Oleh pada 20 Sep 2017 kategori

Dalam artikel lalu iluminasi.com ada berkongsi bagaimana industri automotif Jepun dan Korea Selatan berkembang pesat di persada antarabangsa bukanlah dengan menidakkan penggunaan bahasa asing iaitu Bahasa Inggeris.

honda amerika

Ya, memang mereka mampu maju tanpa bahasa asing, malah bisu sekalipun juga mampu maju, kerana jati diri yang sangat hebat. Walaubagaimanapun, mereka masih tetap menggunakannya apabila tiba masanya, bagi membawa apa yang dijana di negara sendiri ke negara luar supaya ia tidak kelihatan sebagai jaguh kampung sahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

lord macaulay 2

Apa yang mereka perlukan? Bahasa Inggeris. Ia membolehkan sesebuah negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara tidak langsung mempercepat pembangunan.

Harus bijak bezakan bahasa Inggeris dan budaya Inggeris

Namun, disebalik penggunaan Bahasa Inggeris yang dilihat kian penting saban hari, kita haruslah bijak membezakan antara menerapkan penggunaan bahasa itu sendiri, dengan menjadikan nilai-nilai dan budaya Inggeris itu sendiri sebagai pegangan. Ia adalah dua perkara yang tersangat berbeza.

budaya barat 377

Itulah yang sebenarnya diharapkan oleh penjajah British ketika mereka menyebarkan taktik licik, supaya kita hilang jati diri dan rasa cintakan budaya sendiri. Antara budaya-budaya barat yang diterapkan dalam untuk merosakkan sesebuah masyarakat adalah pergaulan bebas, minum arak, kelab malam, dan banyak lagi.

Hal ini dibuktikan oleh ucapan Lord Macaulay, seorang ahli politik British yang bertanggungjawab memperkenalkan bahasa Inggeris dan konsep barat ke dalam sistem pendidikan di India. Ia menyebabkan terjadinya polisi Macaulayisma di India.

lord macaulay

Dalam ucapan itu yang berlaku di Parlimen British pada 2 Februari 1835, beliau ada menyebut : 


"Saya sudah menjelajah seluruh India, dan saya tidak bersua dengan seorang peminta sedekah pun. Tidak ada pencuri dalam negara yang kaya-raya ini. Nilai akhlak bangsa ini mulia. Rakyatnya berkemampuan tinggi. Pada fikiran saya kita tidak akan pernah mampu untuk menakluki negara ini, melainkan kita patahkan tulang belakangnya, iaitu warisan agama dan budayanya. 

Saya mencadangkan, kita gantikan pegangan dan susunan pendidikan mereka yang berkurun itu dengan pendidikan British.

Sekiranya rakyat India ini sudah mula memikirkan bahawa pendidikan British yang asing itu lebih baik dan lebih agung daripada pendidikan mereka, maka mereka akan hilang harga diri dan budaya aslinya.

Mereka akan menjadi bangsa yang kita mahu, yang dapat kita kuasai seluruhnya."

(Terjemahan Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia)


ucapan lord macaulay di parlimen british pada tahun 1835

Dari sini kita dapat melihat penerapan sistem pendidikan dan budaya barat oleh British sememangnya disengajakan, kerana mereka tahu sesuatu bangsa itu akan mengikut telunjuk mereka, jika mereka mampu menggantikan apa yang tersemat di dada dengan apa yang diajarkan mereka.

Konklusi

Bagi penulis, bahasa itu sendiri tidak salah untuk dipelajari, selagi ia memberikan manfaat kepada kita, lebih-lebih lagi di zaman serba canggih itu. Dahulunya bahasa digunakan sebagai alat untuk memesongkan jati diri seseorang, yang membuatkan Jepun langsung tidak mahu menggunakannya, selain daripada disebabkan oleh peristiwa Perang Dunia Kedua.

Namun kini ia bukan lagi sebagai alat jajahan, malah Jepun sendiri menggunakan bahasa Inggeris bagi mengembangkan sesuatu kebolehan, dan tidak sesekali mereka melupakan adat, budaya serta pegangan mereka.

Ambillah apa yang baik daripada budaya luar, tak kiralah daripada mana. Apa yang penting adalah kita masih mengekalkan pegangan agama dan nilai budaya. Nescaya kita akan menjadi satu negara yang tersangat hebat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)