Oleh pada 28 Sep 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Shaw

Selepas Dukun, Hantu Kak Limah dan Munafik, giliran filem terbaharu PASKAL The Movie pula mencatatkan rekod kutipan mengagumkan iaitu sebanyak RM2 juta seawal tayangan pembukaannya pada Khamis.

Ia sekaligus mencipta sejarah sebagai filem tempatan dengan pungutan kedua tertinggi untuk 'sneak preview' selepas Munafik 2 yang sebelum ini meraih RM2.05 juta.

Perkara itu dihebahkan oleh penerbitnya, Astro Shaw melalui laman Instagram hari ini.

cipta sejarah ini kutipan tayangan pembukaan filem paskal the movie 2

Kredit foto: Instagram Astro Shaw 

Filem PASKAL The Movie turut diterbitkan oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment dan Granatum Ventures.

Ia mengetengahkan kisah kejayaan pasukan elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 serta misi merampas kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada tahun 2011.

Selain tayangan rasmi semalam (27 September), filem aksi arahan Adrian Teh itu terlebih dahulu dibuka untuk tayangan awal pada 21, 22, 23 dan 26 September.

Filem diinspirasikan daripada kisah benar ini dijayakan pelakon terkemuka, antaranya Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theeban G, Henley Hii dan Jasmine Suraya Chin

Proses penggambaran berlangsung di Lumut, Perak, Semporna, Sabah dan Mahgribi.

Filem yang menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei ini mendapat pujian ramai serta dikatakan setanding kualiti filem Hollywood

"Macam filem Hollywood! Tahniah. Terbaik, jalan cerita tak klise, tak melalut bab cinta. Bagus!

"Memang menarik sangat. Nak tengok lagi. Dah suruh kawan-kawan sepejabat pergi tengok.

"Filem Malaysia dah makin hebat. Teruskan.

"Dua kali tengok dah. Belum boleh 'move on'.

"Saya tonton Paskal semalam. Memang terbaik. 10/10. Tengok semalam rasa semangat nak jadi Paskal," komen beberapa netizen. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)