Kredit foto: Instagram Fazura
Gara-gara pasangan Fattah Amin dan Fazura tidak dicalonkan dalam kategori Couple MeleTOP Top 20 Anugerah MeleTOP Era 2018, peminat #Fattzura mengamuk di laman sosial.
Rata-rata mereka menerusi ruangan komen akaun Instagram rasmi MeleTOP mengaitkan pengacara program itu iaitu Neelofa serta isu-isu panas terdahulu sebagai punca Fattah dan Fazura tidak disenaraikan dalam pencalonan.
Namun dakwaan itu disangkal oleh Ketua Strategi Kandungan dan Inovasi Astro, Namanzee Haris.
Menurutnya, ketiadaan pasangan popular itu kerana tarikh perkahwinan mereka tidak memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan.
"Untuk pengetahuan, senarai pencalonan dibuka bermula 15 November 2016 sehingga 14 November tahun lalu dan terbuka kepada pasangan popular yang berkahwin sebelum tarikh akhir pencalonan
"Dalam isu pasangan ini, mereka bernikah 27 November lalu dan secara automatik tidak layak dicalonkan. Memang pada awalnya, barisan panel terbabit cuba untuk menyenaraikan nama mereka tetapi kami perlu bersikap telus dan adil," katanya.
Malah pihaknya terlebih awal sudah menjangka akan kecaman yang bakal timbul.
Dalam masa sama, beliau meminta para peminat memahami AME adalah sebuah program anugerah yang mempunyai penilaian dan peraturan tersendiri.
"Kami sudah menjangkakan kekecohan akan berlaku tetapi perlu diingat AME bukan acara anugerah sebarang yang diwujudkan sekadar suka-suka. Kami ada penilaian dan peraturan tersendiri serta tidak boleh melanggar syarat sedia ada," katanya lagi.
Pun begitu, Fattah dan Fazura masih tersenarai dalam dua kategori lain iaitu Pelakon MeleTOP dan Drama MeleTOP.
Sumber berita: Harian Metro & Beautifulnara