Oleh pada 09 Sep 2017 kategori

Baru-baru ini kita dikejutkan sekali lagi dengan berita bapa meliwat anaknya ketika menunaikan umrah. Apa sudah jadi dengan kita sekarang? Adakah ia sudah menjadi perkara biasa sehingga ia mampu berlaku, malah di tempat sebegitu suci?

Ramai yang mencaci dan memaki hamun perbuatan tersebut kerana kelihatan besar salahnya. Namun perkara itu datang dari kita sendiri. Sekecil-kecil perbuatan kita akan memberikan impak kepada orang lain. Adab dan sifat peribadi perlu diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi dan sebagai ibu bapa, kita harus memberikan contoh yang terbaik supaya anak-anak tidak menjadi seperti manusia ini di kemudian hari.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ikuti luahan oleh saudara Akhi Fairuz Al-Jengkawi mengenai pengalaman beliau menyaksikan contoh yang baik oleh seorang bapa, Megat Zaidi kepada anak-anaknya.

Saya tertarik dengan satu situasi yang berlaku di hadapan mata. Ketika itu, saya di sebuah kedai makan area Bidor, Perak. Mata saya tak lekang dari memandang meja hadapan. 5 orang adik beradik sedang duduk di meja makan sambil menikmati sarapan pagi. 

Paling tua antara mereka lebih kurang 10 atau 11 tahun. Paling muda pula lingkungan 3 atau 4 bulan. Saya melihat si abang tekun menjaga adik kecilnya. Didukung, diacah, digeletek. Bayi kecil ini tertawa dibuatnya. 3 orang yang lain pula, tertib sekali di meja makan. Tak berebut makanan, tak ada nak pegang-pegang gadjet, buat sepah, terpekik terlolong. 

Dalam hati saya dok cakap mesti ibubapa mereka mendidik dengan baik. Namun yang membuat saya hairan, di mana ibu dan ayah mereka. Abang ipar di sebelah saya kata si ayah ada dalam kereta. Mungkin sedang buat susu untuk si kecil. Tak lama kemudian, muncul seorang lelaki berseluar jeans, berbaju hitam dan berambut panjang. Persis seorang rocker sejati. 

bapa penyayang eddy

Rupa-rupanya itu bapa mereka. Sampai di meja, terus sahaja dipegang bayi kecilnya, didakap erat-erat, dicium pipi serta perut dan digeletek. Saya yang memandang berasa begitu takjub! Luarannya nampak macam kasar, namun cara beliau melayan anak-anak sangat lembut dan berhemah. 

Kemudian, beliau ajak anak-anak makan bersama. Anaknya hanya menuruti arahan si ayah. Meja kami dekat, jadi dengarlah mereka bersembang.

Masa ini saya fikir, aku kena jumpa abang ni. Aku yang anak 2 orang pun dah kelam kabut nak jaga. Apatah lagi melayan kerenah mereka di kedai makan, mall atau apa sahaja lokasi. Kejap berebut makanan, bagi tumpah air, pendek kata adalah perkara tak terjangka boleh mereka lakukan.

Abang ni jaga 5 orang sekali anaknya. Steady sahaja. Sungguh memberi inspirasi! Aku mesti jumpa beliau sikit lagi. Habis sahaja makan, aku dan abang ipar ke meja mereka. Terus sahaja bersalam dan kenalkan diri. Aku sebut betapa terujanya aku melihat beliau bersama anak-anak. 

Si bapa memperkenalkan diri. Nama beliau Eddy Edyna. Sudah 7 tahun beliau menjaga 5 orang anaknya ini. Isteri tidak ada di Malaysia. Bekerja di Arab Saudi. (terlupa tanya kerja apa, tetapi saya rasa isterinya jururawat di sana) . Saya minta izin untuk bergambar. Saya kata mahu kongsikan kisah beliau ini kepada rakan-rakan facebook. Beliau bersetuju. 

Sebaik sahaja bersalam, kami minta izin untuk beransur dahulu bagi meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Saya tidak sempat meminta tips parenting dari beliau. Maklumlah, masa ni cuba elak jammed, berpusu-pusu orang pulang ke KL selepas cuti Aidiladha. 

Namun yang saya nampak adalah, beliau seorang yang penyabar dan intonasi suara yang lunak ketika berbicara dengan anak-anak. Dalam perjalanan, saya banyak mendiamkan diri. Fikiran saya ligat membayangkan kisah-kisah bapa yang tak bertanggungjawab merosakkan anak sendiri. 

Apa sudah jadi dengan segelintir lelaki masa kini? Panas baran hingga memukul anak sampai lembik. Si isteri juga menjadi mangsa. Tak cukup dengan itu, ada sebahagian bapa yang masih layan porn. Anak dah sekolah, namun tabiat buruk beronani masih diteruskan. Mereka tak sedar perbuatan ini akan beri kesan pada mental dan perilaku. 

Contoh apa yang kita nak berikan pada anak-anak? Saya yakin setiap dari kita, yang bersih hatinya pasti rasa sayu, pilu, geram, marah dan 1001 perasaan saat mengikuti kisah bapa yang meliwat anaknya lebih 600 kali.

Walau beliau sudah dijatuhkan hukuman, namun kita tak dapat nafikan di luar sana berkeliaran sex predator yang berpotensi merosakkan anak sendiri, anak sedara mereka bahkan anak kita sendiri. 

Wahai ayah, berilah kasih sayang yang sebenar pada anak-anak. Bahasa yang paling mudah untuk mendapat respect anak-anak adalah bahasa kasih sayang.

Paling penting sekali, jangan mudah terpedaya dengan penampilan seseorang. Nampak alim, pakai kopiah, pergi umrah haji, pendek kata wajahnya tak menggambarkan sifatnya yang sebenar. Hati busuk persis serigala yang mahu membaham mangsa.

Boleh jadi mereka yang pakai jeans, tshirt lambang tengkorak serta berambut panjang itu lebih baik dari yang acah-acah alim dalam pandangan kita.

Moga Tuhan permudahkan urusan kita untuk mendidik anak-anak dengan hikmah dan kesabaran. Amin.

Note editor : Brader metalhead yang disebutkan ada komen pada posting asal saudara akhi fairuz. Dikhabarkan beliau akan berkongsi tips bagaimana beliau mendidik anak di laman fb. Anda boleh megikuti pada pautan ini




Hakcipta iluminasi.com (2017)