Sejak hampir 60 tahun, bandar Ypres yang terletak di Belgium telah menyambut satu festival kucing yang telah menarik ramai pelancong dari seluruh pelusuk Belgium. Digelar "Kattenstoet" atau Festival Kucing, festival ini disambut setiap 3 tahun.

Dalam festival ini, terdapat pelbagai acara antaranya perarakan kostum, persembahan brass band dan perarakan sambil menunggang kuda. Peserta yang terlibat akan memakai pakai kostum berbentuk kucing, tukang sihir ataupun tikus yang mempunyai maksud yang tersendiri mengikut sejarah terciptanya festival ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun sambutan ini dilihat sebagai suatu perayaan yang menggembirakan, namun terdapat sejarah hitam bagaimana festival ini bermula.

Kepercayaan kucing membawa semangat jahat

kepercayaan karut terhadap kucing 314

Puluhan tahun dahulu, penduduk tempatan tidaklah begitu rapat dengan haiwan, terutamanya kucing. Banyak bandar-bandar di Eropah pada ketika itu mempunyai ritual atau amalan membunuh kucing dengan kejam. Orang Eropah pada ketika itu percaya kucing memiliki semangat jahat.

Biasanya ritual membunuh kucing ini dilakukan dengan cara membakar hidup-hidup haiwan ini atas unggun api. Ketika mana haiwan ini sedang terseksa di bakar hidup-hidup, para hadirin yang menyaksikan ritual tersebut sebaliknya akan gembira dan bergelak ketawa.

Setelah haiwan yang dibakar itu mati dan menjadi debu, orang ramai yang hadir akan mengambil debu daripada bangkai kucing itu dan membawanya pulang ke rumah. Mereka percaya, ianya akan memberi nasib baik kepada mereka. Agak sadis, namun itulah amalan dan kepercayaan karut sesetengah masyarakat Barat satu ketika dahulu.

Penggunaan kucing bagi mengawal populasi tikus

kucing dan tikus

Di bandar Ypres juga, kucing menjadi mangsa atas kepercayaan karut masyarakat tempatan. Pada ketika itu, Ypres, sama seperti bandar-bandar lain di daerah Flanders di Belgium, terkenal dengan industri pembuatan baju dan pakaian.

Kapas yang digunakan diimport dari England akan bditenun menjadi pakaian oleh tukang-tukang jahit yang mahir. Kapas dan pakaian yang telah disiapkan ini biasanya disimpan di Coth Hall, salah satu bangunan komersial terbesar pada waktu itu. Malangnya, pusat pengumpulan ini telah menarik minat banyak tikus yang telah merosakkan pakaian-pakaian tersebut.

Bagi mengelakkan lebih banyak pakaian dirosakkan, maka penduduk telah mengambil keputusan untuk membawa masuk kucing. Ini merupakan langkah yang bijak memandangkan kucing merupakan pemangsa semulajadi bagi tikus. Lama-kelamaan, populasi kucing menjadi terlampau banyak dan penduduk merasakan haiwan ini perlu dibunuh.

Cadangan ini dilihat sebagai satu tindakan yang betul, ditambah lagi dengan kepercayaan karut bahawa kucing membawa nasib malang. Bagi membunuh kucing ini, mereka tidak membakarnya hidup-hidup sebaliknya membalingnya daripada menara loceng yang terdapat di gereja tempatan.

Apabila sesuatu perniagaan mencatatkan kerugian dan nasib tidak baik menimpa, kucing dipersalahkan sebagai penyebabnya. Oleh itu, penduduk akan membaling kucing dengan kepercayaan ianya bagi membuang nasib malang tersebut.

Lama-kelamaan, tindakan membuang kucing daripada atas bangunan ini dilihat sudah menjadi kebiasaan dan biasanya dilakukan pada hari Rabu dan setiap minggu kedua. Penduduk tempatan menggelarnya "Cat's Wednesday".

Kelahiran festival Kattenstoet

perarakan kucing 700

Tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan ini akhirnya dihentikan pada tahun 1817. Kucing terakhir yang dicampak daripada atas bangunan itu dikatakan terselamat setelah dibaling dan berjaya melarikan diri sebelum ditangkap semula. Bermula daripada saat itu hinggalah Perang Dunia Pertama, sambutan Cat's Wednesday disambut dengan hanya membunyikan loceng besar di gereja.

Pada tahun 1938, sekumpulan remaja telah mengambil keputusan untuk menganjurkan satu festival perarakan kucing. Setiap seorang daripada mereka telah membawa patung mainan berbentuk kucing. Salah seorang daripada mereka telah memanjat menara loceng tersebut dan membaling kesemua patung kucing tersebut.

Pada awalnya, festival ini hanya perayaan kecil-kecilan bagi masyarakat tempatan sehinggalah pada tahun 1950-an bila mana ia turut disertai dengan perarakan beramai-ramai. Pada hari Ahad kedua tahun 1955, sambutan secara besar-besaran yang pertamakan telah diadalah dengan kehadiran lebih 1500 yang menyertai perarakan dengan memakai pelbagai kostum.

Sejak daripada itu, penduduk bandar ini akan meraikan festival Kattenstoet setiap 3 tahun. Bangunan Cloth Hall yang menjadi gudang penyimpanan pakaian satu ketika dahulu masih tersergam indah dan merupakan bangunan terbesar disini. Walaupun ia rosak teruk sewaktu Perang Dunia Pertama, bangunan ini telah dibaik pulih kerana nilai sentimentalnya pada penduduk tempatan.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Culture Trip
  3. The Globe and Mail



Hakcipta iluminasi.com (2017)