Perlombongan bijih timah merupakan salah satu industri yang tertua di Malaysia. Aktiviti perlombongan ini telah dilakukan di tebing-tebing sungai selama ratusan tahun lamanya.

Semuanya bermula pada awal 1800-an apabila hasil bijih timah yang banyai ditemui di bahagian pantai barat semenanjung di negeri Perak dan Selangor. Industri ini berkembang dan menjadi salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara ketika itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika zaman kemuncak industri perlombongan ini, Malaysia merupakan pengeluar bijih timah terbesar dunia di mana negara mampu membekalkan hampir separuh daripada keseluruhan pasaran bijih timah dunia.

Namun, industri perlombongan bijih timah di Malaysia merudum dan hampir mati pada pertengahan tahun 1980-an apabila harga hasil bumi itu jatuh merudum melebihi 50 peratus berbanding sebelumnya.

Keadaan ini memaksa pengusaha untuk gulung tikar dan tapak lombong bijih timah ditinggalkan terbiar begitu sahaja.

Kesan kepada alam sekitar

Walau bagaimanapun, setiap aktiviti perlombongan akan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar. Ia termasuklah aktiviti melombong bijih timah di Malaysia yang tumbuh bagai cendawan suatu ketika dahulu.

pantai remis 535

Salah satu bencana berkaitian aktiviti perlombongan yang pernah menggemparkan negara dan seluruh dunia  berlaku di Pantai Remis, Perak, hampir 30 tahun yang lalu.

Pantai Remis terletak di daerah Manjung di Perak. Tempat itu mendapat namanya daripada remis, sejenis haiwan laut yang banyak terdapat di pantai itu.

Suatu ketika dahulu, terdapat banyak lombong bijih timah yang diusahakan di negeri Perak. Apabila hasil bumi itu menjadi terhad, syarikat perlombongan mula mengorek di mana sahaja tempat yang mempunyai bijih timah termasuklah di Pantai Remis.

Malangnya, sebahagian tapak lombong digali tanpa mengambil kira risiko bahaya terhadap alam sekitar. Salah satu syarikat perlombongan di Pantai Remis menggali kawasan yang begitu hampir dengan laut.

Tragedi tanah runtuh 1993

Pada 21 Oktober 1993, berlakunya kejadian tanah runtuh akibat perlombongan di Pantai Remis. Beberapa jam sebelum berlakunya bencana itu, pemilik syarikat perlombongan telah menyedari berlakunya kebocoran pada dinding lombong bersebelahan laut.

lombong bijih timah 218

Contoh lombong bijih timah 

Pemilik syarikat perlombongan itu kemudian mengarahkan agar lombong dan kawasan berhampiran dikosongkan. Amaran itu menyebabkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat bencana itu.

Malah, pemilik syarikat itu sempat menghubungi seorang rakannya bernama Yee Rang. Menurut Yee, rakannya itu memberitahu bahawa lombong bijih timah yang diusahakannya selama beberapa dekad itu bakal runtuh.

Yee kemudian bergegas ke tapak lombong itu dengan membawa kamera videonya dan menunggu selama beberapa jam untuk melakukan rakaman sekiranya sesuatu berlaku.

Akhirnya, dinding lombong itu mulai pecah dan air laut mencurah masuk ke dalam lombong. Yee berjaya merakamkan kejadian itu walaupun hanya selama beberapa minit.

Pengajaran di masa hadapan

Yee telah memuat naik video bersejarah itu di laman sesawang YouTube pada tahun 2007. Video itu menunjukkan rentetan keruntuhan tanah di lombong bijih timah di Pantai Remis.

Apa yang bermula sebagai runtuhan kecil bertukar menjadi besar apabila lebih banyak air laut yang masuk sehingga kelihatan seperti sebuah lautan.

Walaupun kualiti rakaman video Yee agak teruk, ia dianggap sebagai salah satu video kejadian tanah runtuh terbaik pernah dirakamkan. Beberapa tahun kemudian, seorang lelaki bernama Jaren Christopher Kelley telah memuat naik semula video Yee yang telah ditambah baik dari segi kualitinya.

Yee Rang berharap video yang dirakamnya itu menjadi pengajaran kepada semua pihak di masa hadapan agar lebih peka terhadap alam sekitar. Kejadian tanah runtuh di Pantai Remis itu menjadi bukti betapa membinasakan kesan perlombongan ke atas alam sekitar.

google earth pantai remis

Malah, kejadian tanah runtuh itu membentuk satu teluk baru di Pantai Remis dan ia boleh dilihat di dalam Google Earth. Mujurlah, tiada sebarang kemalangan, kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berkaitan bencara buatan manusia itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)