Dalam kempen kitar semula, kita jarang melihat bahawa terdapat tong sampah khas yang disediakan untuk pakaian lama untuk dikitar semula. Di Malaysia misalnya, tong khas untuk program kitar semula hanya diklasifikasikan kepada 3 jenis bahan - kaca, kertas dan aluminium/plastik.

Mengapakah pakaian atau kain lama tidak dimasukkan dalam program kitar semula ini? Selain alasan kurangnya kuantiti kain atau pakaian lama untuk dikitar semula, sebenarnya kain juga sangat sukar untuk diktar semula.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Program kitar semula pakaian lama

kempen kitar semula pakaian lama

Menyedari tentang kepentingan untuk memelihara alam sekitar, segelintir syarikat penjual baju sebenarnya telahpun melancarkan kempen derma pakaian lama dan terpakai. Ini termasuklah baju, kasut, seluar, langsir dan banyak lagi.

Kebiasaannya, tong atau bakul khas akan disediakan di dalam kedai pakaian dan bagi menggalakkan orang ramai mendermakan pakaian mereka, syarikat turut akan diberikan kupon atau baucer diskaun untuk pembelian mereka di kedai tersebut. Kebanyakan syarikat yang melancarkan kempen seperti ini biasanya mendakwa pakaian tersebut akan diguna semula atau dikitar semula menjadi pakaian yang baru.

Antara syarikat yang melancarkan kempen kitar semula pakaian ini adalah H&M Group. Malah, dikatakan mereka turut menyediakan tong khas di lebih 4200 butik mereka di seluruh dunia bagi menyokong kempen ini. Satu video khas mengenai kempen ini juga telah dihasilkan bagi mewujudkan kesedaran kepada orang ramai.

Realiti program kitar semula pakaian lama

bisnes menjual barang terpakai 653

Realitinya, mengitar semula pakaian lama bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi sangat sukar dan menelan kos yang sangat tinggi. Sesetengah pihak percaya bahawa pakaian yang dikumpul oleh H&M ini bukanlah untuk tujuan kitar semula, sebaliknya untuk dijual semula pada harga yang murah terutamanya di negara-negara miskin seperti Kenya.

Kebiasaannya pakaian yang didermakan ini akan dieksport dalam kuantiti yang besar untuk dijual semula. Bagi pakaian yang terlalu lusuh dan tidak terjual, kebiasaannya ia tetap akan dibuang. Malah, bisnes pengeksportan pakaian lama ini juga merupakan sebuah industri yang memberikan pendapatan yang lumayan.

I:Collect, iaitu syarikat yang menguruskan pengumpulan pakaian lama untuk kempen H&M dan beberapa syarikat besar lain seperti Levi's, Adidas dan Reebok berkata, hanya 35% daripada daripada pakaian yang didermakan akan dikitar semula untuk menghasilkan produk lain seperti permaidani dan bahan insulasi haba.

pakaian terpakai

Kesukaran mengitar semula pakaian ini disebabkan pakaian biasanya diperbuat daripada kapas dan pelbagai campuran bahan lain. Campuran pelbagai bahan untuk membuat baju ini menjadikannya sukar untuk diuraikan bagi tujuan kitar semula.

Selain itu, apabila pakaian yang diperbuat daripada kapas dan bulu ini dikitar semula, ianya akan mengurangkan kualiti kedua-dua bahan ini. Proses mengitar semula kapas misalnya, akan merosakkan struktur kapas itu sendiri dan menjadikannya tidak sesuai untuk digunakan sebagai bahan untuk membuat pakaian baru.

Kapas berkualiti tinggi biasanya mempunyai lembaran dan jaluran kapas yang panjang. Apabila pakaian-pakaian lama ini diproses semula, struktur kapas ini akan rosak dan terurai. Oleh itu, apabila kapas yang telah dikitar semula ini digunakan semula untuk menghasilkan pakaian baru, teksturnya tidak lagi lembut.

Solusi sementara kepada masalah kitar semula pakaian

seluar levis

Akibat daripada perubahan struktur bahan yang digunakan untuk membuat baju, biasanya kapas yang dikitar semula boleh digunakan untuk menghasilkan produk lain seperti kertas. Walau bagaimanapun, terdapat juga syarikat yang mengambil pendekatan kreatif dengan menggunakan campuran daripada bahan yang dikitar semula ini dengan bahan lain untuk menghasilkan produk baru.

Syarikat Levi's misalnya, turut menyokong usaha kitar semula pakaian lama ini dan menggunakan kira-kira 20% bahan yang dikitar semula untuk menghasilkan pakaian baru. Menurut mereka lagi, itulah peratusan tertinggi kain kitar semula yang boleh digunakan mereka tanpa mengurangkan kualiti produk mereka.

SustainU, salah sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran menghasilkan pakaian baru daripada pakaian yang dikitar semula berkata pakaian yang paling tinggi nilainya untuk dikitar semula adalah yang 100% diperbuat daripada kapas. Menurut syarikat ini lagi, mereka biasanya akan mencampurkan bahan poliester ke kapas yang telah dikitar semula ini bagi menghasilkan pakaian yang lembut.

proses kitar semula pakaian

Buat masa ini, pelbagai kajian sedang dijalankan untuk mencari cara dan prosedur terbaik untuk mengitar semula pakain. Kajian ini termasuklah cara terbaik untuk menguraikan kapas daripada bahan-bahan campuran lain agar pakaian baru yang dihasilkan mempunyai kualiti tinggi.

Kredit:

  1. CBC
  2. H&M
  3. Vice
  4. New Atlas



Hakcipta iluminasi.com (2017)