Capati adalah antara makanan tradisional India yang tersangat popular di seluruh dunia.
Di Malaysia, ia menjadi kesukaan ramai namun satu ketika dahulu ia pernah mencetuskan kacau-bilau dalam kalangan penjajah Inggeris di India.
Pada tahun 1857, sesuatu yang sangat aneh berlaku di India yang pada ketika itu sedang diduduki Inggeris.
Terdapat kebencian yang semakin memburuk di kalangan orang-orang India terhadap peraturan Syarikat Hindia Timur Inggeris, dan pembaharuan sosial yang cuba dilakukan oleh pihak Inggeris terhadap orang-orang asli.
BESARKAN TEKS A- A+
Cukai-cukai yang dikenakan membuatkan orang tempatan marah dan kehilangan tanah membebankan mereka.
Sepoy yang bermaksud tentera India yang berkhidmat di bawah perintah Inggeris, bertambah gelisah terhadap perpecahan sosial dalam barisan mereka berdasarkan kasta.
Terdapat juga kebimbangan bahawa Syarikat Hindia Timur Inggeris berusaha untuk memaksa penduduk tempatan memeluk agama Kristian.
Di tengah-tengah ketegangan yang semakin tidak menentu ini, terdapat satu pergerakan misteri yang bermula di pedalaman benua kecil.
Ia merupakan satu pergerakan yang menakutkan pemerintah Inggeris dan membingungkan orang India sendiri seperti mana ia membingungkan pihak penjajah.
Menurut laporan yang berasal dari kampung-kapung di India Utara, beribu-ribu capati, roti yang menjadi makanan ruji bagi setiap rakyat India, diedarkan dari satu tangan ke tangan yang lain, dari sebuah kampung ke kampung yang lain.
Lebih aneh, tiada siapa pun tahu dari mana asalnya roti tersebut dan apakah mesej yang dibawa.
"Terdapat urusan misteri yang berlaku di seluruh India pada ketika ini. Tidak ada yang tahu maksudnya, tidak diketahui dari mana asalnya, oleh siapa atau untuk tujuan apa, sama ada ia mempunyai kaitan dengan upacara kegamaan atau ia berkaitan dengan beberapa kongsi gelap. Surat khabar India penuh dengan sangkaan mengenai maksudnya. Ini disebut gerakan capati," tulis Dr. Gilbert Hadow, seorang pakar bedah tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris dalam surat kepada adiknya di Britain.
Pergerakan capati ini melibatkan memanggang empat keping capati (atau jumlah lain) dan menyerahkannya ke kampung terdekat, biasanya oleh chowkidar (penjaga pintu) kampung dengan arahan untuk membuat empat lagi capati dan membawanya ke kampung seterusnya.
Ramai chowkidar yang menuruti arahan itu, menempuh perjalanan sejauh beberapa kilometer melalui hutan untuk menghantar capati-capati tersebut ke kampung-kampung berhampiran.
Hanya beberapa di antara mereka yang bertanya dari mana asalnya capati itu atau mempersoalkan motif tugas pelik ini.
Gerakan capati ini pertama kali mendapat perhatian pihak Inggeris melalui Mark Thornhill, hakim kota Mathura pada awal 1857, apabila sebungkus capati tiba di pejabatnya.
Setelah disoal siasat, Thornhilldiberitahu bahawa roti tersebut telah dibawa oleh salah seorang pegawai polis India-nya, yang telah menerimanya dari seorang penjaga kampung yang tidak tahu asalnya, yang mana dia sendiri menerimanya dari seorang penghantar capati yang juga tidak tahu tentangnya.
Thornhill cuba untuk mengesan sumber roti itu tetapi gagal kerana ia adalah capati biasa yang dimasak di setiap rumah India dan tiada mesej tersembunyi dalam capati tersebut.
Apa yang Thornhill ketahui adalah bahawa fenomena berlaku dalam skala besar-beasran.
Beribu-ribu capati dihantar merentasi beberapa bahagian India, dari sungai Narmada di selatan hingga perbatasan dengan Nepal beberapa ribu kilometer ke utara.
Rantaian capati ini mungkin berasal dari mana saja dari timur, dekat Calcutta, atau dari utara, di provinsi Avadh, atau dari Indore, di pusat negara.
Malah, sebilangan capati ini dihantar dengan begitu pantas mencapai jarak 320 kilometer dalam satu malam sahaja lantas membuatkan pihak Inggeris sangat bimbang.
