ritual korban kuno jahiliyah

Sejak ribuan tahun lalu, manusia sudah mengamalkan ritual korban manusia atas pelbagai sebab. Malah, amalan dan ritual sebegini juga banyak dicatatkan dalam sejarah dalam zaman, tempat dan budaya yang berlainan.

Walau bagaimanapun, boleh dikatakan ritual korban manusia sudah pupus pada zaman kini memandangkan pemikiran manusia semakin matang dan banyak negara memperkenalkan undang-undang yang mengharamkan amalan sebegini diamalkan. Kali ini, kami ingin kongsikan 7 budaya kuno yang mengamalkan ritual korban manusia atas pelbagai sebab. 

1. Mound 72

mound72

Busut 10 kaki (3 meter) yang dipanggil Mound 72 oleh ahli arkeologi zaman moden ini ditemui menyimpan mayat 272 orang, kebanyakannya dikorbankan. Ia terletak di Cahokia, sebuah bandar yang terletak berhampiran St. Louis zaman moden yang berkembang pesat dari 1050 M hingga 1200 M.

Tapak arkeologi ini sangat rumit tetapi para arkeologi mengatakan bahawa ianya menempatkan mayat orang dikorbankan secara beransur-ansur dalam beberapa siri  korban. Dalam satu upacara korban, 52 wanita kurang zat berumur 18 hingga 23 tahun, bersama seorang wanita berusia 30-an, telah dikorbankan pada masa yang sama.

Dalam upacara korban lain, 39 lelaki dan wanita telah dipukul hingga mati. Busut itu turut memuatkan mayat dua individu yang tertimbus dengan 20,000 biji cengkerang. Ada kemungkinan bahawa sebahagian atau semua amalan korban disini didedikasikan untuk dua individu itu.

2. Tamadun Inca

Tamadun Inca berkembang pada abad ke-15 M, menakluki kawasan besar di Andes dan menghubungkannya dengan sistem jalan raya yang luas. Orang Inca juga mengamalkan ritual korban kanak-kanak (Children of Llullaillaco) dan ini dapat dibuktikan melalui penemuan mumia mereka oleh ahli arkeologi, selalunya berhampiran puncak gunung atau gunung berapi.

Dalam satu laporan terkenal, tiga mumia kanak-kanak ditemui berhampiran tinggalan kuil di Gunung Llullaillaco — gunung berapi aktif setinggi 22,100 kaki (6,740 meter) di sempadan Chile dan Argentina. Penyelidik mendapati bahawa pada tahun sebelum mereka meninggal mereka "digemukkan" dengan diet jagung dan daging llama kering; dan sebelum kematian mereka, mereka diberi bir jagung dan daun koka. Bagaimana sebenarnya mereka dibunuh tidak diketahui.

3. Tamadun Maya

ritual korban tamadun maya

Tamadun Maya purba mengamalkan ritual korban manusia pada majlis-majlis khas. Pengorbanan ini kadang-kadang dilakukan di kuil mereka, dan ramai daripada mangsa mungkin merupakan tawanan perang. Di bandar purba Chichen Itza, mangsa dicat biru, sebagai penghormatan kepada dewa hujan Chaak, sebelum dikorbankan dan dibuang ke dalam perigi.

Sesetengah ahli arkeologi percaya bahawa dalam permainan bola Maya akan berakhir dengan ahli pasukan yang kalah atau menang dikorbankan. Bukti pengorbanan ini kebanyakannya ditemui dalam penggambaran seni Maya, dan tidak semua ahli arkeologi mentafsirkan imej itu sebagai mewakili pengorbanan pasukan bola.

4. Aztec

Tamadun Aztec di Mexico berpusat di bandar purba Tenochtitlán, di tempat yang kini dikenali sebagai Bandar Raya Mexico, dan berkembang pesat pada abad ke-14 dan ke-15 Masihi. Rekod artistik, arkeologi dan teks menunjukkan bahawa upacara korban manusia berlaku di Tenochtitlán, terutamanya di Templo Mayor, salah satu kuil terbesar dimana Tzompantli (rak tengkorak) telah ditemui.

Sepanyol menakluki Aztec pada abad ke-16, membawa bersama mereka penyakit yang membunuh dan mengurangkan populasi orang Aztec. Orang Sepanyol kadangkala menggunakan alasan amalan korban manusia tamadun Aztec untuk mewajarkan penaklukan mereka ke atas Aztec.

5. Hitobashira

hitobashira 170

Satu lagi contoh pengorbanan manusia boleh didapati dalam kisah Hitobashira, iaitu ritual korban manusia yang terdapat di dalam dinding atau lantai struktur penting seperti istana. Berapa kerap amalan ini berlaku dan struktur mana yang sebenarnya mempunyai korban manusia yang dibina di dalamnya masih menjadi perdebatan.

Menurut legenda, Istana Maruoka (dibina pada 1576) mengandungi mayat mangsa korban seorang wanita petani bernama Oshizu, yang bersetuju untuk dikorbankan supaya anaknya boleh diangkat statusnya sebagai ahli kelas samurai. Sebelum ini kami juga pernah menulis panjang mengenai ritual hitobashira ini. 

6. Hawaii

Upacara korban manusia telah dilakukan di Hawaii selewat-lewatnya pada abad ke-19. Ia mungkin berfungsi sebagai cara untuk ahli elit pulau itu membantu mengekalkan kawalan mereka ke atas populasi penduduk. Orang Eropah yang melawat pulau itu merekodkan amalan itu, dengan satu lukisan terkenal menunjukkan seseorang dipukul hingga mati ketika berbaring di atas batu.

Walau bagaimanapun, ada kemungkinan bahawa akaun ini diperbesar-besarkan sebagai cara untuk menggambarkan budaya Hawaii sebagai ganas, seterusnya menjadikannya sebagai alasan untuk orang Eropah dan Amerika untuk menguasai pulau itu.

7. Vikings

Orang Viking kadangkala mengorbankan golongan hamba setelah pemiliknya meninggal dunia. Di Flakstad, Norway, ahli arkeologi menemui pengebumian 10 orang, yang sebahagiannya telah dipenggal. Analisis diet mereka mendedahkan bahawa individu yang dipancung mengambil lebih banyak protein berasaskan ikan.

Bagi mangsa yang bahagian kepalanya masih ada, kajian menunjukkan mereka mengambil lebih banyak protein daripada tenusu dan haiwan darat. Pasukan pengkaji itu percaya bahawa individu yang dipenggal berkemungkinan dikorbankan selepas kematian pemiliknya.

Kredit:

  1. Live Science
  2. National Geographic


Hakcipta iluminasi.com (2017)