pondok telefon dan tape game nes famicom micro genius

Perkembangan teknologi telah menyebabkan banyak servis dan produk yang satu masa dahulu, di luar jangkauan kita - kini mampu digunakan tanpa henti dengan bayaran lebih minima. 

Ada masanya pula produk-produk yang ditawarkan mampu dimiliki tanpa kita perlu mengeluarkan satu sen pun, disebabkan oleh persaingan antara perkhidmatan yang terlalu kuat mengakibatkan pelbagai taktik terpaksa di amalkan dalam meningkatkan jumlah pengguna.

Berikut adalah lima produk dan servis yang satu masa dahulu cukup membebankan kita, tapi sekarang cukup murah, cukup bagus dan kadangkala tak perlu pun kita mengeluarkan sebarang dana untuk mendapatkannya.

1. Panggilan telefon

telefon awam rosak 375

Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, pengendali servis rangkaian telefon kelihatan sudah selesa untuk menawarkan perkhidmatan panggilan telefon tanpa had, dalam setiap pakej mereka.

Ini jauh berbeza dengan situasi sama dahulu di mana pengguna yang ingin menelefon nombor lain, perlu membayar kos panggilan bukan saja berdasarkan durasi - malahan berdasarkan kedudukan geografi. Penulis bersekolah di Johor tapi berasal dari Perak, memang habis juga duit nak telefon rumah. 

Zaman sekarang ni, nak telefon ke mana-mana nombor pun besar kemungkinan percuma. Tinggal nak telefon saja. Masalahnya, kita pula yang dah tak kerap nak telefon orang lain walaupun kadar panggilan telefon kita sekarang, tiada had penggunaannya. 

2. Sistem GPS

sistem gps tunggal tidak relevan

Sebelum semua telefon pintar mampu mengakses sistem GPS, kebanyakan pemandu kereta di negara yang berkemampuan akan mendapatkan sistem GPS bagi dipasang di kereta.

Beberapa tahun dahulu, jenama seperti Garmin menjadi rebutan kerana kualiti akses satelit yang pantas mampu memberikan kita lokasi tepat. Selain itu sistem sokongan perisian bagi kita memuatnaik peta terbaru ke peranti juga menyebabkan banyak pemilik mahu kekal dengan jenama yang diyakini.

Harganya juga boleh tahan mahal tetapi ramai sanggup membayarnya, kerana pada ketika itu peta GPS dalam telefon pintar hanya boleh diakses sekiranya kita ada sambungan internet - memberikan kelebihan pada peranti tunggal seperti Garmin yang boleh beroperasi tanpa sambungan. 

Namun selepas pengendali seperti Google dan Waze membenarkan GPS diakses tanpa internet dan peta boleh dimuat turun, sekitar tahun 2013 ke 2014, jualan peranti GPS merudum jauh digantikan dengan sistem GPS berasaskan telefon pintar yang lebih mudah, senang dan lebih penting......percuma.

3. Muzik

kedai cakera padat dan kaset

Walaupun sudah menggunakan perkhidmatan Spotify selama beberapa tahun, satu sen pun penulis tak pernah keluarkan untuk membayar perkhidmatan itu.

Bagi penulis dan mungkin ramai lagi peminat Spotify tahap kedekut - perlu berhadapan kekangan iklan, tidak boleh menukar lagu dan hanya mampu mendengar muzik dalam kualiti lebih rendah tidak menjadi halangan besar. Gedung muzik seperti Spotify adalah perpustakaan muzik bergerak yang sangat menguntungkan pengguna.

Situasi ini sukar digambarkan satu masa dahulu, apabila kita masih bergantung dengan formal album sama ada kaset atau cakera padat; yang hanya mempunyai 10 ke 14 buah lagu didalamnya. 

Untuk mendengar lagu, kita perlu mengeluarkan kos bermula RM12.90 untuk kaset artis tempatan ke lebih RM69.90 untuk cakera padat artis antarabangsa. Tetapi kos yang dikeluarkan, turut sama melatih kita untuk lebih menghargai muzik yang kita dengar, kan?

4. Permainan video

permainan video katrij 90 an micro genius

Pada tahun 2021, penulis agak kagum juga apabila melihat masih ada kedai-kedai menjual DVD cetak rompak melibatkan permainan video. Harganya juga masih sama, 1 keping DVD RM10 dan judul yang memerlukan lebih sekeping akan memakan harga lebih tinggi. 

Ini kerana jika anda peminat permainan video, anda sepatutnya sudah sedar banyak sebenarnya gedung digital dalam talian menawarkan judul-judul (yang sudah sedikit berusia) pada harga sangat murah. Malahan gedung seperti Epic Games, Humble Bundle dan Indie Gala mampu memberikan kita judul-judul besar yang popular pada harga minima atau pun percuma.

Judul-judul yang sudah diterbitkan 2 ke 3 tahun pula ditawarkan pada harga diskaun sehingga dijual serendah RM20 ke RM40, yang menyebabkan harga DVD cetak rompak yang masih dijual, kelihatan sangat tak realistik.

Kos yang dikenakan pada kita sekarang jauh berbeza berbanding satu masa dahulu, asalkan anda adalah seorang peminat permainan video di komputer. Judul-judul di telefon pintar pula boleh dimuat turun secara percuma untuk anda bermain bila-bila masa.

5. Berita

akhbar malaysia suram jualan

Lebih kurang 10 ke 20 tahun dahulu, kebergantungan masyarakat kita kepada surat khabar masih tinggi sebagai sumber berita utama. Namun kemunculan laman web mula mengubah pengendali surat khabar sendiri, sehinggakan mereka terpaksa men-digitalkan semua laporan mereka untuk dipaparkan. 

Walaupun banyak pihak berita cuba menjual langganan mereka bagi menggantikan jualan akhbar yang merudum, lama-kelamaan sumber yang semakin banyak menyebabkan berita mudah disebarkan ke mana-mana. Kita tidak lagi perlu membayar untuk tahu sesuatu peristiwa sebaliknya sebaran berlaku secara am.

Adalah menjadi sesuatu yang aneh untuk kita membayar yuran langganan sumber berita kegemaran kita sekarang, apabila banyak sumber lain menawarkannya secara percuma.

Orang ramai tidak lagi perlu membeli akhbar setiap hari untuk tahu tentang sesuatu isu semalam, kerana dengan teknologi sedia ada - kita mampu tahu tentang pelbagai perkara yang terjadi tak sampai 2-3 minit selepas kejadi itu berlaku...free of charge.

Namun bila benda dah jadi percuma ni, membawa kepada banyak masalah lain pula seperti penyebaran berita palsu atau informasi jadi-jadian yang mengakibatkan banyak masa kita terbuang, hanya untuk menapis apa yang benar dan apa yang bohong. 

Tak apalah kena kerja keras sikit - asalkan informasi yang kita terima percuma. Tapi kena jaga-jagalah, kadang-kadang ada saja yang kena tipu dengan berita 2-3 tahun lepas yang sengaja disebar semula; hanya disebabkan ramai yang suka tengok kita marah-marah tak tentu hala.

Apatah lagi zaman Covid dan PKP ni.



Hakcipta iluminasi.com (2017)