Oleh pada 13 Dec 2017 kategori

Akibat Fattah Amin 'lari' dari set program hiburan Meletop, pihak Astro diserang soalan panas - apakah situasi sebenar yang berlaku sehingga hal sedemikian terjadi?

Ketika tiada penjelasan sebenar didedahkan, timbul pula spekulasi mengatakan kononnya Fattah tidak mahu Neelofa mengendalikan segmen temubual bersamanya di awal rancangan.

Menafikan dakwaan berkenaan, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal berkata, Fattah sememangnya mempunyai urusan kecemasan lain dan terpaksa bertolak pulang beberapa minit sebelum program itu ke udara.

isu fattah lari dari set meletop selesai ini penjelasan sebenar 1

"Jika Fattah tak nak jumpa Neelofa, dari awal lagi dia tak datang dan terus balik sebaik saja selesai bersiaran bersama Hlive.

"Dia memang sudah bersedia di belakang pentas tapi beberapa minit sebelum kami nak bersiaran secara langsung, dia terpaksa pulang.

"Sebab ada urusan yang tidak dijangkakan dan tidak dapat dielakkan," kata Emarina kepada portal Mstar Online, hari ini.

Emarina menjawab spekulasi Fattah yang didakwa enggan ditemubual Neelofa dalam rancangan hiburan berkenaan.

Dalam pada itu, Emarina merakamkan penghargaan kepada Fattah yang sanggup memandu dari Kedah semata-mata untuk menghadiri undangan itu.

"Kami ingin berterima kasih pada Fattah dan pihaknya yang sanggup memandu pagi-pagi dari Kedah untuk promosi drama terbarunya.

"Kalau diikutkan jadual Fattah sangat padat dan dia juga terpaksa membatalkan mesyuarat penting untuk hadir ke program yang sudah dijadualkan," ujarnya.

Di kesempatan yang sama, pihak Astro memohon maaf kerana status yang diposkan ke laman Instagram mereka telah menimbulkan pergaduhan di kalangan netizen.

Jelas Emarina, kekeliruan yang tercetus antara pihak Neelofa mahupun Fattah sudah diselesaikan secara baik sejurus program tamat.

"Kami mohon maaf sebab tidak nyatakan secara jelas mengenai situasi ketika itu. Fattah memang ada tapi dia tidak dapat hadir secara langsung.

"Kekeliruan antara pihak Lofa dan Fattah juga sudah selesai selepas program tamat bersiaran," kata Emarina.

Kredit foto: Instagram @aqoimran

Sumber berita: Mstar 




Hakcipta iluminasi.com (2017)