pintu masuk rumah makhunik sangat rendah

Kampung Makhunik yang terletak di bahagian selatan Khorasan, negara Iran merupakan salah satu destinasi pelancongan yang kerap menerima kunjungan orang ramai. Ini kerana Makhunik adalah sebuah perkampungan masyarakat yang mempunyai sifat-sifat unik menjadikan senibina kampung mereka juga mencerminkan ciri-ciri individu yang tinggal di dalam kampung tersebut.

Penduduknya satu masa dulu kerdil, tetapi tidaklah kerdil seperti Hobbit dalam kisah fantasi Lord of the Ring. Mereka kerdil kerana secara puratanya, saiz penduduk di sana jauh berbeza dengan saiz purata normal manusia.

Macam Hobbit jugalah agaknya!

Mengenali Kampung Makhunik

kampung makhunik desa hobit iran

Terletak 75 kilometer ke arah barat daripada sempadan Afghan, Kampung Makhunik telah pun mula dibina lebih kurang 1500 tahun yang dahulu. Ketika ini, jumlah penduduknya seramai 582 orang yang tinggal dalam 125 keluarga.

Nenek moyang masyarakat Makhunik tinggal terpencil, membina penempatan mereka berdasarkan senibina lama bercorak Neolitik yang menjadikan binaan-binaan kediaman di kampung tersebut mempunyai bentuk yang unik.

Menurut kajian, penduduk Makhunik hidup dalam keadaan terputus hubungan mereka dengan dunia luar. Aktiviti perladangan serta pertanian juga sukar dilakukan, berikutan keadaan cuaca yang kering. Bagi mendapatkan sumber makanan, penduduk Makhunik menanam lobak putih, gandum, barli dan juga sejenis kurma yang mereka gelarkan sebagai 'jujube.'

Masyarakat kerdil yang kekurangan makanan

makhunik kampung orang kecil

Oleh kerana kesukaran mendapatkan makanan, makanan ruji penduduk Makhunik adalah sejenis hidangan berasaskan sayur yang dinamakan 'kashk-beneh' yang diperbuat daripada campuran dadih susu dengan kacang serta 'pokhteek', sejenis makanan yang diperbuat daripada dadih kering dan lobak.

Disebabkan tabiat pemakanan ini, penduduk Makhunik mengalami masalah kekurangan zat serta nutrisi, menyebabkan kadar pertumbuhan badan mereka berbeza berbanding biasa. Secara puratanya, penduduk Makhunik lebih rendah 50 ke 60 cm berbanding saiz normal orang dewasa.

Selain faktor pemakanan yang menyumbang kepada penurunan saiz tubuh, faktor perkahwinan sesama mereka dalam kampung tersebut juga menyebabkan saiz mereka kekal sedemikian rupa. Selain itu wujud juga pencemaran merkuri dalam bekalan air penduduk Makhunik, yang dikatakan mampu merencatkan pembesaran tubuh penduduk di sana.

Mula berhubung dengan dunia luar

penduduk makhunik menjalankan aktiviti harian

Pada pertengahan abad ke 20, pembinaan jalan dan kemudahan pengangkutan mula memudahkan penduduk Makhunik mendapatkan bahan keperluan dari luar, dengan beras dan daging lebih mudah didapati. Ini menyebabkan diet penduduk Makhunik juga mula berubah dan mereka tidak lagi perlu bergantung kepada makanan tradisi mereka.

Majoriti penduduk Makhunik mula mendapatkan khasiat yang sepatutnya jadi generasi-generasi baru mereka selepas itu dapat membesar ke tahap yang sepatutnya.

Walaupun begitu, rumah peninggalan nenek moyang mereka tetap tidak berubah, dengan kebanyakannya masih lagi mengekalkan senibina lama tanpa perubahan boleh dilakukan. Majoriti rumah yang ada hanya mempunyai ketinggian siling sekitar 1.5 ke 2 meter, dengan beberapa buah rumah mempunyai ketinggian 1.4 meter.

Ini memaksa generasi baru penduduk Makhunik berpindah keluar berikutan kesukaran untuk mereka meneruskan hidup di kawasan asal masyarakat mereka, berhijrah ke bandar bagi mendapatkan sumber pendapatan.

Masa depan Kampung Makhunik

saiz pelancong dengan rumah di makhunik iran

Bagi mereka yang terus menetap di Makhunik, kebanyakannya sudah pun mendirikan rumah yang diperbuat daripada bata. Masih ada yang cuba meneruskan hidup dengan corak pekerjaan yang telah diwarisi sekian lama, namun keadaan cuaca yang semakin kering disebabkan kemarau menyebabkan usaha menjadi semakin sukar.

Warga tua Makhunik bergantung harap dengan bantuan kerajaan sementara bagi golongan wanita pula, mereka mengusahakan perusahaan tenunan secara kecil-kecilan bagi menyara hidup.

Rumah-rumah kerdil semakin lama semakin banyak dibiarkan kosong berikutan tekanan hidup, menjadikan Kampung Makhunik di Iran semakin sunyi. Usaha menukarkan kampung itu menjadi destinasi pelancongan cuba dijalankan, namun kedudukannya yang terpencil mungkin akan menyebabkan kampung unik ini lama kelamaan semakin sunyi, selepas pemuda dan pemudinya lebih selesa tinggal di bandar dan pekan.

Rujukan

Iran Daily

BBC


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)