Penyebaran capati yang sangat misteri ini lebih menakutkan pegawai-pegawai Inggeris kerana ketidakmampuan mereka untuk bertindak.
Jika orang India mengedarkan surat-surat yang bersifat menghasut, sudah tentu pegawai-pegawai Inggeris boleh menghentikannya.
Namun, apa yang boleh mereka lakukan jika barang yang diedarkan hanyalah capati? Sudah tentu pihak berkuasa tidak boleh menangkap atau menahan seseorang hanya kerana mengedarkan makanan, apatah lagi jika penghantar itu sendiri adalah polis chowkidar.
Namun, ramai pegawai Inggeris berasakan bahawa pengedaran capati ini adalah satu isyarat, tanda malapetaka yang bakal berlaku.
"Inggeris berasa sangat curiga, hampir-hampir paranoid, dengan segala jenis komunikasi di India yang tidak dapat mereka fahami," kata sejarawan Kim Wagner.
Setiap kali capati sampai di balai polis, ia membuatkan para pegawai mereka menjadi sangat panik.
Terdapat satu khabar angin yang popular bahawa pihak Inggeris sendiri sebenarnya dalang di sebalik gerakan capati ini.
Dikatakan bahawa Inggeris berusaha menukar orang India secara besar-besaran kepada agama Kristian dengan mencemari tepung mereka dengan tepung tulang dari lembu dan babi, yang masing-masing dilarang bagi penganut Hindu dan Muslim, dan mengedarkan roti yang diperbuat dari tepung ini ke seluruh India.
Sebaik sahaja seseorang itu memakan makanan terlarang ini, dia akan dipulau oleh rakan-rakan seagama yang akan menjadikannya lebih mudah untuk membawanya ke dalam kelompok Kristian.
Ini adalah khabar angin yang akhirnya menjatuhkan Syarikat Hindia Timur Inggeris setahun kemudian.
Khabar angin mula tersebar bagaikan api marak di kalangan tentera India bahawa Inggeris telah membuat rancangan jahat lain untuk melanggar kepercayaan mereka dan mencemarkan agama mereka.
British telah memperkenalkan senapang Enfield baru yang disertakan dengan kartrij kertas berminyak dan untuk menggunakan senapang ini, kartrij tersebut yang mengandungi serbuk peluru harus dikoyakkan menggunakan gigi dan dituangkan ke dalam laras senapang.
Katrij kertas yang membungkus serbuk peluru ini disapu dengan lemak lembu atau babi.
Walaupun Syarikat Hindia Timur Inggeris memerintahkan agar semua kartrij yang diberikan kepada ke tentera India bebas dari sapuan lemak, namun tentera-tentera India ini yakin bahawa syarikat itu merancang untuk mencemarkan diri mereka.
Pemberontakan Tentera (Sepoy) atau Pemberontakan India 1857 yang berlaku ini dilihatkan sebagai pencetus Perang Kemerdekaan Pertama di India, dan ini adalah salah satu peristiwa paling penting dalam sejarah imperialis Inggeris.
Ia menyebabkan pembubaran Syarikat Hindia Timur Inggeris berusia 250 tahun itu dan membawa India ke bawah kendalian Mahkota Inggeris secara langsung.
Kajian terbaharu seolah-olah mencadangkan bahawa gerakan capati itu mungkin sebenarnya satu usaha untuk menghantarkan makanan kepada orang-orang yang menderita akibat penyakit kolera.
Namun, berlaku kekeliruan ketika ia dilakukan dan tujuan sebenar penghantaran tersebut tidak diketahui sekaligus menyebabkan rantaian itu berterusan ke seluruh negara sebagai satu mesej "kosong".
Kim Wagner, yang membuat kajian terbaharu mengenai fenomena itu, berkata:
Walaupun tujuan asal capati-capati tersebut telah hilang di awal pengedarannya, namun akibat buruk dari memutuskan rangkaian penghantaran itu kekal, dan dengan demikian ini memastikan peredaran capati-capati ini berjaya di kawasan yang luas. Dalam peristiwa itu, capati-capati ini bukanlah 'petanda malapetaka yang bakal berlaku". Ia hanyalah kepercayaan yang terhasil oleh orang-orang pada ketika itu sendiri, dan ciri penting yang diberikan kepada capati ini adalah gejala ketidakpercayaan yang meluas serta kebimbangan umum di kalangan penduduk India pada awal tahun 1857,".
Rujukan:
3. Plantes