Apabila anda membuat laporan polis, secara ringkasnya apa yang mereka perlu lakukan adalah mengumpul segala maklumat, dan memfailkan laporan penyiasatan kepada Pendakwa Raya (PP), yang turut dikenali sebagai Peguam Negara atau Attorney General (AG).

Anda mungkin pernah mendengar banyak tentang AG dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam laporan akhbar di mana penjenayah dituduh di mahkamah, namun adakah anda tahu tugas sebenar AG dan DPP? Pertamanya, mari kita fahami siapakah yang layak untuk menjadi AG di Malaysia. Adakah sesiapa sahaja layak untuk memohon jawatan ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bukan Mudah Untuk Menjadi Seorang Peguam Negara (AG)

peranan peguam negara

Jawatan Peguam Negara sebenarnya dibentuk di bawah Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan, dan anda mungkin kecewa untuk mengetahui bahawa jawatan ini bukanlah terbuka kepada semua. Untuk menjadi seorang Peguam Negara, seseorang itu perlulah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, dengan nasihat daripada Perdana Menteri. Namun, untuk dipertimbangkan bagi jawatan tersebut, anda perlu mempunyai kelayakan sebagai seorang hakim di Mahkamah Persekutuan, yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia. 

Menurut Artikel 123 Perlembagaan Persekutuan, untuk melayakkan anda menjadi hakim Mahkamah Persekutuan, anda perlulah:

  1. merupakan rakyat Malaysia, dan
  2. pernah menjadi peguam yang menguruskan kes-kes di Mahkamah Tinggi di Malaysia, atau pernah menjadi ahli perkhidmatan kehakiman dan undang-undang di Malaysia untuk 10 tahun lalu. 

Resume anda perlulah cukup hebat untuk melayakkan diri anda untuk dipilih oleh Agong (dengan nasihat Perdana Menteri). Untuk jawatan yang sangat sukar untuk diperolehi, tugas Peguam Negara menurut Artikel 145(2) Perlembagaan Persekutuan:

perlembagaan malaysia

Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, dan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya oleh atau di bawah Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

Dalam bahasa mudah, tugas Peguam Negara adalah sebagai ketua peguam kerajaan, dengan peranan sebagai:

  1. Ketua Jabatan Peguam Negara.
  2. Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (para peguam mendapat sijil mereka daripada badan ini).
  3. Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
  4. Ahli Lembaga Pengampunan untuk setiap negeri di Malaysia.

Ini adalah jawatan yang sangat besar untuk dipegang oleh seseorang individu.

Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya Bertanggungjawab Membuktikan Kesalahan Penjenayah

kes jenayah malaysia

Peguam Negara mengawal segala prosiding jenayah di Malaysia. Menurut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan, AG mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan mana-mana prosiding undang-undang jenayah, selain daripada kes-kes yang ditadbir oleh Mahkamah Syariah, Mahkamah Bumiputera, atau Mahkamah Tentera. Ini bermaksud AG lah yang menentukan sekiranya sesuatu jenayah itu perlu dibawa ke mahkamah, dan undang-undang jenayah yang berkenaan. 

Kuasa ini turut meliputi Kod Prosiding Jenayah (CPC). Seksyen 376(1) menjadikan Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya kerajaan, dan beliau mempunyai kuasa dan arah tuju untuk pendakwaan jenayah dan prosiding yang dijalankan di bawah CPC. Peguam Negara juga mempunyai kuasa untuk melantik Timbalan Pendakwa Raya, yang bertanggungjawab untuk mendakwa penjenayah di mahkamah di seluruh negara, dan turut bertanggungjawab untuk membuktikan sesuatu kes. 

Memandangkan seseorang Peguam Negara juga merupakan ahli Lembaga Pengampunan di setiap negeri di Malaysia, beliau juga bertanggungjawab menentukan sekiranya seseorang penjenayah itu boleh mendapatkan Pengampunan Diraja daripada sultan-sultan yang berkenaan. Untuk menjalankan tugas mereka, AG dan DPP sebenarnya mempunyai kebebasan yang agak luas sama ada untuk mendakwa seseorang atau tidak, dan mempunyai kuasa untuk mengenakan undang-undang yang dilihat bersesuaian dengan jenayah yang dilakukan. 

sistem mahkamah di malaysia

Selain itu, seseorang Peguam Negara juga mempunyai kuasa untuk mendakwa penjenayah di mahkamah mana. Hal ini adalah kerana mahkamah rendah di Malaysia mempunyai had hukuman yang boleh dikenakan oleh seseorang hakim kepada mereka yang bersalah. Contohnya, Mahkamah Majistret Kelas Pertama hanya boleh mengenakan hukuman sehingga 5 tahun penjaran, atau denda sehingga RM10,000 seperti yang ditetapkan oleh Seksyen 87 Akta Mahkamah Rendah 1948.

Manakala di dalam Seksyen 22 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk mengenakan sebarang hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang. Jadi, sekiranya Peguam Negara ingin mendakwa kes berprofil tinggi yang melibatkan hukuman mati, kes tersebut akan dihantar ke Mahkamah Tinggi berbanding Mahkamah Majistret, dan sebaliknya untuk kes-kes yang lebih ringan. 

Kesimpulan

apandi ali

Ketepikan urusan pentadbiran dan guaman, seseorang Peguam Negara adalah sangat berkuasa. Adalah sangat penting untuk mempunyai seseorang AG berpengalaman luas dalam undang-undang. Walaubagaimanapun, kuasa AG kerap kali dikritik kerana bidang kuasanya yang terlalu umum, membolehkan beliau melakukan salah guna kuasa. Contohnya, sekiranya kerajaan melakukan sesuatu kesalahan, AG mempunyai kuasa untuk sama ada mendakwa kerajaan atau tidak.

Sekiranya difikirkan secara logik, AG WAJIB mendakwa kerajaan atas kesalahan yang dilakukan. Namun, memandangkan AG dilantik dengan nasihat Perdana Menteri, sudah pasti wujudnya konflik kepentingan. AG sebolehnya akan cuba mengelak daripada mendakwa kerajaan (atau PM), atau meneruskan pendakwaan yang akhirnya boleh menyebabkan AG sendiri dipecat. Bagi mengelakkan hal ini daripada berlaku, AG seharusnya dilantik oleh parlimen.  

Rujukan:

  1. agc-blog.agc.gov.my
  2. asklegal.my
  3. jpapencen.gov.my
  4. kptg.gov.my



Hakcipta iluminasi.com (2017)