Pernah tak anda melihat atau menggunakan garam merah jambu Himalaya atau lebih dikenali sebagai "pink Himalayan salt"? Ia mungkin kelihatan cantik namun secubit garam ini adalah tersangat mahal.
100 gram garam Himalaya merah jambu ini boleh mencecah 20 kali ganda garam biasa. Jadi, mengapa ia sangat mahal?
Garam ini mempunyai penggemar yang agak ramai dan mereka ini mendakwa bahawa ia dapat membantu dalam pelbagai perkara dari menurunkan berat, mengurangkan penuaan, mengawal tidur dan bahkan meningkatkan nafsu anda.
BESARKAN TEKS A- A+
Dan walaupun garam merah jambu ini boleh mencecah harga RM40 sekilogram, namun produk-produk yang dibuat menggunakannya adalah jauh lebih mahal.
Apa sebenarnya perbezaan di antara jenis-jenis garam dan dari mana datangnya dakwaan ini?
Untuk mendapatkan idea tentang apa yang menjadikan garam merah jambu Himalaya berbeza, kita perlu melihat pelbagai jenis garam yang terdapat dalam industri garam itu sendiri.
Garam biasa atau "table salt" yang biasa kita gunakan untuk memasak biasanya dihasilkan dengan menggerudi ke dasar laut, mengepam air masin dan kemudian menapisnya dalam loji pembersihan.
Mineral semulajadi seperti magnesium atau kalium dalam garam biasa ini dibuang. Garam laut pula biasanya dihasilkan dengan menguapkan air laut menggunakan matahari atau pemanas dalaman.
Tidak seperti garam biasa, garam laut biasanya tidak mempunyai bahan kimia tambahan dan mineral semulajadi yang terkandung di dalamnya kekal utuh.
Garam batu pula adalah berbeza. Di kawasan-kawasan tertentu di dunia, sisa-sisa lautan yang menguap tertanam beratus-ratus kaki di bawah tanah.
Mineral ini yang dikenali sebagai "halite" akan dituai dengan penggerudian permukaan batu, menghancurkan garam, dan memecahnya menjadi kepingan.
Bagi garam merah jambu, ia hanya boleh didapati di beberapa tempat sahaja di dunia dari Sungai Murray di Australia hinggalah ke Maras di Peru. Namun, bekalannya adalah tidak terhad.
Sebahagian besar lombong garam merah jambu di dunia terletak di Pakistan iaitu di kaki Himalaya dan Lombong Garam Khewra di Pakistan ini menghasilkan 350,000 tan garam merah jambu setiap tahun.
Jadi, adakah garam merah jambu lebih sihat berbanding garam-garam yang lain?
Garam merah jambu mempunyai kira-kira 84 mineral yang berbeza di dalamnya yang mana memberikan warna merah jambu.
Tetapi mineral ini hanya merangkumi sekitar 2% daripada garam tersebut dan selebih 98% daripadanya adalah natrium klorida seperti garam lain.
Menurut ahli pemakanan, Rhiannon Lambert, jumlah 2% ini adalah sangat kecil dan anda tidak akan mendapat apa-apa faedah sebenar atau kesannya. Beliau juga berkata bahawa dari segi nutrisi, garam merah jambu adalah sama seperti garam-garam lain.
Manfaat yang didakwa terkandung dalam garam merah jambu ini bukanlah sekadar dimakan dan ramai orang mendakwa bahawa ia juga mempunyai sifat-sifat menyembuh sama ada disedut nafas atau digunakan sebagai lampu.
Rhiannon menambah bahawa trend menggunakan garam merah jambu ini berlaku disebabkan beberapa perkara.
Sebagai contoh, terdapat banyak ubat homeopati yang berbeza yang kelihatan sangat menarik, tetapi kerap kalinya ubat-ubat ini tidak berdasarkan bukti.
Dan apabila ia melibatkan media, sesuatu yang kecil boleh diperbesarkan terutamanya dari segi barangan yang kelihatan cantik.
Seperti yang anda boleh nampak, garam merah jambu kelihatan lebih menarik kepada sesetengah orang apabila dibandingkan dengan garam putih biasa.
Jadi, garam merah jambu Himalaya tidak mengandungi manfaat kesihatan yang dituntut sesetengah pihak, namun ia masih dipasarkan sebagai garam mewah dan dan penggunaan garam global dijangka bernilai RM59 bilion menjelang tahun 2020.
Dari segi rasa pula, mereka yang mencubanya rata-rata mengatakan ia mempunyai rasa yang sama seperti garam biasa dan jika dimasak, mungkin kita tidak akan dapat membezakannya.
Terdapat satu lagi perkara besar yang membawa kepada populariti garam merah jambu, iaitu laman media sosial Instagram.
Ini kerana Instagram adalah platform berasaskan imej, jadi secara logiknya adalah lebih menarik untuk mengambil gambar sesuatu yang berwarna merah jambu atau sesuatu yang berwarna hijau terang, berbanding warna putih.
Ini dikenali sebagai "makanan cantik" di mana kita melihat rupa bentuk makanan berbanding manfaat yang dimilikinya. Perkara ini dilihatkan sebagai musim dan mungkin tidak akan kekal selama-lamanya.
Rujukan:
1. Mashed