Oleh pada 26 Mar 2018 kategori

Melakukan perbandingan negara sendiri dengan negara lain merupakan antara hobi masa lapang orang ramai di negara kita. Hobi ini cukup gemar dilaungkan oleh individu-individu bertuah yang dapat melancong ke luar negara, yang membawa balik banyak pandangan baru yang diharap dapat diamalkan di negara kita.

Kami penulis-penulis Iluminasi juga gemar melakukan perkara sama dengan majoriti kami setuju Jepun, adalah antara negara terbaik yang banyak mengamalkan budaya dan undang-undang yang elok untuk diserap di negara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada negara yang mempunyai peraturan dan akta yang unik, yang hanya ada di negara mereka dan ini sedikit sebanyak membuatkan admin rasa Malaysia pun perlu ada peraturan unik yang elok diamalkan di Malaysia. Berikut adalah 6 cadangan undang-undang yang kami rasakan sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia, diinspirasikan daripada negara lain dan juga kehidupan seharian kita rakyat Malaysia.

1. Sistem kawalan pembuangan sampah yang lebih ketat

pusat kitar semula ukm

Negara kita tidak ada budaya kitar semula dan kawalan pembuangan sampah yang melibatkan semua komuniti masyarakat. Apa yang biasa berlaku adalah pengasingan sisa pepejal di negara kita, dibuat berdasarkan kerelaan hati. Apa yang menyedihkan, sekiranya kita sudah mengasingkan sampah mengikut kategori - pengutip sampah pula seperti tidak ada sebarang sistem pengasingan. Semuanya dilonggokkan sekali.

Usaha untuk menjalankan sistem ini sudah pun diperkenalkan di beberapa tempat, namun dapat dilihat kurang mendapat sambutan, kecuali di kawasan seperti Putrajaya. Masih banyak rumah sewenang-wenangnya meletakkan sofa-sofa lama di kawasan sampah, dengan harapan akan ada pihak yang bakal menguruskannya.

Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia meletakkan tanggungjawab menguruskan sampah dan sisa pepejal ke atas bahu rakyat Malaysia, dengan sistem kutipan sampah yang lebih ketat serta saman besar ke atas rumah yang tidak dapat mengikuti peraturan ini.

2. Penggunaan lorong jalanraya yang lebih jelas peraturannya

kemalangan motosikal

Sistem lorong jalanraya di negara kita agak kucar-kacir. Penunggang motorsikal bebas menyusur di mana-mana ruang, sehingga membuatkan risiko melanggar mereka menjadi lebih tinggi. Kerajaan melalui JPJ perlu memperketatkan lagi undang-undang penggunaan lorong di negara kita.

Apa yang boleh diamalkan adalah larangan untuk pengguna motorsikal 'mencilok' ketika jalan raya lancar, dengan semua penunggang motorsikal perlu mengikut arus trafik seperti biasa. Hanya apabila berlaku kesesakan jalan, motorsikal dibenarkan mencilok di antara kereta, dengan kelajuan yang telah ditetapkan. Seperti di Australia, motorsikal dibenarkan menyusup semasa sesak hanya pada kelajuan 30km/j.

Kesedaran penggunaan lorong yang baik di negara kita, memang berada pada tahap kritikal. Pengguna jalan raya sentiasa terdedah dengan kemalangan ekoran kurang faham dan kurang kesedaran kita, terhadap penggunaan lorong yang betul.

3. Saman berdasarkan pendapatan

kena tahan polis bawa motor

Salah satu persoalan yang kerap bermain dalam kepala admin, adalah kenapa banyak kereta mewah gemar memandu laju melebihi had laju yang telah ditetapkan, khasnya di lebuh-lebuh raya. Tidak takutkah mereka dengan saman yang boleh dikenakan?

Besar kemungkinan tidak, kerana saman yang perlu dibayar oleh sesetengah individu hanyalah beberapa keping wang kertas yang tidak berapa dipandang harganya. Namun bagi individu lain yang kurang berkemampuan, nilai saman merupakan pengorbanan besar bagi mereka.

Dengan kewujudan sistem transaksi dalam talian serta jaringan komunikasi yang memudahkan hubungan antara pelbagai agensi kerajaan, sudah tiba masanya sistem saman dirombak bagi mencerminkan nilai pendapatan seseorang pesalah. Seseorang yang mempunyai pendapatan tinggi sepatutnya mendapat nilai pengajaran yang sama dengan individu-individu lain, bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan mengikut undang-undang.

