Kredit foto: Instagram Aliff Syukri

Isteri jutawan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid mendedahkan sifat suaminya yang dikenali beliau dalam tempoh 11 tahun usia perkahwinan.

Sebelum ini, pelantun Abang Nak Tegur 2.0 ini sering diasak kritikan netizen yang mengasihaninya kerana beroleh seorang suami 'gila glamor'.

Menjawab cemuhan itu, bekas anggota kumpulan nasyid Solehah ini mempunyai sebab tersendiri untuk terus kekal setia di samping Aliff yang juga ahli perniagaan terkemuka itu.

"Bila orang komen kasihan isteri dapat suami sebegini tapi orang yang komen tak tahu siapa suami saya.

"Dia baik daripada orang lain. Lainnya dia (Aliff Syukri) dia tidak pernah keluar malam, tak melepak dan tidak mengutuk orang sesuka hati dia.

"Dia lebih pentingkan keluarga, malah kalau nak keluar pergi kedai bunga pun dia akan ajak saya.

"Aliff Syukri seorang anak yang sangat sayangkan ibunya. Saya tidak pernah bertemu dengan lelaki sebaik ini yang sampaikan setiap kali masakkan hidangan untuk ibunya dia akan hias cantik-cantik. Kalau boleh suap pun dia akan suap.

"Jujur saya katakan, dia seorang lelaki yang sangat menghormati orang lain terutama yang lebih berusia," katanya kepada portal Astro Gempak.

Biarpun begitu, Shahida akui suaminya seorang yang bersuara lantang ketika naik angin, walaupun kerenah itu tidak berlarutan lama.

"Sepanjang hidup saya bersama dia, apa yang boleh saya simpulkan dia memang mulut cabul, tapi kalau marah dia cuma 5 minit kemudian sudah reda," kata Shahida yang sedang hamil enam bulan.

Beliau membuat kenyataan tersebut sewaktu percutian sempena meraikan keluarga, kaki tangan dan stokis terbaik d'Herbs Terlajak Laris, di Lombok, Indonesia.

Aliff dan Shahida mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007, dan sehingga kini dikurniakan tiga orang anak iaitu Ammar Ahyan 9, Qadejah El Zahra, 7, dan Ibraheem Adham, 5.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)