kyaiktiyo batu gergasi pagoda

Kita pasti beranggapan tarikan graviti berfungsi di keseluruhan permukaan bumi, menarik kita turun dan membolehkan menjejaki permukaan.

Seandainya kita ingin merasai pengalaman graviti sifar tanpa ke angkasa lepas, satu-satunya cara (setakat ini) yang ada adalah dengan menjadi penumpang kepada kapal terbang parabolik. Kapal terbang unik ini mampu menghasilkan situasi tiada graviti di dalamnya apabila berada di ketinggian tertentu.

Namun kosnya agak tinggi untuk pengalaman selama beberapa minit. Untuk kumpulan bukan bangsawan macam penulis, agak sukar untuk merasai pakej seperti itu. Adakah ada alternatif lain di mana kita boleh merasai pengalaman seakan-akan melawan graviti dengan kadar murah? Ada, asalkan anda mengamalkan minda bersikap terbuka.

1. Bukit magnetik

magnetic hill bukit magnetik

Fenomena alam yang unik diklasifikasikan sebagai 'magnetik hill' atau bukit magnetik, wujud di banyak negara seperti Australia, Greece, Scotland, Korea Selatan dan yang paling terkenal, Moncton Magnetic Hill di Kanada.

Pada dasarnya tidak ada apa-apa yang istimewa di sebuah bukit magnetik, kerana apa yang kelihatan hanyalah sebatang jalan lurus mendaki naik. Tetapi sekiranya anda letakkan kereta anda dipermulaan jalan tersebut, kereta anda akan bergerak naik sendiri tanpa perlu digerakkan.

Seandainya anda menumpahkan air di atas permukaan laluan, air itu mengalir ke atas - bukan ke bawah. Sama juga sekiranya anda meletakkan sebiji bola, bola itu akan mula mendaki ke atas. Anda boleh mendaki bukit itu dengan basikal, tanpa perlu mengayuh.

Apa yang berlaku sebenarnya disimpulkan oleh pengkaji sains sebagai ilusi optikal semalajdi di mana permukaan yang kita nampak tampak seperti mendaki, sebenarnya menurun disebabkan oleh ketiadaan garis horizon - menyebabkan minda kita gagal untuk memproses tahap kecerunan kawasan itu dengan betul; menghasilkan ilusi kedudukan tinggi dan rendah yang bertukar.

2. Mystery Spot, Santa Cruz

mystery spot lokasi menarik

Menjadi salah satu tarikan utama pelancong untuk ke California, 'Mystery Spot' dibuka pada tahun 1939 oleh seorang usahawan bernama George Prather. Kisahnya, semasa melawat kawasan itu Prather mula merasa pening tanpa sebab, hanya selepas berjalan-jalan di situ.

Merasai ada sesuatu yang aneh dengan kawasan itu, Prather memberanikan diri membeli tanah tersebut lalu membangunkan kawasan yang dinamakan sebagai 'Mystery Spot', sebuah rumah yang dikatakan mampu melawan tarikan graviti.

Di Mystery Spot, orang ramai dapat melihat sendiri bola bergolek melawan arah jatuhan dan air yang memancut melawan arah permukaan. Apa yang lebih unik, pengunjung di situ juga dapat berdiri dalam darjah kecondongan melampau, yang tak dapat dilakukan sebelum itu.

Sama seperti bukit graviti, Prather sebenarnya adalah seorang peniaga yang bijak. Dia menggunakan ilusi optik, mengelabui logik biasa pandangan kita sehinggakan minda kita tidak lagi berjaya memahami bagaimana kerataan permukaan sebenar kawasan di sekeliling kita.

Walaupun 'misteri' di sebalik Mystery Spot berjaya dirungkai, itu tidak menghalang Mystery Spot terus menerima kunjungan orang ramai hingga kini.

3. Timmelscjoch Pass Museum, sempadan Austria/Itali

timmelscjoch pass museum

Lokasi bukan fenomena semulajadi kedua dalam senarai ini, muzium laluan Timmelscjoch dibina oleh seorang arkitek bernama Werner Tscholl, bagi meraikan ulangtahun ke 50 kerjasama sempadan kedua-dua buah negara terlibat iaitu Itali dan Austria.

Bentuk muzium itu yang majoriti permukaannya tergantung dan hanya separa bahagiannya disokong oleh struktur yang dibina atas tanah, memang akan membuatkan sesiapa saja terpesona melihatnya. Apatah lagi muzium itu terletak di kawasan laluan pergunungan setinggi 2,509 meter dari aras tanah.

timmelscjoch pass museum2

Laluan itu terus menjadi salah satu tarikan bersejarah serta masih lagi digunakan sehingga kini, bergantung kepada keadaan cuacanya. Muzium kecil itu yang mempunyai panjang struktur 16 meter adalah salah satu daripada empat tarikan lain, di sepanjang laluan tersebut.

4. Air terjun terbalik dan empangan besar

air terbang di hoover dam

Sekiranya anda berpeluang untuk berkunjung ke empangan besar, cuba anda tuangkan air ketika anda berada di atasnya. Adakah air itu akan memancut ke atas, melawan tarikan graviti?

Situasi sama turut sama kelihatan di beberapa buah air terjun, di mana airnya tidak terjun sebaliknya mendaki ke atas. Kami pun tak tahu nak gelarkan lokasi seperti itu apa - air terbang, air terapung?

Apa yang menyebabkan fenomena serupa berlaku di kedua-dua tempat itu adalah disebabkan kewujudan angin yang melanggar permukaan air terjun dan empangan, menyebabkan apa saja yang melaluinya akan kembali terapung; termasuklah air.

Antara lokasi di mana fenomena ini mudah kelihatan adalah Empangan Hoover di Amerika Syarikat, sementara air terjun terbalik wujud di banyak kawasan seperti Hawaii, Mumbai di India, Denmark dan banyak lagi.

5. Batu gergasi di Myanmar

burma mt kyaiktiyo golden rock

Di sebuah pagoda bernama Kyaiktiyo di negara Myanmar, wujud sebuah batu gergasi yang kini sudah diwarnakan dengan warna emas. Tidak ada apa-apa yang istimewa tentang batu ini dari jauh tetapi seandainya anda melihat dengan lebih dekat, tidak logik batu besar itu terus kekal berada di situ tanpa tersembam ke tanah.

Ini kerana permukaan batu itu yang bersentuhan dengan tanah, berada dalam keadaan sangat minima mengakibatkan batu itu seakan-akan tergantung di situ, hendak jatuh tidak, hendak naik pun tidak.

kyaiktiyo batu gergasi myanmar

Kedudukan batu itu sangat unik kerana paksi gravitinya sangat seimbang dengan permukaan tanah yang bersentuhan dengannya, membolehkan batu itu terus kekal sudah lebih 2,500 tahun lamanya.

Kepercayaan masyarakat di situ percaya batu hanya akan runtuh, disebabkan oleh tangan wanita. Atas sebab itulah pengurusan pagoda tidak membenarkan mana-mana wanita menyentuh batu itu bagi memastikan kedudukannya terus terpelihara. Sori sis!



Hakcipta iluminasi.com (2017)