Kriangkrai Techamong (kanan, bergari) bersama sebahagian barangan kemas yang dicurinya

Dengan bantuan Kriangkrai, pihak berkuasa Thailand berjaya menjejaki semula barangan kemas yang telah dijualnya. Pihak berkuasa Thailand kemudian memulangkan semula barangan yang telah dicuri dari istana Putera Faisal.

Setelah diperiksa, pihak berkuasa Arab Saudi mendapati hanya separuh sahaja barang kemas yang dipulangkan. Antara yang masih hilang ialah batu permata biru 50 karat yang sangat sukar ditemui. Malah, lebih daripada separuh barangan yang dipulangkan semula itu adalah tiruan.

Kerajaan Arab Saudi menjadi lebih marah apabila mendapati terdapat beberapa keping gambar yang tular menunjukkan isteri beberapa pegawai tertinggi Thailand memakai barangan kemas yang serupa dengan barangan kemas yang dilaporkan hilang.

Dikendalikan pegawai korup

Pasukan polis yang diketuai oleh Leftenan Jeneral Chalor Kerdthes telah ditugaskan untuk menyiasat kes ini. Namun, mereka dipercayai telah melakukan penyelewengan dan kesalahan lain semasa mengendalikan kes ini.

putera faisal bin fahd

Putera Faisal bin Fahd (1945-1999)

Arab Saudi juga telah menghantar beberapa diplomat untuk menyiasat sendiri kes kecurian ini tetapi malang apabila semua diplomat yang dihantar ditembak mati atau diculik di Bangkok.

Pada tahun 1994, peniaga barangan kemas iaitu Santhi Sithanakan merupakan saksi utama kes kecurian ini. Dia boleh menamakan siapakah pembeli yang membeli barangan kemas sebenar yang dicuri itu.

Malangnya, Santhi telah diculik selama tiga hari sebelum perbicaraannya. Malah, isteri dan anak lelakinya turut diculik dan ditemui mati dalam sebuah kereta. Santhi dipercayai menjadi mangsa ugutan pihak berkuasa Thailand.

Kes yang mengeruhkan hubungan diplomatik

Kerajaan Arab Saudi telah menyalahkan kerajaan Thailand tidak serius dalam menangani masalah ini. Ini membuatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara menjadi semakin keruh.

pihak berkuasa saudi

Pihak berkuasa Arab Saudi kecewa dengan keputusan perbicaraan "Blue Diamond Affair" di Thailand

Disebabkan ketegangan ini, Arab Saudi menghentikan pemberian Visa kepada pekerja Thailand dan tidak menggalakkan rakyat mereka untuk melawat Thailand.

Pada tahun 1989, dianggarkan sekitar 150,000 hingga 200,000 rakyat Thailand diberikan Visa untuk bekerja di Arab Saudi tetapi hanya 10,000 orang sahaja diberikan Visa pada tahun 2008.

Walaupun kes ini telah berlaku lebih daripada 30 tahun yang lalu tetapi ia masih belum dapat diselesaikan. Hubungan antara kedua-dua kerajaan ini juga masih keruh dan tiada jalan penyelesaiannya.

Kesan Blue Diamond Affair

Pada tahun 2009, Leftenan Jeneral Chalor Kerdthes dan beberapa lagi pegawainya didapati bersalah kerana melakukan penyelewengan dalam kes yang dikendalikan mereka.

chalor kerdthes

Leftenan Jeneral Chalor Kerdthes

Leftenan Jeneral Chalor dijatuhkan hukuman mati kerana terlibat dalam pembunuhan isteri dan anak Santhi tetapi telah diringankan hukumannya kepada 50 tahun penjara.

Manakala pencuri asal iaitu Kriangkrai Techamong pula telah dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun sahaja tetapi dibebaskan selepas tiga tahun kerana membantu pihak berkuasa mengesan semula barangan kemas yang telah dijualnya.

Menurut Kriangkrai, hidupnya menjadi tidak tenteram dan sentiasa "malang" selepas kejadian itu. Pada tahun 2016, Kriangkrai telah menjadi seorang sami dan berharap dapat meninggalkan kehidupan lamanya serta menebus segala kesalahannya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)