Penulisan ini ditulis saudara Asraff Jeffery, seorang bekas jurutera di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi mendapat kebenaran untuk mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama.
Penulisan ini telah disunting bagi memudahkan pembacaan.
Baru-baru ini YB Hannah Yeao yang merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata bahawa Malaysia memerlukan kira-kira 500,000 orang saintis dan jurutera menjelang tahun 2020.
BESARKAN TEKS A- A+
Statistik tersebut dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Pembangunan Saintifik dan Penyelidikan (MKPSB) dan kini negara hanya mempunyai 70,000 jurutera berdaftar dan sangat membimbangkan.
Namun, realitinya hanya diketahui oleh para jurutera sendiri yang rata-rata tidak tahan bekerja menggalas tugas tersebut. iluminasi.com kongsikan keluhan seorang bekas jurutera, saudara Asraff Jeffery.
Asraf Jeffery adalah graduan jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Takushoku, Jepun. Beliau pernah bekerja sebagai jurutera di Jepun dalam bidang Scrap Recycle sebagai Jurutera Jualan.
Selepas 1 tahun, beliau pulang ke Malaysia dalam syarikat yang sama. Dan ini adalah luahan daripada beliau:
Kisah Malaysia kekurangan jurutera. Apabila baca artikel ini,saya geleng kepala. Saya juga bekas jurutera tapi berhenti atas pilihan sendiri.
Namun, ada kawan-kawan jurutera lain yang lompat kerja lepas 2-3 tahun bekerja kerana tidak nampak masa depan. Hidup seperti robot, bangun pagi, masuk kerja, buat perkara sama setiap hari dan gaji di bawah RM3,000.
Hinggalah ada kawan-kawan bagitahu kerja di bahagian khidmat pelanggan lebih memberikan pulangan yang lumayahan. Kerja balas e-mel secara teknikal dan dalam masa sama sebagai penterjemah. Gaji boleh mencecah RM5,000.
Ada juga kawan yang dapat RM15,000.
Rasanya untuk yang kerja kilang, semua tahu kalau nak naik pangkat, kena tunggu Pengurus mati dulu. Jurutera ada 10 orang, jawatan Pengurus hanya seorang. Bagaimana nasib 9 orang lagi? Itupun kalau pengurus meninggal dunia.
Dengan kekangan hidup sekarang, logiknya, kenapa perlu kekal jadi jurutera jika kerja lain menawarkan gaji yang lebih?
Ya, akhirnya, semua berkisarkan gaji. Kita tidak boleh hipokrit, kerja kena ikhlas, kena jadi jurutera untuk bangunkan Negara. Ikhlas tak boleh beli nasi lemak.
Ikhlas antara kita dan Tuhan tapi kita dan manusia, tentunya guna duit. Kalau kerajaan boleh selesaikan masalah gaji ini,saya yakin, tiba-tiba kerajaan akan ada lebihan jurutera.
Percayalah, sekarang kita bukan kekurangan juruterar tapi kita kurang mereka yang sanggup untukjadi jurutera. Dan percayalah, isu ini kerajaan boleh selesaikan.
Pengalaman saya keliling kilang-kilang suatu ketika dahulu, saya dapati ramai pekerja asing berkerja sebagai operator, terutamanya orang Indonesia.
Ada satu ketika, saya borak dengan pekerja Indonesia. Saya tanya berapa gaji mereka. Katanya lebih kurang RM2,000. Jika ada OT, boleh cecah RM3,00.
Saya hairan, kenapa orang kita tidak ingin kerja. Jadi saya borak dengan pekerja Melayu di kilang yang sama.
Katanya betul, gaji mereka sekitar RM2,000. Dan kenapa tak ramai yang nak kerja sebab RM2,000 kena tanggung rumah dan pengangkutan sekali.
Sedangkan pekerja asing diberikan tempat tinggal dan ada pengangkutan pergi balik kerja.
Kenapa berlaku diskriminasi sebegini? Saya pun tidak tahu. Ada yang kata bahagian Sumber Manusia (HR) ambil rasuah, tapi entahlah.
Tapi apa yang kita boleh faham, syarikat tersebut boleh bayar gaji mahal tapi kenapa untuk orang tempatan, gaji murah?
Jadi, Kerajaan kena kaji ini semua. Belum cerita bab HRDF dan sebagainya lagi.
Kini, saudara Asraff Jeffery bekerja sebagai Direktor Jualan di sebuah syarikat komputer di Kelantan, Youtuber Teknologi di Youtube (Monaliza) dan salah seorang penggerak Keiken Talk.