4. Cuti semasa haid

sakit haid wanita

Ini adalah cadangan khas bagi wanita dan bukan untuk lelaki. Tak dapat dinafikan ada wanita di negara kita yang mengalami kesukaran setiap kali tiba waktu haid, sehingga ada yang terpaksa memohon cuti ekoran kitaran haid yang mencabar fizikal.

Sudah tiba masanya Malaysia mewujudkan cuti khas berbentuk opsyen tanpa penalti bagi golongan wanita yang menghadapi masalah ini. Langkah ini pasti dapat membantu golongan wanita mendapatkan rehat yang cukup kerana tidak ada gunanya pergi bekerja, tanpa dapat bekerja.

Kita sudah biasa lihat iklan tentang golongan wanita yang risau mengalami kebocoran semasa bekerja. Masalah lain yang jarang ditonjolkan adalah sakit perut yang datang serta ketidak selesaan badan yang berlaku. Kami mencadangkan agar golongan wanita dibenarkan berehat sekurang-kurangnya 2 hari ketika kitaran ini datang.

5. Ketatkan syarat jualan air berkarbonat di restoran makanan segera

minuman bergas banyak gula

Apabila berlaku kenaikan harga gula, ramai mengadu gula jadi mahal namun air berkarbonat yang tinggi kandungan gula tetap menjadi pilihan penggemar restoran makanan segera. Adakah ini disebabkan harga air berkarbonat sebenarnya murah atau masyarakat kita sudah terbiasa minum air gas, ketika makan fast food?

Dengan banyak langkah kerajaan dalam membasmi masalah obesiti yang meletakkan Malaysia sebagai masyarakat paling gemuk di Asia, agak ironi air gas terus menjadi pilihan utama sebagai minuman. Kami sudah menjelaskan tahun lepas, masalah kegemukan sebenarnya bukan berpunca daripada makanan berlemak tetapi kandungan gula - tetapi budaya minum air gas ini terus dikekalkan.

Adakah tidak ada pilihan lain? Ada. Kerajaan boleh perkenalkan akta mewajibkan jualan air mineral atau air RO di restoran makanan segera sekiranya larangan penuh terhadap air gas tidak dapat dilaksanakan. Mungkin juga kerajaan boleh melarang pihak pengendali restoran menjadikan minuman berkarbonat sebagai 'minuman asas' yang perlu diambil dalam pakej makanan yang disediakan, sebelum ditukar kepada minuman lain.

6. Wajibkan senarai harga di klinik swasta

saman ikut kelayakan pendapatan

Sudah banyak kali admin menghadapi kejutan besar setiap kali ke klinik swasta, apabila diberitahu berapakah harga rawatan dan ubat-ubatan. Zaman sekarang, sekiranya tidak ada RM100 dalam poket, jangan berani ke klinik swasta. Lebih baik korbankan masa ke Klinik Kesihatan Awam berdekatan.

Walaupun begitu, masalah terkejut dapat tahu harga yang perlu dibayar sepatutnya perlu dipantau pihak kerajaan. Rakyat faham apa yang ditawarkan oleh pihak klinik adalah satu servis tetapi orang ramai perlu tahu berapakah harga rawatan dan ubat-ubatan, dengan penyenaraian harga sama seperti di bengkel, kedai sayur, kedai ikan dan pasaraya. Farmasi sendiri diwajibkan meletakkan harga pada ubat-ubatan jadi mengapa klinik swasta tidak perlu menyatakan harga ubat yang bakal diperlukan?

Apa yang lebih mengejutkan, kebiasaannya resit rawatan klinik pun tidak menyatakan item-item dalam bentuk terperinci. Semuanya dilonggokkan ke dalam satu jumlah, tanpa pengguna dapat membandingkan berapakah harga ubat yang dijual di situ.

Kerajaan perlu melakukan sesuatu tentang isu ini, kerana sebagai pengguna yang membayar setiap individu berhak mengetahui senarai harga ubat-ubatan serta berapa harga ubat yang akan dibayar. Mana tahu pengguna boleh menjimatkan wang ringgit sekiranya mereka mendapatkan ubat-ubatan di farmasi berbanding dengan membelinya di klinik-klinik?

Nota : Untuk penjelasan, perkara ini adalah antara perkara yang sepatutnya menjadi perubahan utama yang berlaku sekiranya sistem 'pengasingan dispensari' dilakukan di negara kita, tetapi sehingga kini tak ada apa yang berlaku. Sebaiknya, kerajaan wajibkan dulu pamer harga bagi mengelak lebih ramai sakit jantung terkejut, mendengar harga ubat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)