Penjajahan ke atas negara kita banyak meninggalkan kesannya.
Faktor sejarah kita banyak dikuasai dengan nama orang barat sementara beberapa kawasan geografi kita juga masih mengekalkan nama individu yang berkhidmat dengan kerajaan penjajah, satu masa dulu.
Tahukah anda apakah asal-usul nama lokasi-lokasi atau tempat berkaitan penjajah yang kerap kali kita sebutkan setiap hari dan daripada mana nama itu berasal? Berikut adalah 5 tempat di dalam Malaysia yang masih lagi mengekalkan elemen sedemikian rupa.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Port Dickson, Negeri Sembilan
Nama yang digunakan oleh orang zaman dahulu sebelum nama Port Dickson digunakan, adalah 'Tanjung' berikutan pekannya yang terletak di sebuah tanjung yang menghala ke laut.
Wujud banyak perkampungan nelayan di situ dan namanya masih kekal hingga sekarang seperti Bagan Pinang, Si Rusa, Telok Kemang, Pasir Panjang, Lukut dan Sepang.
Sir John Frederick Dickson yang mewakili kerajaan British menukarkan Tanjong menjadi sebuah pelabuhan, menerusi pembinaan jalan keretapi di antara Tanjong dan Sungai Ujong atau Seremban kini.
Pada tahun 1904, jalan keretapi sepanjang 39km itu siap dan bagi merasmikan semula Tanjong, nama Tanjong diubah ke Port Dickson sebagai menghormati jasa Sir Dickson membangunkan Tanjong.
2. Georgetown, Pulau Pinang
Nama Georgetown menjadi kontroversi sehingga sekarang.
Banyak pihak menganggap nama tersebut perlu ditukar kepada nama yang mencerminkan nama Melayu atau Malaysia, dengan cadangan mengembalikan nama Georgetown kepada nama asalnya yang juga bergelar 'Tanjong'.
Menurut sejarah, kawasan yang mula-mula sekali dibangunkan di Pulau Pinang adalah sebuah kawasan bernama Tanjong Penaga atau Tanjong Penaigre, yang kini kita gelarkan Georgetown.
Francis Light yang dikatakan adalah pengasas Pulau Pinang menamakan semula Tanjong sebagai 'Georgetown' sebagai simbol kehormatan ke atas Raja George III yang memerintah British ketika itu.
3. Butterworth, Pulau Pinang
Butterworth merupakan salah satu lagi nama tempat di Pulau Pinang yang masih mengekalkan nama penjajah.
Menurut sejarah, nama lama Butterworth sebelum ditukarkan oleh pihak penjajah adalah Bagan, disebabkan wujudnya sebuah jeti kecil yang diperbuat daripada kayu yang digunakan oleh penduduk di situ.
'Bagan' mempunyai maksud yang sama dengan perkataan 'quay' iaitu jeti kecil.
Selepas Georgetown berkembang pesat, kerajaan Brisith mahu sebuah lagi bandar dibangunkan di bahagian semenanjung dan Bagan dipilih untuk dimajukan.
'Bagan' ditukar namanya kepada Butterworth sempena mengambil nama Mejar Jeneral William John Butterworth, gabenor pemerintah negeri-negeri selat ketika Butterworth dirasmikan pembukaannya.
4. Templer Park, Selangor
Templer Park dinamakan sendiri oleh Sultan Selangor, DYM Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Ala'iddin Sulaiman Shah, pada 19 Mei 1954 sempena nama Jeneral Sir Gerald Templar.
Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill melantik Gerald Templer sebagai pesuruhjaya tinggi British di Malaya dalam menghadapi ancaman pihak komunis, berdasarkan pengalaman luas Templer dalam bidang ketenteraan.
Pada tahun 1955, Templer Park digazetkan oleh kerajaan Selangor sebagai kawasan kawalan dan pemeliharaan alam semulajadi, melalui penubuhan sebuah jawatankuasa bagi memajukan kawasan tersebut.
Templer Park kemudiannya diambil alih oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar selepas kita merdeka pada tahun 1957.
5. Cameron Highlands, Pahang
William Cameron adalah seorang juruukur tanah lantikan British yang berkhidmat di Malaya.
Melalui ekspedisinya pada tahun 1885 di kawasan Banjaran Titiwangsa, beliau melaporkan berkenaan wujudnya satu kawasan dataran tinggi yang mencerun mempunyai ketinggian sekitar 1372 meter dari aras laut.
Bagaimanapun, rekod ekspedisi Cameron kurang lengkap gagal mencatatkan kedudukan dataran itu secara tepat. Namun atas usaha Cameron menerokai kawasan tersebut, kawasan tanah tinggi itu dinamakan sempena namanya.
Cameron menjalankan ekspedisi kedua untuk mengenal pasti lokasi sebenar dataran yang disebutkan bermula pada bulan Februari 1885 dan berakhir pada 1 September 1885.
Bagaimanapun, kekeliruan dalam maklumat yang dikumpul beliau menyebabkan sebuah lokasi bernama Lubuk Tamang disalah anggap sebagai kawasan yang dimaksudkan Cameron, sedangkan ketinggian Lubuk Tamang hanyalah sekitar 914 meter dari aras laut - tidak sama seperti kawasan awal yang ditemuinya.
Hanya pada tahun 1920 dalam satu ekspedisi lain barulah mereka menemui kawasan yang dikatakan oleh Cameron.
Kumpulan ekspedisi itu berjaya melakarkan peta kawasan tanah tinggi tersebut dan dataran yang disebutkan oleh Cameron beberapa puluh tahun sebelum itu, yang kini menjadi lokasi Tanah Rata dan Brinchang.