Oleh pada 26 Mar 2018 kategori

Kita mungkin mengharapkan para pelajar sekolah membeli nasi berlauk, nasi ayam atau mi yang dihidangkan pada waktu rehat. Namun adakalanya, anak-anak yang masih belum faham tentang nutrisi makanan ini lebih gemar menggunakan wang untuk membeli hidangan makanan segera seperti burger, kentang goreng, sosej dan nugget. Lebih teruk lagi apabila masih ramai yang suka membeli jajan seperti keropok dan cokelat untuk mengisi perut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda, banyak sekolah di negara lain di seluruh dunia menghidangkan pelbagai jenis makanan kepada pelajar secara percuma? Di Eropah misalnya, kerajaan di sana sibuk menjalankan program besar-besaran untuk menyediakan makanan berkhasiat kepada para pelajar. Di Amerika Syarikat yang terkenal dengan kadar kegemukan rakyat pula, kebanyakan sekolah menyediakan makanan segera dan susu kocak.

Sudah tentu tidak ada makanan spesifik untuk negara tertentu. Namun, kami kongsikan beberapa contoh makanan yang biasa dijamu kepada pelajar dari seluruh dunia pada waktu rehat di sekolah:

1. Amerika Syarikat

makanan waktu rehat pelajar sekolah di seluruh dunia amerika

Dulang ini menggambarkan menu waktu rehat yang biasa dihidangkan di Amerika. Makanan segera seperti popcorn ayam (atau hamburger), kentang putar, kacang pis, secawan buah dan sekeping biskut cip cokelat. Lebih kurang macam makanan yang kebiasaannya disediakan untuk anak-anak di Malaysia nampaknya.

2. Jerman

makanan waktu rehat pelajar sekolah di seluruh dunia jerman

Kebanyakan sekolah di negara ini tamat sesi pembelajaran sebelum waktu makan tengah hari dan kebiasaannya menu yang dihidangkan mengandungi salad kentang dan sosej Jerman seperti wurst. Hidangan sampingan seperti buah-buahan segar dan sayur-sayuran juga disertakan. Antara pilihan menu lain adalah makanan tradisi Jerman iaitu ikan dan kentang, kentang sumbat, lempeng kentang atau pasta.

3. Argentina

makanan waktu rehat pelajar sekolah di seluruh dunia argentina

Di Argentina dan negara Amerika Selatan yang lain, kebanyakan kanak-kanak akan makan di rumah kerana waktu persekolahan yang berlainan. Namun, bagi sekolah-sekolah yang mempunyai waktu rehat, menu Latin dengan pengaruh Eropah seperti daging protein yang disalut serbuk roti dengan kanji dan sayur-sayuran adalah hidangan yang biasa dimakan.

4. Perancis

makanan waktu rehat pelajar sekolah di seluruh dunia perancis

Seperti yang kita sedia maklum, Perancis merupakan negara seni kulinari paling terkenal di dunia. Juadah waktu rehat pelajar sekolah di sana sudah semestinya jauh berbeza dengan menu di negara kita. Lihat saja potongan daging anak lembu yang  dihidangkan bersama cendawan, brokoli, salad timun dan tomato, keju dan tat epal ini. Ia seolah-olah disediakan oleh chef di restoran bertaraf lima bintang.

5. Korea Selatan

makanan waktu rehat pelajar sekolah di seluruh dunia korea selatan

Kanak-kanak di Korea Selatan biasanya menikmati menu makan tengah hari yang sangat seimbang. Hidangan yang biasa ditemui menggabungkan elemen sup, mi, daging, sayur kimchi dan mungkin hidangan telur seperti pajeon. Menu makanan berkhasiat ini nampaknya membuahkan hasil apabila 93% pelajar di Korea Selatan tamat belajar sekolah menengah berbanding Amerika Syarikat yang mempunyai peratusan pelajar tamat sekolah 25% lebih rendah.

6. Sepanyol

makanan waktu rehat pelajar sekolah di seluruh dunia sepanyol

Waktu makan di sekolah-sekolah sekitar Madrid adalah sangat seimbang dan menyelerakan. Hidangan ini misalnya didatangkan dengan telur, sup sayur dan yogurt pisang. Yogurt pisang ini memastikan kanak-kanak mendapat nutrisi secukupnya daripada satu hidangan buah-buahan.

7. Finland

makanan waktu rehat pelajar sekolah di seluruh dunia finland

Warga Finland memang memandang serius akan kesihatan mereka. Disebabkan itu, dari kecil lagi mereka sudah dibiasakan dengan pinggan yang penuh dengan salad dan sayur-sayuran mewakili separuh jumlah hidangan. Separuh lagi ruang hidangan dikongsi antara protein dan kanji seperti kentang atau pasta. Sebagai pencuci mulut, buah beri yang padat dengan vitamin akan diberikan kepada para pelajar di sini.

8. Vietnam

makanan waktu rehat pelajar sekolah di seluruh dunia vietnam

Di kawasan pedalaman Vietnam, para pelajar sering pulang ke rumah untuk menikmati makan tengah hari. Namun, di sesetengah sekolah yang mempunyai dapur untuk menyediakan makanan untuk pelajar, menu hidangan terdiri daripada nasi dengan sayur-sayuran atau mi sup seperti mi Quang ini yang merupakan hidangan asli dari Vietnam tengah.

makanan waktu rehat pelajar sekolah di seluruh dunia malaysia 2

Anak anda pula makan apa di sekolah setiap hari? Tahukah anda lebih 7% kanak-kanak bawah 5 tahun di Malaysia sudahpun mengalami kegemukan? Jika anda tidak kawal dan pantau pemakanan mereka setelah menempuh alam persekolahan, anda boleh bayangkan sendiri apa yang bakal terjadi pada masa hadapan mereka.

Buatlah pilihan bijak untuk anak-anak anda. Jika anda tidak mempunyai masa untuk memasak, ajarlah mereka tentang nutrisi dan makanan berkhasiat. Elakkan statistik obesiti kanak-kanak negara ini menjadi seperti Amerika Syarikat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)