Setiap hari, rumah Zanilawati Mohd. Noor, yang berusia 41 tahun tidak lekang dengan gelak tawa. Keseorangan selepas bercerai dengan suaminya, Zanilawati tidak menyangka hidupnya berubah selepas ayah beliau, Mohd.Noor Muda jatuh sakit, yang pada ketika itu menjaga 6 orang adiknya.

Atas keadaan ayahnya yang semakin tidak mampu menjaga anak-anaknya, Zanilawati bersetuju untuk menjagakan keenam-enam adiknya itu. Cuma perlu diketahui, mereka adik-beradik tiri yang berkongsi ayah, namun berlainan ibu. Ibu kepada adik-beradik tiri Zanilawati yang bernama Ramlah binti Ismail terkorban dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2013.

BESARKAN TEKS     A-  A+

2017 07 11 09 23 48

Adik-beradik tirinya memulakan kehidupan bersama Zanilawati di Pontian, Johor meninggalkan ayah mereka di Machang, Kelantan atas desakan hidup. Tidak ada sesiapa dapat menguruskan mereka. Memang berat hati adik beradik itu mahu meninggalkan ayah di Machang tetapi pengorbanan itu terpaksa dilakukan.

Secara berseloroh, Zanilawati menceritakan hajatnya selama ini pernah merancang untuk mengambil salah seorang adik tirinya untuk dijaga, kerana Zanilawati tidak dikurniakan cahaya mata hasil perkahwinan.

Tidak disangka jalan hidup Zanilawati membolehkan dia menjaga keenam-enam adiknya seperti anak sendiri.

Untuk itu, Zanilawati terpaksa mengorbankan kerjayanya sebagai seorang pengawal keselamatan bagi memberikan fokus penuh menjaga adik-adiknya yang semuanya sudah bersekolah. Memang perit kehidupan mereka kerana bergantung sepenuhnya dengan wang bantuan bulanan yang disumbang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, bagi menyara keluarga mereka yang agak besar ahlinya.

Empat orang adiknya berstatus OKU mengalami masalah pembelajaran yang memerlukan perhatian lebih di sekolah dan di rumah, sehingga ditempatkan dalam kelas pendidikan khas bagi membantu mereka mencapai tahap pendidikan yang diharapkan.

Kini, mereka tujuh beradik menetap di sebuah rumah pangsapuri di Taman Sri Api-Api, Pontian dengan hanya mengharapkan ehsan penduduk setempat, bantuan kewangan dan bantuan zakat.

Bagi Zanilawati, walaupun susah dari segi kewangan, beliau tetap tabah untuk mengorbankan hidupnya bagi memastikan masa depan adik-adiknya terjaga. Kerenah dan perangai adik-adiknya itu tetap ditempuh dengan tabah kerana dialah satu-satunya tempat untuk mereka dapat bergantung harap.

Nota - Jika anda mempunyai maklumat tentang keluarga ini, mohon kongsikan kepada kami untuk kami masukkan ke dalam artikel ini bagi meringankan beban yang mereka tanggung.

Rujukan




Hakcipta iluminasi.com (2017)