Kebanyakan daripada kita mungkin tidak pernah mengetahui bahawa wujudnya garam yang dikenali sebagai garam buluh.

Jika dilihatkan dari segi fizikalnya sahaja sudah sangat berbeza daripada garam biasa yang kita gunakan dan harga garam buluh berkualiti tinggi boleh mencecah harga RM1,722 sekilogram.

Ini sekaligus menjadikan garam buruh sebagai garam paling mahal di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi, apa sebenarnya kegunaan garam ini dan mengapa ia tersangat mahal?

img 20210707 122833

Untuk beratus-ratus tahun, orang Korea menggunakan garam buluh dalam masakan dan sebagai satu bentuk perubatan tradisional.

Ia dihasilkan dengan meletakkan garam laut di dalam buluh dan memanggangnya pada suhu tinggi.

Tujuannya adalah untuk memasukkan mineral yang terkandung dalam buluh ke dalam garam tersebut dan juga membuang segala kekotoran.

Garam buluh yang dipanggang sebanyak 9 kali yang kadang-kala dipanggil sebagai "garam buluh ungu", boleh mencapai harga lebih dari 10 kali ganda garam Himalaya yang berharga sekitar RM129 sekilogram.

Sebahagian besar daripada kos ini datang dari proses kerja buruh yang sangat panjang dan setiap langkah dilakukan menggunakan tangan.

potong buluh garam buluh

Proses ini bermula dengan memotong buluh berusia 3 tahun menjadi batang berbentuk seragam dan menebuk bahagian atas menjadikannya seperti bekas garam.

Garam laut yang diambil dari pantai barat Korea dimasukkan dengan padat ke dalam buluh tersebut menggunakan tangan.

Para pekerja kemudiannya membawa buluh-buluh yang dipenuhi garam itu ke tempat pembakaran.

Secara tradisional, hanya kayu pain sahaja digunakan untuk dalam pembakaran ini yang mana mengambil masa sekitar 12 dan 14 jam.

pembuatan garam buluh

Dengan membakar pada suhu melebihi 800 darjah Celcius, kesemua bahagian buluh terbakar dan hanya meninggalkan garam tersebut.

Dengan ini, proses menghasilkan garam buluh baru sahaja bermula. Garam-garam tersebut dikisar dan ia kemudiannya dimasukkan semula ke dalam batang buluh yang baharu.

Ia kemudiannya dibakar sekali lagi dan proses membakar serta mengisi semula garam ke dalam buluh ini diulang sebanyak 8 kali.

Jika garam dibakar dalam bekas buluh ini, segala bendasing di dalamnya seperti mikroplastik akan ditapis dalam proses ini.

Kemudian ketika buluh ini dibakar, minyak buluh akan keluar dan diserap oleh garam menjadikan garam ini sarat dengan mineral dari buluh.

pembuatan garam buluh 2

Lebih menarik, proses ini mengambil masa di antara 45 hari dan 50 hari untuk siap.

Pembakaran kali kesembilan dan yang terakhir adalah yang paling panas, dengan suhu melebihi 1,000 darjah Celcius. Ia dibakar dalam tempat pembakaran istimewa dan dikendalikan oleh pakar.

Shin Tae-Joong merupakan seorang pembuat garam buluh yang berpengalaman melebihi 20 tahun dan pengalaman ini sangat penting kerana sebarang kesilapan pada tahap ini akan menyebabkan usaha sebulan setengah berakhir dengan sia-sia.

Pada suhu setinggi ini, garam dan buluh cair sepenuhnya dan dimasukkan ke dalam acuan.

Selepas disejukkan beberapa hari, ia memberikan hasil struktur seperti batu berwarna hitam, seperti gambar di bawah.

garam buluh yang siap

Ia kemudiannya dipecahkan dengan begitu berhati-hati menggunakan tangan. Selepas lebih dari sebulan proses penghasilan garam buluh ini, ia akhirnya dibungkus dan dijual.

Harga jualan garam buluh berbeza-beza bergantung kepada tempat bentuk dan tempat anda membelinya, namun begitu ia tetap tersangat mahal.

Manfaat kesihatan makanan selalu memainkan peranan penting dalam budaya Korea.

Selama berabad-abad, garam buluh yang dibakar dua hingga tiga kali telah digunakan dalam perubatan tradisional Korea.

garam buluh dipecahkan guna tangan

Namun pada abad ke-20, proses pembakaran 9 kali ini telah dihasilkan dan pengilang mengatakan bahawa proses ini mempunyai tahap toksik yang rendah dan mineral yang tinggi.

Hari ini, ia digunakan untuk memasak, dalam ubat gigi, sabun dan pelbagai ubat.

Mereka yang menyokong penggunaan garam buluh mengatakan bahawa ia dapat membantu dalam pelbagai perkara dari pencernaan kepada kesihatan mulut, penjagaan kulit, dan keradangan serta mempunyai kesan anti-kanser.

Faedah perubatan yang dikatakan dimiliki oleh garam buluh ini membuatkan harganya kekal tinggi. Walaupun begitu, masih belum ada kajian ilmiah yang cukup untuk menyokong semua tuntutan ini.

garam buluh korea

Kajian menunjukkan bahawa garam buluh mengandung zat besi, kalium, dan kalsium yang lebih tinggi berbanding garam laut biasa dan dapat meningkatkan sistem imun anda.

Namun, tetapi mineral bermanfaat ini hanya membentuk peratusan kecil sahaja dan sebahagian besar kandungan garam buluh adalah natrium klorida.

Walaupun dengan ketoksikan yang lebih rendah, tidak jelas betapa bagus manfaat ini kepada kesihatan.

Pada tahun 2016, WHO menulis dalam laporan bahawa "komposisi garam khusus tidak memberikan risiko toksikologi tetapi juga tidak memberikan faedah pemakanan yang relevan."

Manfaat penuh garam buluh berbanding garam laut masih belum banyak diteliti, walaupun begitu, garam buluh tetap popular lebih-lebih lagi di Korea.

Insanga, pembuat garam buluh yang terkenal, memperoleh hasil jualan sekitar RM100 juta pada tahun 2017 dan proses tradisional yang memerlukan tenaga kerja buruh mungkin tidak akan berubah dalam masa terdekat.

Rujukan:

1. Business Insider

2. Times of India

3. Korea Herald




Hakcipta iluminasi.com (2017)