Setelah tewasnya Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14, banyak skandal negara yang dibuka semula untuk siasatan, antaranya termasuklah kes melibatkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International. Kes tersebut adalah kes yang berprofil tinggi kerana melibatkan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6 iaitu Dato' Sri Haji Najib Razak, dan jumlah wang ringgit yang sangat besar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah DS Najib Razak Diberikan Layanan Istimewa oleh SPRM?

najib razak didakwa

Ketika DS Najib Razak muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada awal pagi semalam (4 Julai 2018), ramai tertanya-tanya mengapa beliau tidak memakai baju lokap oren, yakni 'uniform' oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan perkataan LOKAP SPRM. Sebaliknya, DS Najib dengan bergaya dan segaknya mengenakan sepasang sut berwarna biru gelap dengan kemeja putih bertali leher merah. Beliau juga dilihat bebas berjalan sendiri tanpa gari.

Rata-rata netizen di media sosial menemplak kerajaan baharu kerana 'memberi muka' kepada DS Najib yang dikatakan mendapat layanan istimewa di atas kedudukan beliau sebagai bekas Perdana Menteri. Sebenarnya, kerajaan baharu tidak mempunyai sebarang kuasa dari segi undang-undang untuk mengarahkan baju apa yang harus dipakai oleh beliau, dan SPRM yang bertanggungjawab dalam kes ini. Ramai tidak menyedari bahawa sebenarnya baju LOKAP SPRM hanya digunakan apabila seseorang suspek itu ditahan reman untuk siasatan. 

Sebab Sebenar Mengapa DS Najib Razak Tidak Memakai Baju Oren LOKAP SPRM

najib kena tahan lokap sprm didakwa

Contohnya seperti kes sebelum ini, yang melibatkan bekas pengerusi Felda iaitu Isa Samad, ahli majlis eksekutif negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh, dan ketua Parti Warisan Sabah Shafie Apdal, di mana kesemua mereka memakai baju oren SPRM ketika menghadiri mahkamah untuk pendengaran reman. Suspek yang direman juga boleh digari oleh SPRM. 

Dari segi undang-undang, proses reman melibatkan seseorang suspek dibawa ke hadapan magistret, yang kemudiannya akan menentukan sama ada pihak berkuasa boleh menahan suspek untuk sesuatu tempoh masa. Selalunya, suspek akan direman apabila pasukan penyiasat memerlukan masa yang lebih untuk proses soal siasat, atau untuk mengumpulkan bukti yang cukup bagi memungkinkan pendakwaan. 

isa samad baju lokap sprm

Dalam kes DS Najib, beliau tidak direman, sebaliknya beliau ditahan semalaman pada malam Selasa dan hari berikutnya beliau terus didakwa. Begitu juga dengan kes yang melibatkan Menteri Kewangan iaitu Lim Guan Eng yang dilihat tidak memakai t-shirt oren LOKAP SPRM ketika beliau berada di mahkamah untuk proses pendakwaan kerana kes rasuah. 

Peguam N. Surendran berkata bahawa sebelum seseorang itu didapati bersalah dari sisi undang-undang, beliau tidak boleh dipaksa untuk memakai apa-apa uniform apapun warnanya. Menurut beliau lagi, amalan memakai baju seperti itu melanggar konsep 'tidak bersalah sehingga terbukti bersalah'. 

Kesimpulan

firman allah tentang menghina orang lain

Walaupun terdapat banyak pertuduhan terhadap DS Najib Razak, beliau seharusnya diadili secara sah dari segi undang-undang. Perbezaan pandangan politik seharusnya tidak boleh dijadikan alasan untuk menghukum seseorang. Mungkin beliau pernah terlibat dengan kes rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan kerugian berbilion ringgit kepada negara, dan sebagai rakyat kita turut terkesan, namun jangan kita terus menghukum beliau.

Kedaulatan undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia harus ditegakkan, siapapun yang terlibat. Sekiranya beliau didapati bersalah di sisi undang-undang, hukumlah, namun jangan sesekali menghina beliau. Siapa tahu nasib kita di kemudian hari. 

PS: Penulis tidak menyebelahi mana-mana individu mahupun parti, sebaliknya penulis sedaya upaya cuba menulis artikel ini se-neutral boleh. 

Rujukan:

  1. straitstimes.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)