tidak cukup tidur

Kajian terbaru yang dilakukan oleh sekumpulan saintis daripada University of Hong Kong untuk melihat kesan kekurangan waktu tidur bagi para doktor di hospital tempatan menunjukkan majoriti doktor yang terpaksa bekerja lebih masa atau oncall mempunyai jumlah kerosakan DNA yang lebih tinggi.

Selain itu, penemuan juga menunjukkan tahap aktiviti gen yang lebih rendah bagi gen yang dikaitkan dengan fungsi pembaikkan DNA. Kajian ini merupakan yang pertama seumpanya untuk mengkaji kesan seperti itu terhadap manusia, terutama golongan dewasa yang masih muda.

Menurut Dr. Gordon Wong Tin-chun, penerbit bersama kajian ini dan Professor Madya di Jabatan Anestesiologi di University of Hong Kong, walaupun kajian ini masih diperingkat awal, ianya merupakan indikasi yang menunjukkan kekurangan tidur tidak baik untuk anda dan juga gen anda.

Kerosakan pada struktur DNA

dna 924

Kerosakan DNA bermaksud perubahan dalam struktur asas arahan genetik untuk pertumbuhan sel dan fungsi dalam organisma, dan perubahan ini tidak diperbaiki apabila molekul direplikasi.

Menurut Dr. Gordong Wong, kerosakan pada DNA dan pengurangan kemampuan untuk membaikinya akan memberi implikasi pada kesihatan. Keadaan ini akan meningkatkan risn untuk mendapat penyakit yang disebabkan oleh mutasi genetik seperti kanser.

Walaupun kajian ini dilakukan pada kumpulan responden yang bekerja sebagai doktor, beliau mengatakan kesan yang sama turut dialami oleh pekerja yang mempunyai corak atau waktu kerja yang sama seperti doktor yang terpaksa bekerja pada waktu malam. Hasil kajian ini telah diterbitkan dalam Anaesthesia, sebuah jurnal perubatan.

Untuk tujuan kajian ini, kumpulan pengkaji ini telah menjalankan kajian terhadap 49 orang doktor yang sihat dari 2 buah hospital tempatan. Daripada jumlah ini, 24 daripadanya perlu bekerja lebih masa pada waktu malam atau oncall sebanyak 5 atau 6 kali setiap bulan.

Bagi yang tidak tahu, sesi oncall bermaksud seseorang doktor itu perlu bekerja daripada lewat tengah hari dan bersambung sehingga ke waktu pagi keesokan harinya. Sementara itu, baki 25 doktor lagi yang terlibat dalam kajian ini langsung tidak perlu bekerja lebih masa atau oncall.

Keputusan daripada ujian darah

ujian darah 362

Bagi mengkaji sekiranya terdapat sesuatu kesan pada seseorang yang tidak cukup tidur ini, sampel darah telah diambil daripada semua peserta selepas 3 hari mereka memperoleh waktu tidur yang mencukupi.

Sampel darah tambahan juga diambil daripada kumpulan responden yang terpaksa bekerja lebih masa. Sampel tambahan ini diambil daripada responden diambil keesokan harinya sebaik sahaja doktor tersebut menamatkan waktu kerja tambahan mereka.

Daripada ujian darah ini, kumpulan pengkaji ini mendapati secara umumnya doktor yang terlibat dengan oncall ini mempunyai 30% lebih kerosakan pada DNA mereka berbanding doktor yang langsung tidak perlu melakukan oncall.

Selain itu, kerosakan DNA ini juga menunjukkan peningkatan tambahan sebanyak 25% selepas para doktor ini melalui malam kekurangan tidur akut kerana oncall. Doktor yang tidak mempunyai waktu tidur mencukupi ini juga didapati mempunyai pengurangan kadar aktiviti gen yang berkaitan dengan pembaikan DNA.

Walau bagaimanapun, mekanisma bagaimana kekurangan tidur boleh menyebabkan kerosakan pada DNA ini masih lagi belum ditemui secara jelas dalam kajian ini. Para pengkaji ini berharap hasil kajian ini akan memberikan kesedaran kepada orang awam tentang betapa pentingnya mendapat tidur yang mencukupi.

Saranan waktu tidur yang mencukupi

tempoh tidur

Menurut laman sesawang US Centres for Disease Control and Prevention, waktu tidur yang dicadangkan setiap manusia adalah berbeza mengikut peringkat umur. Orang dewasa yang berada dalam lingkungan umur 18 tahun hingga 60 tahun memerlukan waktu tidur sekurang-kurangnya 7 jam setiap hari.

Professor Michael Irwin, Ketua Jabatan Anestesiologi dan penulis jurnal kajian ini mengatakan impak kepada kekurangan waktu tidur ini bukan sahaja kepada fizikal, tetapi juga psikologi. Selain itu, ia juga mampu mempengaruhi kewarasan otak untuk membuat keputusan.

Kredit:

  1. South China Morning Post
  2. Daily Mail Online

tags :, , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)