Oleh pada 09 Feb 2018 kategori

Sumber foto: peraktoday.com.my

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berasa kecewa ke atas langkah Kerajaan Bangladesh yang membuat keputusan bagi menghantar semula pelarian Rohingya di kem ke negara asal, Myanmar.

Menurut Pengurus Besar Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor, pihaknya menyarankan proses penghantaran semula etnik Rohingya ke negara asal ditamatkan segera sehingga mereka diberikan hak terpenting iaitu kewarganegaraan.

Beliau memberitahu, saranan tersebut dikemukakan untuk membolehkan masyarakat Rohingya balik ke negara asal mereka tanpa sebarang ketakutan dan kerisauan.

Menurutnya, buat masa ini Bangladesh merekodkan jumlah tertinggi iaitu sekitar 900,000 pelarian baru yang sedang berlindung, selain di segelintir negara berdekatan termasuk Malaysia.

"Cadangan menghantar pelarian Rohingya di Bangladesh pulang ke Myanmar dalam tempoh terdekat perlu dinilai secara teliti dengan melihat kesan negatif dan positif terhadap mereka.

"Ini mengambil kira keadaan semasa negara berkenaan dan di wilayah Arakan (Rakhine) yang tidak mempunyai jaminan keamanan," ujarnya menerusi sebuah kenyataan semalam.

Mohd Hakim memberitahu, Burma Human Right Network (BHRN) Myanmar baru-baru ini melaporkan penemuan sejumlah 5 kubur berdekatan kampung Gu Dar Pyin di wilayah Arakan (Rakhine) yang memperlihatkan terjadinya pembunuhan secara besar-besaran di wilayah terbabit.

"Adakah kita mahu melihat pelarian yang dihantar semula ini mengalami nasib sama sedangkan pembunuh masih hidup berleluasa tanpa sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka.

"Lebih malang lagi apabila Pasukan Pemantau Khas dari PBB diketuai Yanghee Lee masih dihalang masuk dan tidak diberikan visa untuk menganalisis situasi yang berlaku di wilayah bergolak itu," ujarnya.

Jelasnya lagi, kubur yang dijumpai merupakan bukti kukuh menjelaskan tentera Myanmar menyerang lelaki, wanita, orang tua dan kanak-kanak Rohingya yang tidak bersalah.

Bahkan, jumlah pelarian Rohingya terbaru menjadi ukuran yang ketara bahawa faktor utama isu berkenaan masih tidak ditamatkan.

"Jadi, kegusaran ini sangat wajar dengan melihat sikap Myanmar yang masih tidak berubah dan pendirian mereka terhadap umat Islam Rohingya masih sama iaitu tidak mengiktiraf etnik berkenaan," ujarnya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)