Oleh pada 09 Jul 2021 kategori

Ivar Ragnarsson yang juga dikenali sebagai Ivar the Boneless adalah antara Viking yang paling ditakuti dalam sejarah. Namun, dia dilahirkan kurang upaya dan tidak boleh berdiri sendiri tanpa bantuan.

Dalam tradisi Viking, seseorang seperti ini biasanya akan dibunuh ketika bayi tetapi Ivar dilindungi kerana dia merupakan anak seorang panglima Viking terkenal.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, dia adalah orang yang memimpin Great Viking Heathen Army atau Tentera Kafir Viking Terhebat (dianggap kafir oleh penganut Kristian yang merupakan agama utama di Eropah). Penaklukan Ivar ke atas Britain merupakan satu sejarah hitam bagi negara itu.

Siapakah sebenarnya Ivar the Boneless?

Mungkin ramai yang mengenali watak Ivar the Boneless melalui rancangan TV Vikings. Namun, watak Ivar dalam siri itu adalah imaginasi pengarah. Selain daripada seorang Viking yang tidak dapat berjalan, tidak banyak yang diketahui secara tepat tentang Ivar yang sebenar.

Dalam sumber sejarah Inggeris, Ivar Ragnarsson dianggap sebagai "Iblis Dari Neraka". Manakala dari sudut Viking pula, dia merupakan dewa dalam bentuk manusia yang mempunyai kekuatan ghaib.

arca ivar ragnarsson

Arca Ivar Ragnarsson

Menurut legenda Norse, Ivar the Boneless dilahirkan tanpa tulang di dalam tubuhnya. Ibunya, Aslaug, adalah seorang dukun. Manakala bapanya, Ragnar Lodbrok, merupakan seorang panglima perang yang terkenal.

Dalam legenda itu juga, Aslaug telah memberi amaran kepada Ragnar ketika baru berkahwin. Jika Ragnar tidak menunggu tiga malam sebelum menidurinya, maka anak yang bakal dilahirkan akan mengalami kecacatan.

Ragnar tidak memperdulikan amaran itu dan tetap meniduri isterinya. Maka, lahirlah Ivar Ragnarsson dalam keadaan kurang upaya.

Pendapat sejarawan dan pengkaji

Para pengkaji mempunyai perbezaan pendapat berdasarkan legenda Norse mengenai Ivar the Boneless. Jika seseorang itu dilahirkan tanpa tulang sama sekali, maka adalah sangat sukar untuk hidup.

Sejarawan moden mempunyai beberapa teori menarik mengapa Ivar mendapat gelaran sedemikian. Sebilangan besar berpendapat bahawa Ivar mengalami gejala yang disebut sebagai osteogenesis imperfecta di mana penghidap menderita penyakit tulang rapuh.

ragnar lodbrok dan anak anak

Ragnar Lodbrok dan anak-anaknya dalam siri TV Vikings

Rekod pada kurun ke-17 pula menceritakan bahawa seorang petani menemui tinggalan mayat Ivar yang mempunyai ketinggian sembilan kaki.

Jika benar, maka Ivar mungkin mengalami gejala gigantism seperti Robert Wadlow yang merupakan lelaki tertinggi dalam sejarah. Wadlow memerlukan pendakap kaki serta tongkat untuk berdiri.

Tentera Viking Terhebat Ivar Ragnarsson

Tidak seperti siri TV Vikings, Ivar tidak bertengkar dengan adik-beradiknya atau membunuh mereka. Dia sebenarnya sangat sayangkan keluarganya. Ketika bapanya meninggal dunia, adik-beradiknya bergantung kepada Ivar untuk memimpin mereka. 

Kematian bapanya menjadi saat penting dalam hidup Ivar. Ragnar Lodbrok ditangkap oleh Raja Ella atau Aelle dari kerajaan Northumbria (utara England). Ragnar telah dicampak ke dalam sebuah lubang yang dipenuhi ular berbisa.

Ketika berita itu sampai kepada Ivar, dia menuntut untuk mendengar setiap perincian bagaimana bapanya dibunuh. Dia ingin diselubungi kebencian sepenuhnya sebelum membalas dendam.

tentera ivar ragnarsson

Ivar kemudian membentuk tentera yang digelar Inggeris sebagai Tentera Kafir Terhebat untuk bertempur dengan Northumbria. Menurut penulisan pada zaman itu, Ivar merupakan panglima terhebat dan tiada tandingan.

Ini bermakna Ivar Ragnarsson bergantung kepada kekuatan mindanya untuk memimpin. Menurut sejarah Vikings, Ivar tetap turun ke medan perang walaupun diangkat menggunakan perisai bagi menaikkan semangat tenteranya. Ivar akhirnya berjaya menakluki Northumbria.

Viking mengenakan hukuman "Blood Eagle" terhadap Raja Aelle di mana mereka merobek tulang rusuk raja itu dari belakang dan menarik paru-parunya keluar. Tulang rusuk yang terkeluar itu kelihatan seperti sepasang sayap berdarah. Malah, mereka menabur garam ke atas lukanya agar raja itu merasai kesakitan maksimum.

Ivar Ragnarsson menawan England

Tidak hanya Northumbria, Ivar berhasrat untuk menakluk seluruh England. Seorang penulis Inggeris, Simeon of Durham, menceritakan bahawa setiap tempat yang dilalui tentera Ivar mengalami kemusnahan teruk. Apa yang tinggal hanyalah runtuhan bangunan.

peta lama britain

Sasaran Ivar yang paling sukar adalah kerajaan Mercia yang merupakan kerajaan terbesar dan lambang kekuatan England. Tentera Ivar menghabiskan masa lebih daripada setahun untuk menyerang pertahanan Mercia.

Akhir, mereka berjaya menembusi tembok pertahanan dan membunuh orang-orang di dalamnya. Dengan kejatuhan Mercia, seluruh England tidak mempunyai peluang berhadapan dengan tentera Viking.

Kematian Ivar The Boneless

Menjelang 870 Masihi, penguasaan Ivar Ragnarsson ke atas Britain tersebar sehingga ke Dublin, Ireland. Tanpa diduga, Ivar meninggal dunia secara mengejut pada tahun 873. Sejarawan berpendapat bahawa penyakit yang dihidapi Ivar itu telah meragut nyawanya sendiri.

Satu-satunya maklumat bertulis yang ada diambil dari buku Annals of Ireland yang menyebut "Raja Norway (Ivar) telah mati secara tiba-tiba akibat penyakit dan kematiannya menggembirakan Tuhan".

ivar ragnarsson vikings

Legenda mengatakan bahawa Ivar meminta agar mayatnya dikebumikan di tempat yang mudah terdedah kepada serangan. Selagi jasadnya ditanam di situ, tiada siapa yang dapat mengalahkan tentera Viking.

Ramalan Ivar Ragnarsson seakan-akan menjadi kenyataan apabila sejarah menunjukkan bahawa tiada siapa yang berjaya mengusir tentera Viking dari Dublin sehinggalah William I of England atau lebih dikenali sebagai William The Conqueror menggali mayat panglima itu dan membakarnya menjadi abu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)