Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza

Pasti ramai yang perasan dengan emosi penyanyi Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku yang jelas terganggu sewaktu membuat persembahan di Konsert Pertama Gegar Vaganza 4 Ahad lalu.

Kak Engku yang mendendangkan lagu Hati Terkunci dengan persalinan serba hitam, tidak menghampakan penonton dengan nyanyian penuh penghayatan.

"Memang ada satu rangkap dalam lagu itu saya sudah sebak dan hampir menangis. Sampaikan saya mengangkat tangan saya dan memalingkan muka ke tepi.

"Namun, aksi itu sempat dirakamkan kamera dan saya terpaksa genggam tangan untuk menahan emosi agar tidak mengalirkan air mata," kata Kak Engku yang dipetik daripada portal Astro Gempak.

Dedahnya lagi, air mata yang mengalir berpunca daripada perasaan terharu dengan sokongan diberikan oleh anak-anaknya.

"Itu disebabkan saya terharu dan tersentuh dengan sokongan anak-anak saya yang mengizinkan saya menyertai GV4.

"Tambah pula persembahan saya ketika itu diiringi tayangan gambar anak-anak saya dari kecil hingga usia mereka sekarang.

"Untuk membawa mereka ke pentas, itu tidak mungkin akan terjadi tetapi gambar-gambar itulah yang mengiringi semangat saya malam tadi," ujarnya.

Malah dia juga gembira dengan penghargaan yang diterima sebagai seorang penyanyi untuk tampil dalam sebuah persembahan berskala besar.

"Seperkara lagi saya berdiri di pentas yang diiringi muzik yang sangat hebat!

"Terharu sebab sudah lama tidak menyanyi dan mendapat kualiti muzik serta instrumen di tahap tinggi," luahnya.

Dalam masa yang sama, penyanyi berusia 45 tahun ini tidak ambil peduli dengan penilaian pihak juri.

"Rugi kalau saya tidak menggunakan peluang yang ada. Saya tidak kisah markah tinggi atau rendah janji persembahan saya gah," beritahunya.

Pun begitu, Kak Engku terpaksa berpuas hati dengan kedudukan paling bawah dan markah terendah diterimanya dalam konsert tersebut.

Konsert GV4 ke udara secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap hari Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)