Oleh pada 16 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Kosmo Online

Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN) semalam, setelah dimasukkan ke wad disebabkan jangkitan kuman di dada .

Bernama melaporkan bahawa pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dibenarkan keluar setelah menerima rawatan sekitar seminggu.  

Menerusi sebuah kenyataan ringkas, IJN memaklumkan bahawa bekas perdana menteri berumur 92 tahun itu dimasukkan ke IJN pada 9 Februari lepas setelah diserang batuk.

Dr Mahathir dikhabarkan keluar dari IJN sekitar pukul 4.45 petang semalam dan bakal berehat buat beberapa hari.

Menerusi akaun Twitter miliknya, beliau mengucapkan terima kasih terhadap semua pihak yang tidak henti-henti mendoakan kesihatannya.

"Saya ucap terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan saya. Alhamdulillah," ujarnya setelah diizinkan keluar.

Untuk pengetahuan, ini merupakan kali kedua menerusi jangka masa 18 bulan calon perdana menteri HARAPAN itu dimasukkan ke IJN berikutan jangkitan di dada, setelah Ogos 2016 bagi tujuan rawatan dan pemerhatian.

Oleh itu, beberapa program HARAPAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terpaksa dibatalkan.

Terdahulu, Dr Mahathir turut membatalkan program kempen serta ceramah yang sepatutnya diadakan di penempatan Felda, Bentong Sabtu lepas.

Sumber berita:

1.    Malaysiakini

2.    The Malaysian Insight

3.    Free Malaysia Today




Hakcipta iluminasi.com (2017)