Kita mungkin jarang dapat melihat belangkas dijual di pasar kerana tidak ramai yang menggemarinya. Walaupun mempunyai kulit yang keras seperti ketam, ketam dan belangkas merupakan haiwan daripada dua spesis yang sangat berbeza.
Tidak seperti ketam yang digemari ramai, mungkin ramai yang tidak menyukai belangkas kerana bentuknya yang "pelik" selain tidak tahu cara sebenar memakannya. Sekiranya ada tertanya-tanya mengenai hukum memakan belangkas, artikel Hukum Makan Belangkas Dalam Islam mungkin dapat memberikan sedikit pencerahan mengenai perkara ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Walau bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa darah belangkas sebenarnya sangat mahal dan begitu penting dalam bidang perubatan. Mengikut harga semasa, harga untuk seliter darah belangkas ini dikatakan mencecah RM61000!. Apakah yang membuatkannya begitu mahal?
Keunikan darah belangkas
Tidak seperti darah manusia dan haiwan lain yang berwarna merah, darah belangkas sebaliknya berwarna biru. Warna biru ini terhasil akibat kandungan tembaga dalam darah ini. Walau bagaimanapun, apa yang membuatnya begitu berharga adalah kandungan ejen pembekuan khas darah dalam darah belangkas ini.
Kandungan ini membolehkan para saintis membuat satu ramuan yang dipanggil Limulus amebocyte lysate atau singkatannya LAL. Apakah pentingnya LAL ini dalam bidang perubatan?
Kegunaan darah belangkas dalam bidang perubatan
Sebelum penciptaan ramuan LAL ini, para saintis dan doktor tidak mempunyai cara dan prosedur mudah untuk mengenalpasti sekiranya sesuatu vaksin atau alat perubatan sudah tercemar dengan bakteria seperti E-Coli dan salmonella. Prosedur ini sangat penting bagi mengelakkan vaksin tercemar tersebut digunakan pada manusia dan bagi memastikan ianya benar-benar selamat.
Sebelum penciptaan LAL, saintis akan menyuntik vaksin pada beberapa ekor arnab dan menunggu sekiranya vaksin tersebut memberikan apa-apa simptom kepada arnab-arnab tersebut. Cara ini dikatakan kurang efektif kerana mengambil masa yang agak lama selain simptom yang ditunjukkan oleh arnab mungkin tidak begitu jelas.
Segalanya berubah apabila LAL secara rasminya diperkenalkan dan dibenarkan penggunaannya pada tahun 1970. Titis sahaja sedikit cecair LAL pada alatan perubatan atau vaksin dan cecair ini akan menunjukkan tanda-tanda alat atau vaksin tersebut sudah tercemar dengan bakteria.
Walaupun LAL ini tidak mampu membunuh bakteria-bakteria tersebut, ianya berfungsi memberikan amaran kepada saintis bahawa alat atau vaksin itu sudah tercemar dan tidak selamat lagi untuk digunakan. Paling penting, keputusan yang diperoleh adalah begitu pantas sebaik sahaja cecair LAL dititiskan.
Bagi setiap belangkas, tidak semua darahnya akan disedut sebaliknya hanya sekitar 30% sahaja darahnya akan disedut. Kemudian, haiwan ini akan dilepaskan kembali ke habitat asalnya.
Kecaman daripada aktivitis pencinta haiwan
Setiap tahun, kira-kira 600,000 ekor belangkas ditangkap bagi tujuan ini. Malangnya, 30% daripada belangkas ini mati ketika proses menyedut darah ini. Bagi yang berjaya melalui prosedut ini pula, mereka akan dilepaskan kembali. Malangnya, tiada siapa yang tahu sama ada haiwan-haiwan ini akan pulih seperti sediakala.
Pada tahun 2016, organisasi International Union for the Conservation of Nature menyatakan bahawa belangkas mungkin diancam kepupusan pada masa akan datang akibat daripada kegiatan ini. Malah, mereka menjangkakan bahawa jumlah belangkas di Amerika Syarikat mungkin berkurang sebanyak 30% dalam tempoh 40 tahun akan datang.
LAL Labs, salah satu syarikat yang terlibat dalam bisnes mendapatkan darah belangkas ini mendakwa belangkas-belangkas yang dilepaskan ini akan pulih seperti seperti sediakala. Dakwaan ini bagaimanapun disangkal oleh Dr Win Watson, Professor dalam bidang Zoologi daripada University of New Hampshire.
Menurut beliau, belangkas yang tercedera ini akan menghadapi kesukaran pada 2 minggu pertama dimana badan mereka menjadi sangat lemah. Ketika ini risiko untuk mati adalah sangat tinggi. Setelah melalui proses ini juga, belangkas betina juga mungkin menghadapi kesukaran untuk membiak pada masa akan datang.
Bagi mengatasi masalah ini, saintis juga sedang berusaha menghasilkan LAL daripada sumber sintetik untuk mengelakkan kebergantungan kepada belangkas. Walau bagaimanapun, selagi mana ianya belum ditemui maka saintis terpaksa bergantung sepenuhnya kepada belangkas.
Kredit: