partikel salji bawah mikroskop

Kita di Malaysia mungkin merasa cemburu melihat masyarakat negara lain bermain salji, tatkala tibanya musim sejuk. Apatah lagi dengan lambakan perkongsian di media sosial menunjukkan keseronokan bermain salji, pasti ada antara kita yang geram nak merasainya sendiri.

Walau apa pun perasaan anda melihat salji gugur mencecah bumi, fenomena sejuk sehingga mampu menurunkan salji adalah sesuatu yang sebenarnya sangat luar biasa. Ini kerana setiap satu partikel salji, sebenarnya mempunyai banyak rahsia yang pada zahirnya kita tak nampak.

Salji memang merupakan salah satu ciptaan yang paling unik wujud dalam alam semesta dan berikut adalah rahsia kenapa salji seunik yang kami dakwa.

Adakah salji dan ais sama unsurnya?

partikel ais bawah mikroskop

Ya. Bagaimanapun, sangat perlu untuk diperjelaskan di sini bahawa ais dan salji dibentuk daripada kaedah yang berbeza walaupun kedua-duanya merupakan 'air yang dibekukan.'

Ais adalah air dalam bentuk keras, tak kiralah bagaimana saja kaedah ais itu terbentuk. Salji juga merupakan air dalam bentuk keras. Apa yang membezakan kedua-duanya adalah jumlah udara yang terkandung dalam molekul yang dimampatkan.

Salji mempunyai ruangan udara yang lebih banyak, menyebabkan bentuknya lebih ringan dan kurang padat sementara ais pula terbentuk apabila udara yang ada dinyahkan, sebelum kesemua molekul air beku membeku - mengakibatkan bongkahan ais terbentuk.

Mana lagi sejuk - ais atau salji?

ais tak sama dengan salji

Bagi rakyat Malaysia seperti penulis yang tak pernah merasai salji secara semulajadi, pengalaman paling dekat kita dengan sesuatu yang menghampiri salji adalah ais kisar - tetapi ais kisar bukan salji. Tak sama cara pembentukannya.

Oleh sebab itu, walaupun kedua-duanya terbentuk pada takat beku yang sama iaitu 0 darjah celcius, ais akan dirasakan lebih sejuk kerana ais mempunyai bentuk tiada udara di dalamnya.

Salji akan dirasakan lebih 'panas' kerana salji mempunyai ruangan udara yang lebih besar, membolehkan haba mengalir di antaranya dengan lebih baik. Atas sebab itulah, cubaan untuk menghasilkan rumah bersalji yang ada di negara kita jarang sekali dapat menghasilkan suasana sebenar duduk dalam keadaan bersalji - lebih kepada rasa seperti duduk dalam peti ais gergasi.

Bagaimana salji boleh terbentuk?

proses pembentukan salji

Untuk udara membentuk salji secara semulajadi, suhu mesti turun di bawah paras 2 °C sehingga 0 °C. Sesuatu kepingan salji terbentuk apabila gerakan udara menyebabkan partikel-partikel ais kecil bergabung dan apabila sudah menjadi berat, akan mula jatuh ke bumi. Kebiasaannya, untuk membentuk satu kepingan salji sebesar 1 ke 2 cm, beratus-ratus kristal ais akan bergabung membentuknya.

Kepingan-kepingan salji tadi akan bergabung semasa turun sekiranya melalui udara yang melebihi 0°C, disebabkan oleh proses pencairan pada bahagian tepinya membolehkan kepingan salji yang lebih besar terhasil. Sementara itu kepingan salji yang jatuh pada aliran udara 0°C atau kurang, tidak akan bercantum sebaliknya akan gugur ke bumi membentuk lapisan salji yang kelihatan seperti 'hamparan tepung.'

Kenapa salji berwarna putih?

keagungan tuhan dalam keunikan salji

Salji berwarna putih kerana salji mempunyai sifat yang tidak bertindak balas dengan cahaya. Apabila cahaya mengena pada permukaan salji, cahaya itu yang terbentuk dengan gabungan bermacam jenis warna akan dipantul ke sana ke mari melalui partikel-partikel di dalam salji tanpa ada perubahan pada warnanya.

Oleh kerana semua warna dalam cahaya tidak memberi kesan apa-apa pada salji, warna yang akan kita nampak adalah warna putih hasil gabungan kesemua warna yang ada dan bergerak bebas.

Dalam situasi di mana salji mencair lalu bergabung membentuk ais, ada ais yang kita lihat mempunyai warna seakan-akan biru muda pula kan? Warna biru itu datang daripada kesan cahaya juga.

Cahaya mampu bertindak balas dengan ais tetapi tidak salji. Apabila cahaya mengenai permukaan ais, spektrum warna merah dalam cahaya akan diselerakkan sehinggakan warna merah mula hilang daripada garis cahaya itu. Ini menyebabkan warna yang tinggal hanyalah warna biru, menyebabkan ais mempunyai warna biru yang unik itu.

Apakah keunikan partikel salji?

jenis jenis partikel salju

Setiap partikel salji mempunyai karakter atau bentuk yang berbeza, jadi setiap satu kepingan salji yang jatuh ke bumi tidak pernah sama. Mungkin ada yang seakan-akan serupa, tetapi bila dilihat dengan menggunakan mikroskop, pasti akan ada perbezaan pada bentuknya.

Sekiranya ada kutip satu kepingan salji yang jatuh ke bumi sebelum ia cair, anda akan dapat melihat sendiri bagaimana kepingan salji itu dibentuk dan bagaimana setiap partikel yang ada 'melekat' antara satu sama lain.

Apa yang menarik, bentuk partikel salji mampu mempunyai bentuk geometri yang berbeza-beza, dengan setiap kepingan salji akan dibentuk dengan gabungan lima kategori partikel yang ada;

Bentuk-bentuk yang popular dan selalu digunakan sebagai simbol adalah plet heksagon, plet stellar, plet dendrit stellar dan plet pokok dendrit stellar. Apa yang unik tentang partikel salji berbentuk ini adalah setiap satunya pasti akan mempunyai 6 bucu yang konsisten daripada segi bentuk dan saiznya.

partikel salji unik

Beberapa jenis kategori bentuk partikel salji yang lain adalah bentuk jarum yang panjang sama ada berbentuk silinder bertutup atau tidak bertutup, bentuk kolum yang menyerupai bangunan-bangunan purba, bentuk peluru, bentuk tidak sekata dan juga bentuk kristal rima yang terhasil apabila proses pembentukan kepingan salji terganggu, disebabkan bergabung dengan unsur air semasa pembentukannya.

snow particles keunikan salji

Kami akhiri artikel ini dengan satu perkongsian - kepingan salji terbesar pernah direkodkan ditemui pada tahun 1887 di Fort Keogh, Montana, Amerika Syarikat. Pada 28 Januari tahun tersebut, berlaku fenomena luar biasa di mana kepingan salji yang jatuh agak besar saiznya berbanding biasa.

Seorang askar yang bertugas mendapati satu kepingan salji sebesar 15 inci lebarnya! Sekiranya dibandingkan dengan objek harian yang ada, kepingan salji itu bolehlah dikatakan sama seperti sebuah pinggan makan kita.



Hakcipta iluminasi.com (2017)