Oleh pada 27 Aug 2019 kategori

Kebanyakan tumbuhan memerlukan tanah untuk membesar. Ada beberapa jenis tumbuhan yang boleh membesar hanya di dalam air.

Tetapi ada beberapa kes unik yang sangat jarang sekali berlaku - menunjukkan tumbuhan juga mampu membesar dalam tubuh manusia. Bukan di luar permukaan kulit, tetapi dalam tubuh kita!

Kes-kes ini menjadi perhatian pengkaji dan saintis kerana keunikannya serta kemungkinan untuk kes-kes serupa berlaku, sangat kecil peratusannya. Pernah anda terbaca tentang empat kes ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Kacang hijau membesar menjadi tauge

kacang hijau tumbuh dalam badan orang

Sebuah pusat ENT di Pakistan menerima kedatangan seorang pesakit yang mengadu rasa sakit dan sangat gatal dalam telinganya pada 17 Jun 2003. Beliau memberitahu doktor bahawa dia sudah merasai kesakitan itu selama 45 hari, tetapi terpaksa hadir kerana sudah tidak lagi mampu menahan sakit.

Pemeriksaan awal mendapati ada satu bendasing berwarna hijau di dalam saluran telinga lelaki tersebut, tetapi doktor tidak menjangkakan yang objek itu sebenarnya adalah tumbuhan.

Selepas doktor berjaya menarik keluar objek hijau itu, barulah didapati bahawa bendasing itu adalah kacang hijau yang sudah bertunas, hampir menjadi tauge. Akarnya pula bersambung dengan kumpulan tahi telinga yang dipercayai menjadi bajanya. Tidak diketahui bagaimana kacang hijau itu memasuki telinga lelaki tersebut dan lelaki malang itu selamat menjalani operasi membuangnya tanpa sebarang komplikasi.

2. Pokok bunga dandelion membesar dalam saluran telinga

pokok dandelion hidup dalam badan pesakit

Seorang wanita bernama Ranran mendapati sebiji benih pokok dandelion telah masuk ke dalam telinga anak mereka yang baru berusia 16 bulan. Gagal mengeluarkannya, Ranran serta suaminya tidaklah pergi melakukan pemeriksaan rapi - lagipun anak mereka kelihatan sihat.

Selepas empat bulan berlalu, anak mereka mula menggaru-garu telinga kirinya dan tabiat itu menjadi semakin kerap. Mula merasa bimbang setelah mendapati wujud sesuatu dalam salur telinga anak mereka, Ranran membawa anaknya ke klinik pakar.

Siasatan mendapati wujud pucuk pokok dandelion di dalam saluran telinga anaknya yang sedang membesar, seterusnya menutup terus salur telinga anak mereka. Tumbuhan kecil bersaiz 2 cm itu juga berakar dan melekat kuat pada dinding salur telinga bayi itu, menyukarkannya untuk ditarik keluar.

Selepas 10 minit, prosedur ringkas itu berjaya mengeluarkan tumbuhan tersebut. Doktor menyifatkan tumbuhan itu agak degil untuk dikeluarkan selain daripada kesukaran yang dihadapi, kerana ruang salur telinga juga masih lagi kecil, dikhuatiri akan menyebabkan kecederaan pada permukaannya.

3. Ron Sveden tersedak kacang pea

ron sveden tumbuhan dalam paru paru

Seorang guru bersara bernama Ron Sveden warga Massachussetts. Amerika Syarikat menyangkakan dia bakal menerima khabar buruk mengesahkan wujudnya tumor dalam paru-parunya.

Ini kerana selepas beberapa bulan mengidap emphysema - yang menyebabkan dia mengalami kesukaran bernafas, imbasan yang dilakukan mendapati wujud ketumbuhan dalam organnya.

Bagaimanapun, semua ujian yang dilakukan bagi mengesahkan jenis tumor yang wujud mendapati ketumbuhan yang ada di dadanya bukannya sejenis kanser, tetapi anak pokok kacang pea sebesar 1.25 cm. Perkara ini diketahui setelah skop berjaya dimasukkan dan sedikit sampel 'tumor' tersebut berjaya diambil - mendapati ketumbuhan itu adalah sejenis tumbuhan sahaja.

Pembedahan yang dilakukan berjaya mengeluarkan pokok tersebut dan Ron merasa amat lega mengetahui dia menghidap pokok yang sedang membesar, bukannya kanser.

4. Atryom Sidorkin disahkan menghidap kanser namun..

artyom sidorkin tumbuhan dalam badan

Sama seperti Sveden, Artyom Sidorkin mengalami masalah pernafasan dan apabila sampai ke satu tahap, mula batuk-batuk seterusnya mengalami batuk berdarah. Pemeriksaan di hospital mendapati adanya ketumbuhan dalam paru-paru beliau yang dipercayai punca kepada masalah yang dihadapinya.

Berbeza dengan kes Sveden, doktor beliau mengesahkan bahawa apa yang ada adalah tumor, jadi pembedahan untuk mengeluarkan tumor yang wujud dijalankan bagi membuang bahagian yang telah dijangkiti. Operasi yang dilakukan oleh Dr. Vladimir Kamashev mendapati tumbuhan pokok jenis fir, sepanjang hampir 2 inci membuatkan mereka semua terkejut.

Tumbuhan itu didapati sudah pun membesar, sehingga menyentuh beberapa bahagian pembuluh darah dan menyebabkan kesakitan yang dirasai oleh Sidorkin. Pihak perubatan beranggapan Sidorkin pernah tertelan benih pokok tersebut tanpa sengaja, menyebabkannya bertunas sebelum mula membesar.

Tidak diketahui apa nasib pokok tersebut.

Rujukan

Say that again? The seed that grew inside an ear

Dandelion growing in ear canal of tot removed by surgeon

US Man Discovers He Has Pea Plant Growing In His Lung

Surgeons find fir tree 'growing inside patient's lung'




Hakcipta iluminasi.com (2017)