Oleh pada 19 Sep 2021 kategori
zizi kirana yusuf bahrin 19

Kredit foto: Instagram @bynanaazmanstudio & Instagram Zizi Kirana

  
Kerana sikap Yusuf Bahrin yang matang dan bersopan santun, ianya menarik minat penyanyi Zizi Kirana untuk diperisterikan.
  
Pemilik nama penuh Nur Fazelah Mad Tahil ini berkata, suaminya yang juga pelakon itu bahkan tidak pernah mempersoalkan tentang jurang umur tujuh tahun antara mereka.
  
zizi kirana 157

Kredit foto: Instagram @bynanaazmanstudio

  
"Kami hanya berkenalan selama dua bulan dan alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Tarikh 29 Ogos lalu kami bertunang secara virtual. Saya senang dengan Yusuf kerana dia lelaki yang sopan dan matang berbanding usianya.
  
"Yusuf menerima saya seadanya walaupun saya lebih tua daripada dia. Saya tak rasa kekok dan janggal dengan Yusuf biarpun dia lebih muda. Lagipun saya kan suka lelaki yang lebih muda, saya suka 'anak ikan'," gurau Zizi seperti yang dipetik daripada laporan portal Harian Metro.
  
Dalam pada itu, Yusuf menambah, dia baik-baik sahaja dalam soal membabitkan kurniaan cahaya mata.
  
yusuf bahrin 149

Kredit foto: Instagram @bynanaazmanstudio

  
"Soal anak, kami tak meletakkan sebarang sasaran. Kalau ada rezeki untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat, kami terima. Kami serahkan kepada Allah saja," katanya.
  
Sebenarnya, kata Yusuf juga, dia meletakkan sasaran untuk berumah tangga ketika umurnya menginjak 35 tahun iaitu setelah mempunyai kediaman sendiri dan perniagaan, namun perancangan Allah mengatasi segalanya.
  
"Sejujurnya, saya merancang nak kahwin pada usia 35 tahun apabila sudah ada rumah sendiri dan bisnes. Tetapi ini adalah aturan Allah, hati saya digerakkan untuk berkahwin pada usia sekarang. Kalau ikut karakter pun, saya yang nampak lebih tua berbanding Zizi.
  
"Jodoh sudah tertulis jadi umur tidak penting. Apa yang penting adalah hati yang ikhlas dan jujur," katanya.
  
Ulasnya lanjut, perwatakan penyanyi lagu Eh itu pada pengamatannya begitu bersahaja, malah bertutur lembut ketika mereka berdamping sebagai sepasang kekasih.
  
zizi kirana dan yusuf bahrin

Kredit foto: Instagram Zizi Kirana

  
"Saya suka perwatakan Zizi yang sangat bersahaja. Perkara itu membuatkan saya terpikat. Zizi juga seorang yang baik hati dan menghormati orang tua. Cara dia cakap dengan saya pun sangat lembut. Tapi, bila cakap dengan kawan-kawan, caranya macam gangster pula," katanya.
  
Mengenai bulan madu, Zizi memberitahu yang mereka belum meletakkan sebarang perancangan, namun mempunyai hajat untuk menunaikan umrah.
  
"Insya Allah, impian untuk menunaikan ibadah umrah di Makkah apabila sempadan antarabangsa dibuka kelak," katanya.
  
Bercerita lagi, kata Zizi, di sebalik majlis akad nikah yang berlangsung hari ini, mereka sebenarnya hanya mendapat tarikh dan lokasi pada hari Jumaat lepas!
  
zizi kirana kahwin 462

Kredit foto: Instagram Zizi Kirana

  
"Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar. Kalau nak tahu.. hari Jumaat lepas baru kami dapat tarikh dan lokasi nikah! Semuanya dilakukan saat-saat akhir," Zizi membuka rahsia.
  
Sambungnya, "Syukur pernikahan kami ini dipermudahkan. Doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal sampai ke Jannah.
  
"Insya-Allah, kami merancang untuk mengadakan dua majlis resepsi iaitu di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka pada Disember depan".
  
Wanita itu kelihatan jelita dalam persalinan hitam klasik direka oleh Shanell Harun, manakala tatarias dipertanggungjawabkan kepada jurusolek Datuk Alha Alfa.
  
Pasangan ini dinikahkan di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju di ibu kota pada pukul 10.40 pagi tadi.
  
Pernikahan secara tertutup yang menurut prosedur operasi standard (SOP) itu hanya menyaksikan tetamu di kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.
  
Zizi menerima mas kahwin RM300, selain cincin, gelang tangan dan senaskhah al-Quran.
  
   
zizi kirana nikah

Kredit foto: Instagram Zizi Kirana

  

Kredit video: Akad Nikah Zizi Kirana & Yusuf Bahrin, Pilih Songket Emas, Rancang Majlis Resepsi Disember Ini

  
  


Hakcipta iluminasi.com (2017)